Archive for September 3rd, 2009

Gempa Bumi di Indonesia

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Dunia/20090903000848/Article/indexworld_html 

Berpuluh-puluh maut, 700 premis rosak teruk

JAKARTA: Satu gempa bumi besar melanda selatan Indonesia semalam menyebabkan sekurang-kurangnya 32 orang terbunuh kerana dihempap batu atau bangunan runtuh selain mencetuskan huru-hara apabila beribu-ribu pekerja cuba keluar dari pejabat untuk menyelamatkan diri.

Hospital segera dipenuhi mangsa yang cedera selepas gegaran 7.0 pada skala Richter melanda kawasan pantai pulau Jawa yang juga menjadi tempat tinggal kebanyakan daripada 235 juta penduduk Indonesia.

Pegawai menjangka angka kematian dan kecederaan akan meningkat. Pegawai Kementerian Hal Ehwal Sosial, Mardi berkata, lebih 700 rumah dan bangunan rosak teruk.

“Gempa itu menyebabkan rumah saya bergegar hampir satu minit. Saya segera membawa anak saya keluar. Ramai orang yang panik, wanita menjerit-jerit dan kanak-kanak menangis,” kata Heni Maryani, penduduk bandar Sukabumi.

Pegawai bencana berkata, kediaman dan bangunan runtuh di tiga kawasan padat penduduk di Jawa Barat. Seramai 30 orang terperangkap di bawah runtuhan batu di satu perkampungan, lapor agensi berita Antara.

 

 

Satu amaran tsunami dikeluarkan selepas gempa itu melanda pada 2.55 petang waktu tempatan (3.55 petang di Malaysia) sebelum ditarik balik sejam kemudian.

Muharaham Ardan, seorang pensyarah universiti di bandar Tasikmalaya, kira-kira 115 kilometer dari pusat gempa, berkata gempa kali ini adalah yang paling kuat dialaminya.

“Kami semua lari dalam keadaan panik. Kami hanya berkaki ayam saja. Jiran lain menjerit ‘keluar dari rumah’,” katanya.

Laporan awal memetik jurucakap Agensi Pengurusan Bencana, Priyadi Kardono sebagai melaporkan 15 kematian di daerah Cianjur, Tasikmalaya dan Sukabumi.

 

 

Agensi berita Antara melaporkan, 12 keluarga atau 30 orang terperangkap di bawah runtuhan rumah akibat tanah runtuh selepas gegaran melanda di perkampungan Rawa Hideung.

Enam mayat sudah dikeluarkan tetapi nasib ramai lagi belum diketahui, kata seorang penduduk, Agus Sobandi.

“Ramai mangsa adalah suri rumah dan kanak-kanak yang bermain Play Station di rumah berkenaan,” kata Entang Kurniawan, seorang penduduk memberitahu televisyen TVOne.

Seorang lagi penduduk, Fifi, berkata dia melihat 20 rumah runtuh di perkampungan Pameungpek.

Gegaran gempa itu dirasai hampir separuh pulau Jawa. Di ibu negara, Jakarta, 190 kilometer dari pusat gempa, pekerja pejabat yang panik keluar dari pejabat.

Ketua Pusat Krisis Kementerian Kesihatan, Rustam Pakaya berkata, sekurang-kurangnya 27 orang dimasukkan ke hospital di Jakarta untuk rawatan dan bilangannya dijangka meningkat. – AP

earthquake

Towardsmardhatillah: Berkaitan dengan trajedi ini, satu panggilan telefon dari Acheh diterima malam ini mengatakan bahawa apa yang berlaku itu adalah bala kemurkaan Allah Taala. Lokasi-lokasi yang ditimpa mala petaka ini memang terkenal sebagai pusat maksiat seperti pelacuran, laga ayam dan anjing, berjudi dan lain-lain lagi.

 

Arak kepala lembu kerja bodoh!!!

 

Demostrasi yang memalukan umat Islam. Gambar oleh malaysianinsider

Demostrasi yang memalukan umat Islam. Gambar oleh malaysianinsider

Sudah seminggu lebih demostrasi mengarak kepala lembu berlalu, namun  ceritanya masih belum selesai apabila beberapa orang ahli UMNO yang dipercayai mendalangi demostrasi tersebut mulai didedah nama-nama mereka untuk tindakan selanjutnya http://pinkturtle2.wordpress.com/2009/09/03/24828/. Memang wajar pun dalang-dalang tersebut dikenakan tindakan kerana mencetuskan huru-hara kononnya ingin membela Islam. Yang menyedihkan sekali; mengapakah kepala lembu yang jadi mangsa?

 

i)                    Jika kepala lembu itu diambil daripada lembu yang mati tanpa disembelih mengikut kaedah syarak, maka ia adalah bangkai (najis) yang perlu ditanam di dalam tanah dan dibubuh kapur barus agar kuman dan baunya tidak menganggu ketenteraman manusia. Lembu juga makhluk Allah yang perlu disempurnakan  segala haknya.

ii)                   Sebaliknya, jika kepala lembu itu diambil daripada lembu yang telah disembelih mengikut syarak, maka ia adalah halal untuk dimakan sebagaimana dagingnya yang lain. Oleh itu, mengapa kepala lembu itu perlu diludah dan dipijak dengan perasaan geram sekali? Tidakkah tindakan sedemikian itu menghina rezeki? Bukankah tindakan menghina rezeki halal sebegitu rupa  haram di sisi syarak? Sampai kini masih belum dapat dipastikan adakah kepala lembu itu bangkai ataupun kepala lembu yang disembelih……

Sepanjang Ramadhan di Khartoum, Sudan (Part 3)

 

Mangsa kebuluran di Sudan. Gambar oleh Kevin Carter 1994

Mangsa kebuluran di Selatan Sudan. Gambar oleh Kevin Carter 1994

 Ada tiga mafhum hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah berkaitan dengan keistimewaan bulan Ramadhan, iaitu:

Pertama:“Sesiapa yang mendirikan solat di bulan Ramadhan kerana iman dan ikhlas nescaya diampuni Allah dosanya yang lalu”.

Kedua :  Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kerana iman dan ikhlas nescaya diampuni Allah dosanya yang lalu”.

Ketiga : Sesiapa yang mendirikan solat pada malam al-Qadar (Lailatul-Qadar), nescaya diampuni Allah dosanya yang lalu”.

 

Hadis-hadis ini antara bahan ilmiah yang dibaca dan dihurai  sepanjang bulan Ramadhan terutama sekali dalam khutbah Jumaat, khutbah ringkas selepas empat rakaat solat tarawih dan juga semasa kuliah subuh.

 

Pasar basah dan juga pasar kering berjalan seperti biasa tetapi “Pasar Ramadhan” yang khusus menjual makanan serta minuman untuk berbuka puasa tidak diwujudkan langsung. Kedai-kedai makan ditutup pada siang hari sehinggalah tiba waktu berbuka. Di pasar basah boleh didapati berbagai keperluan untuk masakan seperti rempah-ratus, daging lembu dan kharuf (Sudanese sheep), ikan segar, sayuran serta buah-buahan dengan harga yang amat murah sekali. Sekilo daging musir lembu adalah separuh daripada harga sekilo yang dijual di Malaysia dan sekilo buah tomato harganya tak sampaipun satu ringgit Malaysia! Daging lembu dan kharuf banyak diperolehi dari wilayah Kordofan dan Kassala, sayuran dan buah-buahan ditanam di delta sungai Nile dan di Madani. Sementara ikan-ikan segar seperti baung, siakap, kelisa dan ikan mengkarung  pula ditangkap di sungai Nile. Semua bahan-bahan mentah ini dibeli dan diproses (dimasak)di rumah untuk dijadikan juadah berbuka puasa. Manakala di pasar kering pula, boleh didapati keperluan asas harian seperti katil, bantal dan tilam serta  peralatan dapur seperti periuk, sudu, senduk dan sebagainya.

 

Kereta perisai SudanBermain mercun bukan budaya mereka. Tidak pernah kedengaran bunyi tembakan mercun dan bunga api sepanjang bulan puasa sehinggalah menjelang hari raya. Begitu juga di bulan-bulan yang lain. Selain berpuasa dan menunaikan solat tarawih, anak-anak digalakkan dengan tadarrus al-Quran selepas solat asar dan juga subuh. Manakala halaqah-halaqah ilmiah secara berkelompok diwujudkan di beberapa penjuru masjid selepas solat zohor.  Selain daripada layak menerima zakat fitrah, golongan fakir dengan pelbagai latarbelakang agama turut menerima sumbangan makanan dan pakaian daripada golongan berada yang begitu prihatin dengan nasib penderitaan mereka. Manakala sumbangan daripada pihak kerajaan Sudan hanya lebih diutamakan kepada para balu dan juga anak-anak para syuhada’ yang telah gugur di medan tempur kerana mempertahankan agama dan tanahair mereka.   

 

I`tikaf bererti mendiamkan diri di masjid untuk tempoh tertentu dengan niat beribadat kepada Allah. Ia merupakan agenda kemuncak, iaitu sekitar 10 hari terakhir di bulan ini. Mereka berpegang dengan mazhab Maliki yang berpendapat; untuk beri`tikaf sekurang-kurangnya 10 malam perlu berada di masjid. Ada yang beri`tikaf kerana ingin petunjuk Ilahi untuk masuk peperiksaan. Ada yang bermunajat kepada Allah untuk kejayaan sanak saudara atau  rakan-rakan mereka yang berjihad fi sabilillah menentang askar-askar pemberontak di Selatan Sudan dan konflik dalaman di Darfur. Tak kurang juga yang menangis terisak-isak  memohon keampunan dosa-dosa silam mereka. Dengan hati yang penuh khusyuk dan tawadhu’, segala bentuk ibadat sepanjang tempoh i`tikaf dilakukan secara individual (perseorangan) meskipun jumlah mereka yang beri`tikaf  dalam sesebuah masjid itu ramai kecuali semasa berbuka puasa, solat fardhu berjamaah dan juga solat tarawih berjamaah.  Dalam tempoh ini juga, haruman wangian asap colok-colok Arab yang dinyalakan turut memberangsang serta menaikan semangat mereka semasa beribadat siang dan malam. Wangian sebegini mengundang species malaikat dan jin Islam untuk turut sama beribadat dengan merendahkan diri terhadap Ilahi. Bagi golongan kaya, wangian asap daripada damar gaharu dan cendana menjadi pilihan. Manakala bagi golongan pertengahan,  wangian asap damar gum Arabic pun sudah memadai.

Askar Sudan

 

Pada pagi hari raya, semua peringkat lapisan umur dan kedudukan akan berhimpun untuk sama-sama menunai solat hari raya di kawasan lapang. Masjid dikunci dan hanya dibuka semula setelah masuk waktu solat zohor. Selepas solat hari raya, mereka akan mendengar dua khutbah. Dalam mana-mana ucapan khutbah raya di Sudan, tiupan semangat berjihad dan mati syahid merupakan agenda yang tidak pernah dikecualikan. Kaum lelaki duduk sambil memegang kedua-dua belah lutut mereka dan kaum perempuan pula duduk bersimpuh semasa mendengar khutbah tersebut. Selepas selesai khutbah, mereka akan bangkit dan bersalaman (salam Sudani) dengan saling meletakkan tangan ke atas bahu rakan atau saudara masing-masing. Sepanjang Ramadhan mereka akan mengucapkan “Ramadhan Karim Allahu Akram” ketika mana bertemu sesama kenalan. Adapun setelah menjelma hari raya, ucapan “Aid al-Mubarak” dan pelbagai bentuk ucapan tahniah dan doa kesyukuran serta keberkatan sempena kejayaan yang ditempohi sepanjang Ramadhan akan diutamakan. Tiada langsung ucapan “maaf zahir dan batin” sesama mereka seperti mana yang sering diutamakan di tanahair kita Malaysia.           

 

Sepanjang Ramadhan di Khartoum, Sudan. (Part 2)

 

Masjid Besar Khartoum

Masjid Besar Khartoum

Adat meraikan tetamu adalah satu budaya mulia dikalangan rakyat Sudan khususnya mereka yang beragama Islam. Lantaran Ramadhan yang dijanjikan Allah dengan keampunan dan ganjaran pahala yang berlipat ganda, mereka sedaya upaya berusaha menghidupkan sunnah Rasulullah dengan berbuka puasa seringkas yang boleh. Kaedah berbuka puasa secara berkelompok ini bukan hanya diadakan selama sehari dua sahaja. Malah ia berlarutan sepanjang bulan yang mulia ini. Dalam pada itu, para penuntut universiti daripada kalangan rakyat asing dari seluruh pelusuk benua Eropah dan Asia yang menetap di Sudan merupakan tetamu istimewa mereka. Di sinilah para penuntut luar mulai merasai dan mempelajari resipi-resipi makanan rakyat Sudan selepas selesai menunaikan solat maghrib berjamaah.

 

Antara makanan utama mereka yang popular ialah kacang fol dan `adas (kacang dal) yang dimakan dengan roti. Bawang merah yang dihiris nipis, jubnah (lepa susu masam), minyak zaitun, minyak bunga matahari, daun jarjil dan tomato akan digaul dan dilumat bersama kacang fol dan juga `adas. Selepas itu, kedua-duanya (fol dan `adas) akan dicicah dengan roti. Amat jarang sekali orang Sudan makan nasi. Kalau mereka makan pun, biasanya nasi itu dimasak bersama susu lembu segar. Selain itu, nasi juga dimakan bersama zabadi (yogurt susu masam).Tidak dapat dinafikan bahawa kelazatan zabadi Sudan memang no.1. Akhir sekali, pihak tuan rumah akan menghidangkan tea panas berperisa pudina (diletakkan daun pudina) kepada para tetamu sebagai tanda berakhirnya majlis untuk mereka bersurai dan pergi menunai solat isyak dan tarawih berjamaah di masjid.

 

Solat tarawih diadakan seperti biasa sehinggalah tiba tarikh 15 Ramadhan, bacaan qunut mulai kedengaran dalam rakaat akhir solat witir meskipun mengikut mazhab mereka qunut tidak pernah dibaca semasa dalam solat subuh sepanjang hayat mereka. Untuk mengambil wudhuk juga merupakan satu pengalaman pelik bagi orang yang belum biasa dengan budaya mereka yang boleh berkongsi paip air seramai 10 orang atau lebih dalam satu masa yang sama tanpa perlu menunggu ataupun beratur sepertimana yang berlaku di negara kita.  Malah tidak ada istilah air musta`mal dalam pemikiran mereka semasa berwudhuk hinggakan ada dikalangan mereka berkongsi mencelup tangan untuk mengambil air di dalam baldi yang kadarnya kurang daripada 2 kolah mengikut pengajian kelas-kelas fiqh tempatan di Malaysia.

 

Pada 10 akhir bulan ini, mereka mulai focus kepada amalan i`tikaf. Adalah merupakan satu perkara aib (memalukan) bagi mana-mana pihak atasan seperti pihak pentadbiran universiti ataupun jabatan-jabatan kerajaan jika mereka tidak meluluskan cuti bagi mana-mana penuntut universiti atau mana-mana pegawai kerajaan yang memohon untuk beri`tikaf di masjid selama tempoh tersebut. Tidak timbul soal adakah permohonan beri`tikaf itu benar atau palsu. Ini kerana mereka sudah benar-benar faham bahawa segala amalan kebaikan di bulan Ramadhan akan mendapat ganjaran berlipat ganda dan segala kejahatan atau penipuan juga merupakan dosa yang berlipat ganda.

 

Sepanjang tempoh beri`tikaf (10 hari), mereka yang terbabit tidak akan sekali-kali keluar dari masjid. Segala keperluan mereka seperti pakaian akan disediakan oleh ahli keluarga atau rakan-rakan mereka yang tidak beri`tikaf. Malah segala perbelanjaan makan dan minum akan ditaja oleh orang-orang kaya yang bermurah hati menghulurkan sedekah berupa wang dan bahan makan kepada pihak jawatankuasa masjid. Dalam tempoh itu juga, mereka menumpu kepada pembacaan dan penghayatan isikandungan al-Quran, bertafakkur dan membersih masjid. Mereka hanya akan keluar dari masjid pada pagi hari raya. Kemudian masjid-masjid akan dikunci dan mereka akan menunaikan solat hari raya bersama orang ramai di padang ataupun di kawasan lapang secara berjamaah. Selepas solat hari raya, mereka bersalaman dan menuju pulang ke rumah masing-masing untuk menanti tetamu yang bakal mengunjungi rumah mereka. Meskipun pada hari raya, masyarakat Sudan amat fanatic dengan waktu makan seperti mana hari-hari biasa; iaitu makan pagi sekitar pukul 10-11 pagi, makan petang pukul 4-5 petang dan makan malam sekitar pukul 9-10 malam. Hanya gula-gula dan air sejuk sahaja akan dihidangkan kepada tetamu yang tiba sebelum atau selepas masuk waktu makan. Oleh itu, sesiapa yang ingin menikmati juadah istimewa seperti daging kharuf panggang, perlulah sampai pada salah satu waktu makan tersebut.

Peta bumi Sudan di Benua Afrika

Peta bumi Sudan di Benua Afrika