Archive for November 4th, 2009

Respon Husam terhadap wang ihsan: Jangan cuba tipu rakyat

Husam MusaSaya merujuk kepada kenyataan YAB Perdana Menteri Malaysia di Dewan Rakyat pada hari ini 16 Zulkaedah 1430H bersamaan 4 November 2009, mengenai tuntutan royalti petroleum Kerajaan Negeri Kelantan.

1. Royalti atau Wang Ehsan?

Bersama kenyataan ini, saya kembarkan kenyataan media (media release) PETRONAS bertarikh 25 Jun 2009, yang juga boleh dilayari di laman web PETRONAS.

Saya petik apa yang ditulis;

Another RM6.2 bilion was paid in royalty payments to the state governments of Terengganu (RM3.0 bilion), Sarawak (RM2.3 bilion) and Sabah (RM0.9 bilion)

Perhatikan istilah yang digunakan – royalty payment to the state government of Terengganu, Sarawak and Sabah.

Pertama: Ianya ‘Royalty Payment’ termasuk kepada Terengganu dan bukannya ‘Wang Ehsan’

Kedua: ‘to the state governments’ bukannya diuruskan oleh ‘Kerajaan Persekutuan’.

Berasakan ‘media release’ rasmi PETRONAS ini, nyatalah kenyataan YAB Perdana Menteri di Parlimen bahawa bayaran kepada Terengganu sebagai ‘Wang Ehsan’ adalah salah dan ‘misleading’.

2. 3 Batu Nautikal

Pengeluaran petroleum di Sabah, Sarawak dan Terengganu juga berada di luar 3 batu nautikal.

Mengapa Sabah dibayar royalti, bukan ‘Wang Ehsan’?

Mengapa Sarawak dibayar royalti dan bukan ‘Wang Ehsan’?

Mengapa Terengganu juga dibayar royalti terus kepada Kerajaan Negeri?

Nyata asas yang disebut oleh YAB Perdana Menteri mengenai 3 batu nautikal adalah tidak berasas bagi kes-kes Sabah, Sarawak dan Terengganu. Ia sengaja digunakan untuk mendiskriminasikan Kerajaan dan Rakyat Kelantan.

3. Respon Kerajaan Negeri

Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan hari ini bersetuju melantik panel rasmi guaman untuk menasihati Kerajaan Negeri mengenai langkah selanjutnya yang perlu diambil sehingga tuntutan royalti minyak ini dipenuhi.

Antara isu yang dicadang dipertimbangkan oleh panel guaman ini ialah;

Kemungkinan mengambil tindakan mahkamah membatalkan perjanjian penyerahan hak kepada PETRONAS untuk mencarigali dan mengeluarkan sumber petroleum di darat dan lautan Negeri Kelantan 1975 jika sekiranya tuntutan royalti tetap tidak dipatuhi.
Kemungkinan untuk Kerajaan Negeri mengambil tindakan mahkamah di luar negara termasuk perintah injunksi menghentikan pengeluaran di JDA dan CAA yang melibatkan entiti dan syarikat antarabangsa.
Walaubagaimanapun, keputusan muktamad akan ditentukan kemudian selepas pandangan dari panel guaman tersebut.

4. Mengapa ‘Wang Ehsan’ harus diurus oleh Kerajaan Pusat?

Pengumuman YAB Perdana Menteri bahawa Kelantan hanya layak menerima ‘Wang Ehsan’ dan bukannya royalti dan wang ini pula akan diurus oleh Kerajaan Pusat adalah satu keputusan politik. Ia membelakangkan semangat federalisme, kedaulatan undang-undang dan penghormatan terhadap perjanjian dan penghormatan terhadap perjanjian dan menekankan kepentingan politik semata-mata.

Keberkesanan pengurusan oleh Kerajaan Pusat boleh dipertikaikan. Sebagai bukti, dengan jumlah royalti yang besar untuk Terengganu bagi tempoh 20 tahun lalu, masih gagal membenteras kadar kemiskinan yang kekal tinggi di Terengganu.

Kerajaan Negeri mencadangkan ‘Wang Ehsan’ ini dibayar kepada Kerajaan Negeri dan sebuah Badan Penyelaras Penggunaannya bolehlah ditubuhkan dan Kerajaan Pusat boleh menghantar wakil menyertainya untuk memantau penggunaan wang ini.

5. Sekali lagi kami berharap YAB Perdana Menteri berfikir semula dan mengambil kira tuntutan ini atas prinsip kesaksamaan, kedaulatan wilayah dan semangat federalisme yang utuh serta penghormatan perjanjian yang termaktub demi kesejahteraan dan keharmonian Negara Malaysia.

YB. DATO’ HAJI HUSAM BIN HAJI MUSA
PENGERUSI JAWATANKUASA PERANCANGAN EKONOMI,
KEWANGAN DAN KEBAJIKAN
AHLI MAJLIS MESYUARAT
KERAJAAN NEGERI KELANTAN

16 ZULKAEDAH 1430H
04 NOVEMBER 2009

dipetik dari: http://greenboc.blogspot.com/

Sijil kelulusan Dr.Asri dipertikai

Asri mahu saman

Oleh Fuad Hadinata Yaacob
hadinata@hmetro.com.my

Dr.Asri  nak saman

BUKIT MERTAJAM: “Tuduhan itu melampau dan mahu menjatuhkan kredibiliti saya pada pandangan masyarakat umum.

“Justeru, saya akan ambil tindakan undang-undang ke atas beliau (Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zamihan Mat Zain AlGhari) serta Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dalam tempoh terdekat,” kata bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengenai tindakan pihak berkenaan yang disifatkannya keterlaluan.

Bercakap kepada pemberita ketika memberi penjelasan mengenai isu berkaitan di Institut al-Qayyim di sini, kira-kira jam 10 malam tadi, beliau berkata tindakan Zamihan adalah perbuatan memfitnah dan berniat memalukannya.

“Zamihan berkata, sijil saya palsu tapi bagaimana sebagai bekas mufti boleh memalsukan sijil sedangkan ia perlu untuk tujuan tertentu seperti menyambung pelajaran selain bertugas sebagai pensyarah.

 “Sebenarnya saya malu untuk menjawab perkara ini tapi pada masa sama dukacita dengan dakwaan dilemparkannya.

“Peguam saya kini dalam proses menyiapkan draf terakhir dan esok (hari ini), saya akan menelitinya sebelum mengambil tindakan seterusnya,” katanya.

Dr Asri berkata demikian ketika mengulas dakwaan Zamihan dalam laporan sebuah akhbar, semalam bahawa beliau memalsukan kelayakannya dalam bidang syariah peringkat Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Bahasa Arab/Syariah dari Universiti Jordan.

Zamihan mendakwa, bidang pengkhususan Dr Asri ialah Bahasa Arab dan Sastera kerana Universiti Jordan tidak menawarkan dua pengkhususan dalam satu ijazah.

Bekas mufti itu berkata, tindakan Zamihan mempunyai niat tertentu yang boleh menjejas dan memalukan institusi berkenaan.

Pada sidang media itu, Dr Mohd Asri turut menunjukkan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab/Syariah yang diperolehnya pada 1995.

“Bagaimana saya hendak palsukan ijazah ini dan saya yakin dia hendak beritahu masyarakat supaya tidak percaya dengan saya,” katanya dengan nada kesal.

Mengenai tindakan saman ke atas PGSM, beliau berkata, ia berikutan rentetan memorandum yang dihantar persatuan itu serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepada Yang di-Pertuan Agong pada 12 Oktober lalu yang membantah cadangan melantik beliau sebagai Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Dr Mohd Asri turut meminta Jakim memohon maaf terhadap tindakan Zamihan dan meminta jabatan itu memberi penjelasan mengenai perkara berkenaan.

http://www.hmetro.com.my/Wednesday/BeritaUtama/20091104080024/Article

 Towardsmardhatillah: Kes-kes beli sijil di kalangan para penuntut pengajian agama/b.arab banyak berlaku di kalangan pelajar Melayu di Al-Azhar University, Mesir.