Jenayah sana sini

Polis tahan 26 ah long beri pinjaman lebih RM15 juta

PULAU PINANG: Polis menahan 26 lelaki dipercayai ceti haram atau ah long yang telah memberi pinjaman lebih RM15 juta kepada pelanggannya di Pulau Pinang sejak Julai lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob berkata kesemua mereka berusia antara 20 dan 50 tahun itu ditahan dalam 20 serbuan di sekitar negeri ini.

“Kesemua mereka ditahan hasil maklumat awam dan risikan pihak polis serta operasi berterusan pasukan khas yang ditubuhkan bagi memerangi kegiatan pemberian pinjaman haram di negeri ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata jumlah peminjam dikesan berhutang dengan ah long yang ditahan itu ialah 1,700 orang dan majoriti mereka terdiri daripada pekerja kilang serta golongan berpendapatan rendah.

“Siasatan mendapati golongan berkenaan meminjam wang daripada ah long ekoran gagal mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan,” katanya, dan menambah kata bahawa dengan penahanan itu polis berjaya menyelesaikan 14 kes ah long.

Ayub berkata dalam operasi berterusan itu polis merampas pelbagai barangan antaranya enam komputer riba, pengimbas data (empat), buku akaun (15), kad pengeluaran wang automatik (91), telefon bimbit (79), barang kemas (52) dianggarkan bernilai lebih RM15,000 dan dua salinan geran tanah milik peminjam.

“Kita turut merampas wang tunai sebanyak RM28,000 dan lima keping cek tunai bernilai RM10,500,” katanya.

Katanya kesemua mereka yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, pesalah boleh didenda RM50,000 atau dua tahun penjara bagi kesalahan pertama, manakala denda sehingga RM200,000 untuk kesalahan berulang.

Beliau berkata pihaknya telah mengenal pasti beberapa kumpulan dan individu lain yang dipercayai terlibat dengan kegiatan ah long itu.

“Kita akan buru kumpulan ah long di negeri ini secara besar-besaran bagi memerangi dan membanteras mereka habis-habisan,” katanya. –BERNAMA

 Pelajar tagih syabu, pil kuda

 KOTA BHARU – Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kelantan, Mohzan Ibrahim berkata, penggunaan pil kuda dan syabu di kalangan remaja dan pelajar dipercayai dipengaruhi oleh pengaruh rakan sebaya.

Beliau berkata, perkara tersebut berlaku kerana pengambilan dadah jenis berkenaan mudah diperolehi daripada pengedar tempatan dengan harga yang lebih murah berbanding jenis dadah yang lain.

“Di negeri ini kadar penyalahgunaan dadah yang dikesan oleh AADK agak menurun. Bagaimanapun fenomena penggunaan dadah jenis pil kuda dan syabu di kalangan remaja dan kanak-kanak sekolah agak membimbangkan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Sambutan Aidilfitri di pejabatnya di sini, semalam.

Beliau berkata, sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini sebanyak 258 kes penggunaan dadah dikesan di seluruh negeri ini termasuklah 72 kes yang berulang.

Bagaimanapun, Mohzan berkata, jumlahnya berkurangan jika dibandingkan 305 kes dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.:

“Kami percaya penurunan yang agak ketara ini disebabkan adanya kerjasama di antara semua pihak dengan orang ramai termasuklah media massa yang banyak memainkan peranan dalam menyebarkan maklumat mengenai kempen antidadah dan gaya hidup sihat,” katanya.

Menurutnya, dalam gerakan pemeriksaan yang dilakukan ke atas 4,184 pelajar di 124 sekolah menengah di seluruh negeri ini, 42 orang disahkan positif menggunakan dadah jenis pil kuda.

Dipetik dari: http://www.sinarharian.com.my/kelantan/content/story5184467.asp

 

Gadis Belasah Peragut

KUALA LUMPUR 30 Sept

Seorang peragut kecundang di tangan seorang gadis berusia 22 tahun semalam dalam cubaan meragut dompet mangsa.

Disebabkan keberanian gadis itu, penjenayah tersebut yang sempat dibelasah oleh gadis berkenaan berjaya ditangkap dengan bantuan orang ramai.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.30 malam ketika mangsa, Dzil Falilah Abdul Rashid menunggu teman lelakinya di koridor kediamannya di Batu Caves Centrepoint di sini.

Dia yang bekerja sebagai pembantu pereka dalaman tiba-tiba didatangi seorang lelaki tidak dikenali.

Ketika ditemui Utusan Malaysia hari ini, gadis itu berkata, suspek tiba-tiba mencekik leher dan cuba meragut dompet dari genggamannya.

“Dia kemudian menendang serta menumbuk kepala dan paha saya. Saya pun membalas balik serangan itu sambil menjerit sekuat hati meminta tolong.

“Walaupun dompet itu hanya berisi RM10, saya bertindak melawan peragut itu kerana duit itu hasil titik peluh saya dan saya juga memang pantang dibuli,” katanya yang lebam di kedua-dua lutut, paha dan kepala.

Menurutnya lagi, suspek kemudian melarikan diri ke motosikal yang terletak kira-kira 30 meter dari tempat kejadian tetapi dia bertindak mengejar lelaki itu.

“Saya tak sanggup melihat peragut itu terlepas begitu saja, jadi saya kejar dia dan terus menyerangnya. Peragut itu juga cuba menyelak baju kurung saya ketika kami bergelut kerana menyangka saya akan malu dan berhenti menyerangnya tetapi dia silap,” ujarnya.

Dzil Falilah memberitahu, belum sempat suspek menghidupkan enjin motosikalnya, teman lelakinya tiba dan merempuh motosikal menyebabkan dia terjatuh.

“Ketika itulah orang ramai datang membantu menangkapnya sebelum polis tiba,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memuji keberanian gadis itu sehingga tertangkapnya suspek.

Katanya, lelaki berusia 20 tahun yang memiliki dua rekod jenayah curi dan dadah itu kini ditahan reman selama tujuh hari untuk disiasat sekiranya dia turut terlibat dalam jenayah lain.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1001&pub=Utusan_Malaysia&sec=Jenayah&pg=je_03.htm

 

Towardsmardhatillah: Memandangkan gejala jenayah semakin berleluasan, amat diharapkan agar semua kerajaan negeri di seluruh Malaysia menumpukan ke arah usaha mewujudkan langkah paling berkesan bagi mengurangkan kadar jenayah. Kurangkan politicking kepartian dan jangan hanya menyerahkan masalah jenayah kepada pihak polis secara bulat-bulat saja. Dalam situasi hukuman hudud masih tidak dapat dilaksana, pendekatan-pendekatan positif berbentuk keagamaan dan juga moral khusus bagi golongan remaja terbiar, bekas-bekas penagih dadah dan mereka yang bermasalah perlu diperbanyak serta dipertingkatkan dari masa ke semasa.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: