Sepanjang Ramadhan di Khartoum, Sudan. (Part 2)

 

Masjid Besar Khartoum

Masjid Besar Khartoum

Adat meraikan tetamu adalah satu budaya mulia dikalangan rakyat Sudan khususnya mereka yang beragama Islam. Lantaran Ramadhan yang dijanjikan Allah dengan keampunan dan ganjaran pahala yang berlipat ganda, mereka sedaya upaya berusaha menghidupkan sunnah Rasulullah dengan berbuka puasa seringkas yang boleh. Kaedah berbuka puasa secara berkelompok ini bukan hanya diadakan selama sehari dua sahaja. Malah ia berlarutan sepanjang bulan yang mulia ini. Dalam pada itu, para penuntut universiti daripada kalangan rakyat asing dari seluruh pelusuk benua Eropah dan Asia yang menetap di Sudan merupakan tetamu istimewa mereka. Di sinilah para penuntut luar mulai merasai dan mempelajari resipi-resipi makanan rakyat Sudan selepas selesai menunaikan solat maghrib berjamaah.

 

Antara makanan utama mereka yang popular ialah kacang fol dan `adas (kacang dal) yang dimakan dengan roti. Bawang merah yang dihiris nipis, jubnah (lepa susu masam), minyak zaitun, minyak bunga matahari, daun jarjil dan tomato akan digaul dan dilumat bersama kacang fol dan juga `adas. Selepas itu, kedua-duanya (fol dan `adas) akan dicicah dengan roti. Amat jarang sekali orang Sudan makan nasi. Kalau mereka makan pun, biasanya nasi itu dimasak bersama susu lembu segar. Selain itu, nasi juga dimakan bersama zabadi (yogurt susu masam).Tidak dapat dinafikan bahawa kelazatan zabadi Sudan memang no.1. Akhir sekali, pihak tuan rumah akan menghidangkan tea panas berperisa pudina (diletakkan daun pudina) kepada para tetamu sebagai tanda berakhirnya majlis untuk mereka bersurai dan pergi menunai solat isyak dan tarawih berjamaah di masjid.

 

Solat tarawih diadakan seperti biasa sehinggalah tiba tarikh 15 Ramadhan, bacaan qunut mulai kedengaran dalam rakaat akhir solat witir meskipun mengikut mazhab mereka qunut tidak pernah dibaca semasa dalam solat subuh sepanjang hayat mereka. Untuk mengambil wudhuk juga merupakan satu pengalaman pelik bagi orang yang belum biasa dengan budaya mereka yang boleh berkongsi paip air seramai 10 orang atau lebih dalam satu masa yang sama tanpa perlu menunggu ataupun beratur sepertimana yang berlaku di negara kita.  Malah tidak ada istilah air musta`mal dalam pemikiran mereka semasa berwudhuk hinggakan ada dikalangan mereka berkongsi mencelup tangan untuk mengambil air di dalam baldi yang kadarnya kurang daripada 2 kolah mengikut pengajian kelas-kelas fiqh tempatan di Malaysia.

 

Pada 10 akhir bulan ini, mereka mulai focus kepada amalan i`tikaf. Adalah merupakan satu perkara aib (memalukan) bagi mana-mana pihak atasan seperti pihak pentadbiran universiti ataupun jabatan-jabatan kerajaan jika mereka tidak meluluskan cuti bagi mana-mana penuntut universiti atau mana-mana pegawai kerajaan yang memohon untuk beri`tikaf di masjid selama tempoh tersebut. Tidak timbul soal adakah permohonan beri`tikaf itu benar atau palsu. Ini kerana mereka sudah benar-benar faham bahawa segala amalan kebaikan di bulan Ramadhan akan mendapat ganjaran berlipat ganda dan segala kejahatan atau penipuan juga merupakan dosa yang berlipat ganda.

 

Sepanjang tempoh beri`tikaf (10 hari), mereka yang terbabit tidak akan sekali-kali keluar dari masjid. Segala keperluan mereka seperti pakaian akan disediakan oleh ahli keluarga atau rakan-rakan mereka yang tidak beri`tikaf. Malah segala perbelanjaan makan dan minum akan ditaja oleh orang-orang kaya yang bermurah hati menghulurkan sedekah berupa wang dan bahan makan kepada pihak jawatankuasa masjid. Dalam tempoh itu juga, mereka menumpu kepada pembacaan dan penghayatan isikandungan al-Quran, bertafakkur dan membersih masjid. Mereka hanya akan keluar dari masjid pada pagi hari raya. Kemudian masjid-masjid akan dikunci dan mereka akan menunaikan solat hari raya bersama orang ramai di padang ataupun di kawasan lapang secara berjamaah. Selepas solat hari raya, mereka bersalaman dan menuju pulang ke rumah masing-masing untuk menanti tetamu yang bakal mengunjungi rumah mereka. Meskipun pada hari raya, masyarakat Sudan amat fanatic dengan waktu makan seperti mana hari-hari biasa; iaitu makan pagi sekitar pukul 10-11 pagi, makan petang pukul 4-5 petang dan makan malam sekitar pukul 9-10 malam. Hanya gula-gula dan air sejuk sahaja akan dihidangkan kepada tetamu yang tiba sebelum atau selepas masuk waktu makan. Oleh itu, sesiapa yang ingin menikmati juadah istimewa seperti daging kharuf panggang, perlulah sampai pada salah satu waktu makan tersebut.

Peta bumi Sudan di Benua Afrika

Peta bumi Sudan di Benua Afrika

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: