Sepanjang Ramadhan di Khartoum, Sudan (Part 3)

 

Mangsa kebuluran di Sudan. Gambar oleh Kevin Carter 1994

Mangsa kebuluran di Selatan Sudan. Gambar oleh Kevin Carter 1994

 Ada tiga mafhum hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah berkaitan dengan keistimewaan bulan Ramadhan, iaitu:

Pertama:“Sesiapa yang mendirikan solat di bulan Ramadhan kerana iman dan ikhlas nescaya diampuni Allah dosanya yang lalu”.

Kedua :  Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kerana iman dan ikhlas nescaya diampuni Allah dosanya yang lalu”.

Ketiga : Sesiapa yang mendirikan solat pada malam al-Qadar (Lailatul-Qadar), nescaya diampuni Allah dosanya yang lalu”.

 

Hadis-hadis ini antara bahan ilmiah yang dibaca dan dihurai  sepanjang bulan Ramadhan terutama sekali dalam khutbah Jumaat, khutbah ringkas selepas empat rakaat solat tarawih dan juga semasa kuliah subuh.

 

Pasar basah dan juga pasar kering berjalan seperti biasa tetapi “Pasar Ramadhan” yang khusus menjual makanan serta minuman untuk berbuka puasa tidak diwujudkan langsung. Kedai-kedai makan ditutup pada siang hari sehinggalah tiba waktu berbuka. Di pasar basah boleh didapati berbagai keperluan untuk masakan seperti rempah-ratus, daging lembu dan kharuf (Sudanese sheep), ikan segar, sayuran serta buah-buahan dengan harga yang amat murah sekali. Sekilo daging musir lembu adalah separuh daripada harga sekilo yang dijual di Malaysia dan sekilo buah tomato harganya tak sampaipun satu ringgit Malaysia! Daging lembu dan kharuf banyak diperolehi dari wilayah Kordofan dan Kassala, sayuran dan buah-buahan ditanam di delta sungai Nile dan di Madani. Sementara ikan-ikan segar seperti baung, siakap, kelisa dan ikan mengkarung  pula ditangkap di sungai Nile. Semua bahan-bahan mentah ini dibeli dan diproses (dimasak)di rumah untuk dijadikan juadah berbuka puasa. Manakala di pasar kering pula, boleh didapati keperluan asas harian seperti katil, bantal dan tilam serta  peralatan dapur seperti periuk, sudu, senduk dan sebagainya.

 

Kereta perisai SudanBermain mercun bukan budaya mereka. Tidak pernah kedengaran bunyi tembakan mercun dan bunga api sepanjang bulan puasa sehinggalah menjelang hari raya. Begitu juga di bulan-bulan yang lain. Selain berpuasa dan menunaikan solat tarawih, anak-anak digalakkan dengan tadarrus al-Quran selepas solat asar dan juga subuh. Manakala halaqah-halaqah ilmiah secara berkelompok diwujudkan di beberapa penjuru masjid selepas solat zohor.  Selain daripada layak menerima zakat fitrah, golongan fakir dengan pelbagai latarbelakang agama turut menerima sumbangan makanan dan pakaian daripada golongan berada yang begitu prihatin dengan nasib penderitaan mereka. Manakala sumbangan daripada pihak kerajaan Sudan hanya lebih diutamakan kepada para balu dan juga anak-anak para syuhada’ yang telah gugur di medan tempur kerana mempertahankan agama dan tanahair mereka.   

 

I`tikaf bererti mendiamkan diri di masjid untuk tempoh tertentu dengan niat beribadat kepada Allah. Ia merupakan agenda kemuncak, iaitu sekitar 10 hari terakhir di bulan ini. Mereka berpegang dengan mazhab Maliki yang berpendapat; untuk beri`tikaf sekurang-kurangnya 10 malam perlu berada di masjid. Ada yang beri`tikaf kerana ingin petunjuk Ilahi untuk masuk peperiksaan. Ada yang bermunajat kepada Allah untuk kejayaan sanak saudara atau  rakan-rakan mereka yang berjihad fi sabilillah menentang askar-askar pemberontak di Selatan Sudan dan konflik dalaman di Darfur. Tak kurang juga yang menangis terisak-isak  memohon keampunan dosa-dosa silam mereka. Dengan hati yang penuh khusyuk dan tawadhu’, segala bentuk ibadat sepanjang tempoh i`tikaf dilakukan secara individual (perseorangan) meskipun jumlah mereka yang beri`tikaf  dalam sesebuah masjid itu ramai kecuali semasa berbuka puasa, solat fardhu berjamaah dan juga solat tarawih berjamaah.  Dalam tempoh ini juga, haruman wangian asap colok-colok Arab yang dinyalakan turut memberangsang serta menaikan semangat mereka semasa beribadat siang dan malam. Wangian sebegini mengundang species malaikat dan jin Islam untuk turut sama beribadat dengan merendahkan diri terhadap Ilahi. Bagi golongan kaya, wangian asap daripada damar gaharu dan cendana menjadi pilihan. Manakala bagi golongan pertengahan,  wangian asap damar gum Arabic pun sudah memadai.

Askar Sudan

 

Pada pagi hari raya, semua peringkat lapisan umur dan kedudukan akan berhimpun untuk sama-sama menunai solat hari raya di kawasan lapang. Masjid dikunci dan hanya dibuka semula setelah masuk waktu solat zohor. Selepas solat hari raya, mereka akan mendengar dua khutbah. Dalam mana-mana ucapan khutbah raya di Sudan, tiupan semangat berjihad dan mati syahid merupakan agenda yang tidak pernah dikecualikan. Kaum lelaki duduk sambil memegang kedua-dua belah lutut mereka dan kaum perempuan pula duduk bersimpuh semasa mendengar khutbah tersebut. Selepas selesai khutbah, mereka akan bangkit dan bersalaman (salam Sudani) dengan saling meletakkan tangan ke atas bahu rakan atau saudara masing-masing. Sepanjang Ramadhan mereka akan mengucapkan “Ramadhan Karim Allahu Akram” ketika mana bertemu sesama kenalan. Adapun setelah menjelma hari raya, ucapan “Aid al-Mubarak” dan pelbagai bentuk ucapan tahniah dan doa kesyukuran serta keberkatan sempena kejayaan yang ditempohi sepanjang Ramadhan akan diutamakan. Tiada langsung ucapan “maaf zahir dan batin” sesama mereka seperti mana yang sering diutamakan di tanahair kita Malaysia.           

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: