KULIAH RAMADHAN: Zakat memperkasakan umat Islam.

KOTA BHARU BANDARAYA ISLAMZakat merupakan rukun Islam ketiga selepas syahadah dan solat.Ia juga dianggap sebagai pilar (tiang) agama yang amat penting dan strategis. Jika solat berperanan untuk menguatkan hubungan dengan Allah (hablum minallah/ حبل من الله), maka zakat pula berperanan untuk menguatkan hubungan sesama manusia (hablum minas/ (حبل من الناس. Sehubungan ini, kekuatan seseorang muslim dalam melakukan dua bentuk hubungan tersebut akan melahirkan sifat soleh yang berbentuk peribadi dan juga sosial.

 

Zakat dalam al-Quran memiliki dua makna, iaitu; jika sebutannya dalam surah Makkiyah, ia bermakna pembersihan jiwa (tazkiyah al-nafs).  Manakala sebutan lafaz zakat dalam surah Madaniyyah; ia merupakan kewajiban ke atas umat Islam untuk mengeluarkan harta mengikut kadar nisabnya (kadar paling minima). Kedua-dua makna tersebut mempunyai kaitan yang erat antara satu sama lain. Dari segi bahasa zakat bermaksud; berkembang, bersih (زكى), berkat dan terpuji. Seseorang muslim yang mengeluarkan zakat kerana keimanannya nescaya akan memperolehi kebaikan yang banyak. Menurut istilah syarak, zakat bererti; kewajiban ke atas sejumlah harta tertentu untuk kelompok tertentu (golongan yang memerlukan daripada kalangan 8 asnaf) dan dilakukan dalam waktu tertentu (setahun/cukup haul)

 

Firman Allah :

 

`خذ من أموالهم  صدقة تطهرهم وتزكيهم بها وصل عليهم  ان صلواتك سكن لهم

 

            Mafhumnya:

Ambillah zakat daripada sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan mereka dan doakanlah untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu menjadi ketenteraman jiwa bagi mereka. (Surah al-Taubah, ayat 103)

Firman Allah:

يمحق الله الربا و يربي الصدقات

Mafhumnya:

Allah memusnahkan riba dan mengembangkan sedekah (melipat gandakan ganjaran pahalanya) .(surah al-Baqarah, ayat 276)

 

Dalam sebuah mafhum hadith, Rasulullah bersabda:

Terdapat malaikat yang sentiasa berdoa setiap pagi dan petang; “Ya Allah berilah kepada orang yang mengeluarkan zakat/ sedekah gantinya” dan berkata yang lain: “Ya Allah jadikanlah kehancuran bagi orang yang tidak mengeluarkan zakat/sedekah”.

(Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim).

 

Zakat merangkumi aspek aqidah, moral, sosial dan ekonomi. Dari aspek aqidah, zakat disebut sebagai shodaqoh (sedekah) kerana orang yang mengeluarkan zakat menunjukkan bukti  kejujuran  iman seseorang.

Firman Allah:

ءامنوا بالله و رسوله  وأنفقوا مما جعلكم مستخلفين فيه◊  فالذين ءامنوا منكم وأنفقوا لهم أجر كبير

Mafhumnya:

Berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya dan nafkahkanlah sebahagian daripada hartamu yang Allah telah jadikan kamu dapat menguasainya. Justeru, orang-orang yang beriman dikalangan kamu dan menafkahkan (sebahagian) daripada harta mereka, mereka memperolehi ganjaran pahala yang besar.( Surah al-Hadid,ayat7)

 

Sebaliknya, orang-orang yang mengingkari dan menolak kewajipan mengeluarkan zakat adalah kafir hukumnya disisi ijma’ ulamak. Malah pada zaman khilafah Abu Bakar al-Siddiq pernah memerangi golongan murtadin kerana enggan membayar zakat.

 

Jika ditinjau dari aspek moral, zakat menekan dan mengikis sifat kedekut, keras hati, rakus dan tamak yang ada pada jiwa orang-orang kaya. Zakat juga berperanan menghilangkan sifat angkuh, sombong dan meremehkan kaum fakir miskin. Sebagai peringatan, ketika individu kaya mengeluarkan zakat bukan bererti pada ketika itu dirinya lebih baik daripada si miskin yang menerima zakat, tetapi harta itu itu memang hak kaum miskin yang harus ditunaikan. Mafhum sabda Rasulullah: “Sesipa yang menunaikan zakat harta dengan baik dan benar, maka hilanglah sifat buruknya” (Hadith riwayat al-Thabrani).

 

Dari segi sosial pula, zakat merupakan satu instrument yang dapat berperanan penting dalam mencegah jenayah seperti kecurian dan rompakan serta gejala-gejala negatif dalam kehidupan masyarakat. Disamping itu, harta zakat dapat diagih secara adil tanpa menzalimi mana-mana pihak sama ada golongan kaya atau golongan miskin.

 

Manakala zakat dari sudut ekonomi, ia menimbulkan semangat kepada golongan miskin untuk terus hidup mengharungi pancaroba kehidupan serta mencegah penimbunan harta tanpa dikeluarkan hak untuk orang-orang miskin bagi pihak orang-orang kaya. Dalam masa yang sama, ia juga merupakan sistem kewangan Islam yang amat bertentangan dengan system kapitalisme yang  hanya menumpu kepada pengumpulan  harta kekayaan tanpa mempedulikan pihak-pihak yang bernasib malang.

 

Zakat dikenakan ke atas semua bentuk harta yang terkumpul seperti zakat tanaman, ternakan, emas dan perak, wang, perniagaan dan hasil galian. Dalam usaha memperkasakan umat Islam, fungsi zakat amat ditentukan oleh tiga pihak, iaitu

i)                    Muzakki– sebagai pihak yang mengeluarkan zakat

ii)                   Mustahiq– pihak yang berhak menerima zakat.

iii)             Amil- pihak yang bertanggungjawab mengurus serta mengagihkan zakat yang diperolehi daripada pihak muzakki dan kemudiannya diserahkan kepada mustahiq yang  sepatutnya.

 

 

Melalui proses ini, selain daripada dapat merapatkan jurang antara golongan kaya dan golongan miskin, ia juga dapat mengurangkan kadar kemiskinan yang wujud dalam sesebuah pentadbiran negara.

 

 

 

 

 

والله أعلم بالصواب

Dipetik dari buku Ihya’ Ramadhan terbitan Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan PAS Kelantan, hlm 72-75 

 

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: