Sepanjang Ramadhan di Khartoum, Sudan (Part 1)

Kesesakan lalulintas di tengah bandar Khartoum

Kesesakan lalulintas di tengah bandar Khartoum

Sudan merupakan sebuah negara terbesar di benua Afrika dan dunia Arab dengan keluasan 2,505,813 km² yang terletak di timur laut benua tersebut.  Dengan keluasan ini juga Sudan diiktiraf sebagai negara yang kesepuluh terluas di dunia. Ia bersempadan dengan Egypt di utara, Laut Merah di Timur Laut, Eritrea dan Ethiopia di Timur, Kenya dan dan Uganda di Tenggara, Congo dan Afrika Tengah di Barat Daya dan Chad serta Libya di Barat Laut. Negara ini terbahagi kepada 33 buah wilayah dan terpecah kepada 133 buah jajahan. Ibu negaranya ialah Khartoum. Majoriti penduduk di bahagian utara Sudan berbangsa Arab yang beragama Islam bermazhab Maliki. Ramai juga dikalangan kaum muslimin berpegang dengan ajaran tasawwuf bertariqat. Berbagai jenis puak tariqat boleh di dapati di Sudan. Yang paling mahsyur sekali ialah tariqat Tijjaniyyah yang berpusat di Jabal Aulia’. Manakala di bahagian selatan, kebanyakkan penduduknya berbangsa Afrika yang beragama Kristian dan anutan animisme tradisional. Sudan juga merupakan sebuah negara Islam yang meletakkan syariat Islam secara syumul sebagai rang undang-undang dan perlembagaan negaranya.

Berselawat sambil bergendang oleh golongan Sufi.

Berselawat sambil bergendang oleh golongan Sufi.

Berasaskan pengalaman berpuasa Ramadhan sebanyak lima kali di Sudan, terbuka hati ini untuk mencoret serba sedikit gambaran kehidupan masyarakat Sudan khususnya di bandar Khartoum.  Rakyatnya tersohor dengan adat menghormati tetamu terutama sekali jika tetamu itu adalah rakyat asing yang datang berkunjung ke negara mereka. Budaya ini begitu amat menyerlah sekali pada bulan Ramadhan yang merupakan bulan ibadat yang menjanjikan ganjaran pahala berlipat ganda kepada sesiapa yang ikhlas melakukannya. Bagi menentukan permulaan puasa, kaedah rukyah al-hilal (melihat anak bulan) digunakan dan bukannya mengikut kiraan hisab. Lazimnya, kepala rumah dan beberapa penghuni yang terdiri daripada kaum lelaki akan mengadakan majlis berbuka puasa secara berjemaah dalam beberapa kelompok kecil yang terdiri daripada jiran-jiran terdekat di luar rumah (di kawasan lapang). Kaum ibu bagi setiap rumah dalam setiap kelompok hanya bertungkus lumus menyediakan juadah sekadar kemampuan dan tidak berbuka berbuka bersama kelompok-kelompok kaum lelaki. Sesiapa saja melalui jalan berhampiran dengan juadah atau hidangan mereka adalah tetamu mereka dan akan dijemput sama untuk berbuka puasa. Apabila azan maghrib berkumandang, mereka biasanya berbuka puasa dengan beberapa biji buah tamar dan segelas air karkaday (jus roselle). Kemudian mereka semua akan terus bangkit menunaikan solat maghrib berjamaah.

Selepas solat maghrib, majlis tadi akan disambung semula dengan beberapa hidangan lain seperti ‘asidah (dodol gandum) dan kuahnya wekkar, balilah (kacang kuda rebus), kisra (sejenis roti masam),kacang fol dan sebagainya mengikut kadar kemampuan yang disediakan oleh setiap rumah. Majlis makan ini akan diakhiri dengan jamuan teh panas. Sesudah itu, mereka semua akan bersurai untuk menunaikan solat isya’ dan tarawih di masjid. Dengan cara ini, masyarakat setempat akan lebih peka dengan nilai kerjasama dan semangat tolong menolong sesama mereka.

Untuk menunai solat tarawih, pelbagai cara ibadat sunat itu ditunaikan dan ia berbeza di sesetengah masjid. Ada dikalangan jamaah mereka yang menunaikan tarawih sebanyak 8 rakaat dan 3 rakaat witir sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah. Malah ada juga yang berpegang dengan itjihad Umar al-Khattab yang menunaikan tarawih sebanyak 20 rakaat dan ditambah 3 rakaat witir. Ada yang berkhutbah ringkas setiap kali lepas 4 rakaat dan ada juga jamaah tarawih yang terus bangkit tanpa sebarang khutbah. Namun apa yang pasti, tidak ada sebarang laungan selawat ke atas Nabi setiap kali selesai dua rakaat sepertimana yang diamalkan secara tradisional di tanahair kita, Malaysia.

Apa yang lebih menarik ialah amalan iktikaf pada 10 hari terakhir di bulan mulia ini adalah aktiviti terbuka kepada semua lapisan masyarakat muslim yang mukallaf. Bagi para pelajar sekolah dan juga penuntut universiti yang ingin menyertai program i`tikaf  ini, mereka hanya perlu melapor diri terlebih dahulu kepada pihak atasan di sekolah atau universiti. Pihak atasan wajib memberi keizinan cuti bagi mereka yang memohon untuk beri`tikaf. Begitu juga bagi pegawai-pegawai kerajaan. Dalam tempoh 10 hari terakhir Ramadhan juga, calok-calok Arab biasanya dinyalakan di dalam masjid-masjid bagi mengharumkannya. Disamping itu, beberapa badan aktiviti universiti akan berperanan sebagai agensi kutipan zakat fitrah. Golongan fakir yang terdiri daripada para pelajar atau penuntut ilmu atau anak-anak yatim akan lebih diberi keutamaan dalam menerima agihan zakat. Apabila tiba hari raya, kebanyakkan masjid di Sudan akan dikunci pada waktu pagi kerana mereka lazim menunaikan solat Aidil Fitri di padang atau di tempat lapang mengikut pandangan al-Imam Malik (mazhab Maliki). Begitu juga semasa menunaikan solat Aidil Adha. Pagi raya merupakan sambutan kejayaan mereka beribadat sepanjang bulan Ramadhan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: