Archive for September 8th, 2009

Tidak semua wajib berjihad mengangkat senjata

 

Ayat 122, surah al-Taubah

Mafhumnya:

Tidak wajar orang-orang yang beriman itu berangkat semuanya ke medan pertempuran. Mengapa tidak pula ada kelompok daripada golongan itu berangkat untuk mempelajari dan mendalami ilmu agama agar mereka dapat memberi peringatan kepada kaum mereka bila mereka kembali kepada kaum mereka”. Surah al-Taubah, ayat 122.

 

Pernah satu ketika dulu saya ditanya oleh seorang lelaki yang kelihatan begitu bersemangat dengan jihad mengangkat senjata. Malah pakaiannya juga tak ubah seperti para pejuang mujahidin Afghanistan. “Dengar khabar  kerajaan Sudan mengisytiharkan jihad, mengapakah tak ada orang luar yang berminat nak join sama berjihad disana?” soal beliau dengan penuh kehairanan. “Bagi kerajaan Sudan, jihad itulah adalah nikmat Allah Taala yang dikurniakan khusus kepada rakyatnya yang terpilih sahaja untuk mati syahid. Ramai juga dikalangan para pelajar asing yang menuntut di sana menawarkan diri untuk turun ke medan perang. Namun kerajaan Sudan menolak tawaran sedemikian. Cukuplah mereka yang terpilih  (walaupun tidak ramai) mengorbankan jiwa mereka dengan dibantu oleh para malaikat serta jin-jin Islam. Kerajaan Sudan juga menghormati para pelajar asing yang menuntut ilmu di bumi itu selaku tetamu yang perlu dilindungi” jawab saya. “Lagipun ayat 122 dalam surah al-Taubah juga mengingatkan kita bahawa bukan semuanya yang wajib turun berjihad mengangkat senjata meskipun berjiwa berani sekian mana sekalipun” tambah saya lagi.

 

“Ada orang bagi tahu; beberapa orang pelajar Malaysia di Pakistan turut berperang dan mendapat latihan perang di Afghanistan. Apa pendapat you dalam soal nih?” tanya beliau lagi. “Saya sendiri tidak tahu sejauh manakah penglibatan mereka yang mendakwa pernah berperang bersama para mujahidin Afghanistan yang bertempur dengan pihak tentera Russia. Kini pun, puak-puak mujahidin ini kelihatan lemah  setelah mereka  berpecah kepada lapan puak yang besar sebelum Taliban merampas kuasa pentadbiran negara suatu masa dulu. Bagi saya,  kalau mereka setakat mendapat latihan ketenteraan demi mempertahankan diri, agama, bangsa dan tanahair tidaklah menjadi satu kesalahan. Namun untuk turut serta berperang di medan perang, terpulanglah kepada diri masing-masing sekiranya sudah cukup syarat untuk berjihad sama ada ingin menukarkan status mereka daripada pelajar kepada pejuang mengangkat senjata.  Cuma berpandukan ayat 122 surah al-Taubah ini, mereka sebenarnya tidak perlu ke medan perang kerana mereka berstatus pelajar pengajian agama. Bahkan lebih baik jika mereka mendalami ilmu pengajian  agama sebagaimana yang dituntut oleh syarak”.

Kemaskinikan pemantauan

 

Dasar-Dasar Kerajaan Negeri KelantanSegala bentuk rancangan, perundangan dan juga enakmen jika tidak disusuli dengan pemantauan dan pengemaskinian, semuanya pasti tidak mencapai matlamat yang diimpikan. Oleh itu, kerjasama antara rakyat dan pihak penguatkuasa yang diterajui oleh pihak pemerintah perlu dipantau dengan sebaik mungkin. Sama ada kerajaan pusat ataupun kerajaan negeri, kepekaan terhadap tanggungjawab yang dipikul perlu dititik beratkan demi kesejahteraan rakyat yang ditadbir. Sebagai contoh; projek kambing baka Jamnapari secara berpawah (berkongsi manafaat) antara rakyat yang menternak dan kerajaan negeri Kelantan adalah satu usaha yang amat baik. Malangnya, usaha mulia ini tidak ke mana setelah pengagihan kambing-kambing tersebut sampai ke tangan mereka (rakyat) yang sanggup bertanggungjawab untuk memelihara ternakan tersebut di seluruh DUN di Kelantan, namun akhir senyap begitu saja bila langkah-langkah pemantauan bagi proses berpawah tidak berjalan lancar. Siapakah sebenarnya bertanggungjawab dalam soal ini? Ada juga di kalangan rakyat di sesetengah kawasan sudah menganggap kambing-kambing yang diperolehi adalah miliki mereka 100% tanpa terlibat dengan system pawah yang pernah diwar-warkan dulu.

Malah ada juga yang mengatakan kambing-kambing itu adalah milik mereka sepenuhnya selepas Muhammad Fauzi dan Dato’ Amin tidak lagi terlibat dengan pembekalan kambing baka itu ke negeri Kelantan.  Disamping itu, banyak juga kambing-kambing yang mati begitu saja ekoran sikap peternak yang sanggup memelihara tanpa ingin menambah pengetahuan tentang selok belok ternakan kambing.  Sepatutnya program berpawah kambing ini tidak wajar terbengkalai begitu saja jika ia benar-benar dipantau sepanjang masa oleh pihak-pihak yang dipertanggungjawabkan dengan projek ini. Adalah wajar mereka yang cuai dan tidak bertanggungjawab dengan tugas yang dipikul dikenakan tindakan setimpal jika kambing-kambing itu dibeli dengan wang kerajaan negeri Kelantan demi memerangi pembaziran seperti mana yang pernah diwar-warkan oleh Tok Guru Nik Aziz.

 Pembekal kambing baka

Berkaitan dengan program penutupan aurat yang lebih ditekankan dikalangan kaum wanita muslimat, setelah diamati dengan penuh teliti; didapati program-program dakwah kontemporari dalam masalah ini sebenarnya tidak begitu diberi perhatian jika dengan bandingkan dengan program-program ceramah politik. Hanya memadai dengan papan tanda yang menyokong penututupan aurat dan anti pendedahan saja yang lebih menyerlah. Sedangkan gerakan dakwah melalu psikologi agama dan manusia tidak pula begitu giat.  Dengan kata lain, program dakwah kefahaman Islam selepas PAS meraih kuasa di negeri Kelantan tidak begitu giat jika dibandingkan dengan program-program ceramah politik menghentam Barisan Nasional. Namun boleh lagi dianggap status ini lebih baik jika dibandingkan semasa kerajaan Barisan Nasional memerintah Kelantan yang hanya membiarkan gejala maksiat berleluasa begitu saja. Dari sudut pemantauan, pihak penguatkuasa dalam hal-ehwal berkenaan kini seolah-olah terlebih lajak daripada  lajunya  yang sebenar. Begitu juga dengan ketetapan ataupun peraturan-peraturan lain seperti pengasingan tempat duduk antara lelaki dan wanita dalam panggung wayang dan pengasingan Q beratur antara lelaki dan wanita di setiap supermarket yang amat baik untuk rakyat, boleh dikatakan segala langkah pemantauannya tidak begitu dikemaskinikan.

 

Sama ada disebabkan kekurangan tenaga berkebolehan dalam masalah ini ataupun hanya kerana kecuaian dan sikap tidak bertanggungjawab oleh segelintir pegawai penguatkuasa ataupun sebaliknya, tiada siapapun yang boleh menuding jari siapakah sebenarnya bertanggungjawab dalam permasalahan ini? Hanya mereka yang terbabit secara khusus dalam soal ini saja yang lebih mengetahui.