Beberapa pandangan berkaitan penahanan Dr.Asri.

Ditahan kerana ajar agama tanpa tauliah: Jais

SHAH ALAM – Bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainal Abidin ditahan malam kelmarin kerana mengajar ajaran Islam tanpa tauliah, kata Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Beliau berkata, penahanan itu tiada kaitan dengan dakwaan kononnya beliau cuba menyebarkan fahaman Wahabi di negeri Selangor.

“Ketika ditangkap, Dr Asri didapati sedang memberi ceramah kepada hampir 200 orang yang hadir. Tangkapan telah dibuat oleh penguatkuasa Jais dengan bantuan daripada pihak polis,” katanya kepada pemberita di bangunan Jais di sini.

Katanya, sebelum ini beberapa cubaan tangkapan terhadap Dr Asri berhubung kesalahan yang sama tetapi sering menemui kegagalan.

“Beberapa cubaan untuk menangkap beliau telah dilakukan tetapi gagal dan cuma sekarang baru berjaya,” katanya.

:Mohammed Khusrin berkata, siasatan terhadap Asri akan dipercepatkan kerana ia menarik minat umum.

Beliau berkata, Asri disiasat mengikut Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agam Islam Negeri Selangor 2003 yang menetapkan denda sehingga RM3,000 atau dipenjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.

“Berdasarkan undang-undang ini mana-mana pihak yang tidak mendapat pentauliahan boleh dikenakan denda RM3000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” Katanya.

Mohamad Khusrin berkata, setakat ini tiada sebarang dakwaan dibuat ke atas Dr Asri manakala tempoh siasatan akan dilanjutkan bagi membolehkan Jais mendapatkan bukti.

 http://www.sinarharian.com.my/com/content/story5440015.asp

 

Nakhaie cabar Asri buktikan tuduhan rasuah

GOMBAK – Bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim), Datuk Nakhaie Ahmad mencabar bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengemukakan bukti yang mengaitkan beliau dengan beberapa kesalahan rasuah seperti yang dinyatakan dalam sidang medianya baru-baru ini.

Antara dakwaan tersebut ialah kononnya Nakhaie memperalatkan Yadim untuk memungut harta, makan rasuah dan mengeluarkan kenyataan Asri tidak diterima UMNO mahupun Pas.

“Saya cabar Asri supaya tuduh saya perasuah kalau saya menyeleweng..sedangkan saya berani berkata Yadim ialah sebuah agensi agama yang paling teratur di dalam negara kita ini,” katanya pada sidang media di kediamannya di sini, semalam.

Katanya, beliau amat terkilan apabila namanya diseret sebegitu rupa seolah-olah menggunakan Yadim untuk mengumpulkan kekayaan.

Beliau yang bersara Ahad lalu turut kesal apabila Asri mendakwa sebahagian daripada institusi agama kini bercampur dengan elemen politik sehingga ada individu mampu memegang jawatan dalam tempoh yang lama.

Nakhaie berkata, beliau tidak risau siasatan dilakukan terhadapnya tetapi bimbang apabila Yadim difitnah dan dihukum oleh `mereka yang tidak profesional`.

“Memang ada kesalahan-kesalahan yang dibuat, buat kerja memang ada salah tetapi tidaklah melibatkan penyalahgunaan kuasa, penyelewengan kuasa, ataupun penyalahgunaan wang.

“Tetapi saya bimbang ialah hukuman-hukuman (tanpa bukti) dibuat oleh orang tidak profesional yang mendengar kata kroni-kroni ini memburukkan Yadim…dan kemudian hukuman itu boleh membawa fitnah,” katanya.

Nakhaie berkata, dua laporan telah dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan hasil siasatan setakat ini membuktikan beliau bersih daripada tuduhan itu.

Beliau turut kesal dengan isu terbabit kerana telah disensasikan sehingga melukakan hati pihak yang telah berusaha keras membangunkan Yadim.

“Saya sangat kesal dengan tuduhan bahawa Yadim melakukan penyelewengan. Saya bersimpatidengan staf-staf yang bekerja bersunguh-sungguh, jadi saya perlu tampil membela mereka,” Katanya.

Nakhaie berkata, tuduhan terbabit jelas pembohongan kerana Asri menuduh tanpa usul periksa.

Beliau turut menafikan pembabitan beliau dalam isu penyerahan memorandum bantahan pelantikan Asri sebagai Yang Dipertua Yadim.

“Tak ada sampai sekarang saya tak baca memorandum itu macam mana saya pun tak mahu ambil tahu hal itu dan saya pun minta bukti tuduhan ke atas saya yang kata Asri tak diterima oleh UMNO, Pas? Saya tak pernah kata,” katanya.

Ketika menjawab isu penahanan Asri yang didakwa kerana sabotaj Jais, Nakhaie berkata, walaupun beliau bekas Mufti tetapi perlu ada tauliah untuk memberikan ceramah agama.

“Di Perlis, mungkin dia tak perlu ada tauliah tapi di Selangor, ianya (tauliah) perlu,” katanya.

Nakhaie juga memberitahu yang beliau telah menjadi Yang Dipertua Yadim selama 4 penggal sejak 10 tahun lalu.

“Kalau ikut kontrak, saya sepatutnya bersara pada April 2012. Sebab apa saya tak pasti kenapa kontrak saya dipendekkan. Mungkin kerana saya dah tua,” katanya.

 http://www.sinarharian.com.my/com/content/story5435094.asp

 

Nik Aziz kecewa tindakan melulu Jais

KOTA BHARU – Tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menahan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin ketika mengadakan ceramah agama, tengah malam kelmarin, dianggap satu perbuatan yang melampau.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, beliau sangat dukacita dan kecewa dengan tindakan melulu Jais itu.

“Saya anggap ia satu tindakan yang melampau. Kenapa perlu tangkap seorang tokoh agama yang juga bekas mufti.

“Ramai lagi orang yang patut ditangkap, termasuk mereka yang mengasingkan politik dan agama. Inilah yang sesatnya. Saya sangat dukacita dengan perkara ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Mengulas mengenai dakwaan yang kononnya penahanan itu dikaitkan dengan ajaran Wahabi yang cuba disebarkan oleh Asri, Nik Abdul Aziz berkata, dakwaan itu perlu diperhalusi.

“Kalau nak dikaitkan dengan ajaran Wahabi, kita kena pastikan ia benar-benar salah di sisi undang-undang.

“Nasihat saya kepada Jais, jangan buat untuk kali kedua kerana akan merosakkan imej Islam di Malaysia,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/com/content/story5409222.asp

 

Pemuda Pas kesal, dakwa Jais salah guna kuasa

SHAH ALAM- Dewan Pemuda Pas kesal dengan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menggunakan kuasa sewenang- wenangnya bagi menangkap bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin atas alasan tidak memiliki tauliah dalam memberi ceramah.

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, agak malang bagi Jais kerana mereka mensasarkan penceramah agama yang memiliki sijil pengiktirafan ilmu agama seperti Doktor Falsafah (Phd), Sarjana (MA) dan Sarjana Muda (BA) menjadi mangsa tangkapan.

“Dewan pemuda Pas sangat kesal dengan tindakan Jais walhal mereka boleh menumpukan operasi membanteras aktiviti maksiat dan mungkar yang masih berleluasa di negeri Selangor,” katanya dalam satu kenyataan, semalam

Selain universiti, katanya, masyarakat juga mengiktiraf ilmu yang dimiliki oleh Asri dan jika terdapat ajaran salah atau sesat, Jais wajar bertindak.

“Namun Asri telah berulang kali menafikan beliau bukan seorang Wahabi dan tidak menyebarkan fahaman ini.

“Tindakan Jais merupakan satu lagi episod malang bagi perkembangan agama di negara ini,” katanya.

Nasrudin berkata, sepatutnya isu seperti ini boleh diselesaikan secara lebih hikmah tanpa perlu membuat sebarang tangkapan yang boleh mencetus polemik dan rasa tidak puas hati rakyat terhadap kemampuan Jais sendiri.

“Dewan Pemuda Pas bersedia untuk mengadakan dialog dengan Mufti Selangor atau Jais bagi menangani isu seperti pentauliahan demi masa depan dakwah Islam di negeri Selangor,” katanya.

Menurutnya, semenjak Selangor berada di bawah Pakatan Rakyat (PR) keadaan di Selangor banyak berubah terutama kebebasan para penceramah agama untuk menyampaikan kuliah dan tazkirah bagi membasmi kejahilan ummah berbanding di zaman pemerintahan UMNO dulu.

“Sejak PR mengambil alih kerajaan Selangor, rasanya inilah kes pertama tangkapan kerana isu tauliah yang mendapat liputan media,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/com/content/story5421729.asp

 

 

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: