Ibadat Haji dan Umrah.

Haji dan umrah adalah dua bentuk ibadat dengan cara mengunjungi Rumah Allah (Baitullah) dalam tempoh yang tertentu. Kedua-duanya lazim dilakukan oleh golongan muslimin mukallafin; iaitu mereka yang berkemampuan  dalam segenap aspek yang ditetapkan oleh syarak untuk berada di Baitullah. Ertinya, ibadat haji hanya wajib ke atas; mereka yang beragama Islam, baligh, berakal, merdeka, kemampuan untuk perjalanan sepanjang ibadat berkenaan dan perjalanan yang aman. Meskipun begitu, ibadah haji yang ditunaikan oleh kanak-kanak yang belum baligh juga sah di sisi syarak. Ada beberapa perbezaan antara kedua-dua ibadat ini yang perlu diberi perhatian, iaitu;

i)                    Ibadat haji adalah rukun Islam kelima. Ia wajib disempurnakan sekali dalam seumur hidup oleh golongan muslimin yang berkemampuan. Sedangkan hukum ibadat umrah pula hanyalah sunnat muakkadah untuk dilakukan bila-bila masa sekalipun termasuklah dalam musim haji. Malah Rasulullah sendiri hanya melakukan sekali sahaja ibadat haji dan empat kali ibadat umrah sepanjang hayat beliau (iaitu umrah al-Hudaibiyah, umrah al-Qadha’, umrah al-Ji`ranah dan umrah terakhir bersekali dengan ibadat hajinya).

ii)                   Haji wajib dilakukan dalam musimnya sahaja. Manakala umrah boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja.

iii)                 Wukuf di Arafat adalah salah satu daripada rukun haji tetapi tidak bagi ibadat umrah. (Rukun umrah adalah sama dengan rukun haji kecuali wukuf di Arafah).

iv)                  Selain daripada berbeza niat antara kedua-duanya, miqat zamani dan juga makani bagi haji dan umrah juga berbeza.

v)                  Tidak diwajibkan melontar jamrah al-Aqabah dan juga ketiga-tiga jamrah pada hari-hari tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijjah) bagi ibadat umrah. Sedangkan ibadat melontar jamrah adalah antara perkara wajib haji.

Selain daripada semua perbezaan yang dinyatakan secara ringkas ini, rukun haji, perkara-perkara wajib haji dan perkara-perkara sunat sepanjang ibadat haji perlu diberi perhatian serious oleh mereka yang terlibat mengerjakannya. Jika tertinggal rukun atau tidak melakukan salah satu daripada rukunnya, maka batallah ibadat haji tersebut dan wajib diqadha’. Terpaksalah datang lain kali pula untuk menyempurnakannya.

 Rukun Haji ialah

i)                      Berihram yang disertai niat.

ii)                     Wuquf di Arafah.

iii)                   Tawaf Baitullah (tawaf Ifadah).

iv)                   Sai`e antara Safa dan Marwah.

v)                    Bercukur atau mengunting rambut sekurang-kurangnya tiga helai rambut.

 Sekiranya tertinggal atau tidak melakukan salah satu daripada wajib haji, ibadat haji tidak batal tetapi diwajibkan menyempurnakan dam. Disamping itu, segala larangan sepanjang dalam tempoh berihram juga wajar dijauhi agar ibadat haji atau umrah terpelihara, tidak terbatal ataupun dikenakan dam kerana meninggalkan perkara wajib haji.

 Perkara Wajib Haji; 

i)                    Berihram di Miqat.

ii)                   Melontar ketiga-tiga jamrah pada hari-hari tasyrik dan jamrah Aqabah pada pagi hari raya Aidil Adha.

iii)                 Tawaf wida’ (tawaf mengucapkan selamat tinggal kepada Kaabah)

Dari sudut perkara-perkara sunat pula, para jamaah haji lebih terdedah dengan menghafal berbagai jenis doa dalam Arab sama ada ketika berada di Bukit Safa dan juga Bukit Marwah, semasa melihat Kaabah dan lain-lain lagi. Adakalanya hafalan-hafalan sedemikan banyak membebankan mereka hingga menyebabkan mereka meminggirkan perkara-perkara lain secara tidak sengaja. Jika menyulitkan para jamaah haji, sebenarnya berdoa boleh dilafaz dalam apa jua bahasa termasuklah doa dalam bahasa Melayu.

 Perkara Sunat Haji;

 Antaranya ialah;

i)                    Mendahului haji sebelum menunaikan ibadah umrah.

ii)                   Lafaz talbiyah (Labbaika Allahumma labbaik)

iii)                 Tawaf qudum (tawaf permulaan masuk Masjidil Haram.

iv)                 Bermalam di Muzdalifah. (walaupun untuk tempoh sekejap)

v)                  Menunaikan solat tawaf dua rakaat (selepas tawaf).

vi)                 Bermalam di Mina.( Memadai dengan tempoh sekejap)

 Sepanjang berada dalam ihram, beberapa perkara juga diharamkan ke atas mereka yang berihram, iaitu;

i)                    Memakai kain berjahit.

ii)                   Menutup kepala bagi lelaki sama ada berkopiah atau dengan serban dengan sengaja dan menutup muka dengan purdah bagi wanita.

iii)                 Mengurang rambut/bulu di seluruh badan.

iv)                 Memotong kuku.

v)                  Memakai wangian selepas memakai ihram (kecuali disapukan wangian terlebih dahulu ke kain ihram sebelum memakai ihram).

vi)                 Membunuh dan memburu haiwan (kecuali haiwan yang berbisa dan merbahaya kepada dirinya). Dilarang juga memotong, memangkas, mencabut sebarang jenis tumbuhan/tanaman  di kawasan tanah haram (Mekah dan Madinah) untuk keperluan asas seperti dijadikan alat untuk membajak tanah.  

vii)               Akad nikah (sama ada menikahkan orang lain ataupun dinikahkan).

viii)              Berseronok  hingga menaikkan syahwat.

ix)                 Bersetubuh sebelum selesai tahallul awal sama ada selepas wuquf di Arafah ataupun sebelumnya membatalkan ibadah haji serta diwajibkan dam dan juga  wajib diqadha pada tahun yang seterusnya.

Sesiapa yang menyapu atau memakai wangian selepas memakai ihram kerana dirinya tidak mengetahui tentang larangan berkenaan ataupun secara tidak sengaja, maka tidak dikenakan sebarang hukuman melainkan beristighfar kepada Allah sahaja.  Selain daripada menjaga perkara-perkara yang perlu diberi keutamaan dari sudut fiqh Islam sepertimana yang dinyatakan ini, ada satu lagi perkara yang wajar dititik beratkan oleh para jamaah haji tapi sayangnya ramai juga dikalangan mereka yang mengabaikannya, iaitu penghayatan falsafah ibadat haji itu sendiri. Dari sudut penghayatan ibadat, tiga perkara perlu diberi perhatian, iaitu;

i)                    Pengamatan terhadap kesan sejarah silam Islam. Namun sayang sekali penghayatan dalam perkara ini sukar dialami oleh para jamaah haji kerana kebanyakkan kesan-kesan peninggalan sejarah Islam Islam bermula dari zaman Nabi Adam a.s termasuklah rumah kediaman Rasulullah dan tempat-tempat bersejarah yang lain sudah banyak diubah oleh kerajaan Arab Saudi semata-mata kerana memenuhi tuntutan golongan Wahhabi.

ii)                   Merendahkan diri sepanjang ibadah tersebut (haji dan umrah). Memang kita semua tidak wajar (diharamkan) bersikap takabbur lebih-lebih lagi semasa berada di Rumah Allah. Lantaran itu, berihram putih tanpa mengenal darajat pangkat dan keturunan tidak memberi sebarang erti jika tidak disusuli dengan kesedaran diri dan sifat merendah diri di Rumah Yang Maha Esa. Tidak penting lagi siapa VVIP ataupun siapa penarik  beca apabila semuanya setaraf dengan memakai ihram putih di hadapan Allah Subhana wa Taala. Perlu difahami juga setiap sen duit yang dibelanjakan sepanjang ibadat haji adalah sama dengan perbelanjaan  fi sabilillah sepertimana yang dinyatakan oleh Rasulullah “Perbelanjaan untuk ibadat haji adalah sama dengan perbelanjaan di jalan Allah (fi sabilillah). Satu dirham menyamai 700 kali ganda pahalanya”. Namun bukanlah bererti menunaikan tambang perjalanan dan pembiayaan haji yang mahal merupakan syarat utama untuk mendapat haji mabrur. Orang awam yang pergi dengan tambang secara biasa (bukan secara VVIP) pun mampu mendapatkan haji mabrur jika mereka menjaga segala perkara yang diperkatakan sebelum ini.  Penyediaan kaedah ihram sama ada ihram ifrad, tamattu’ ataupun qiran sebenarnya hanyalah merupakan optional bagi mereka mengikut kadar kemampuan masing-masing sahaja dan bukanlah merupakan satu pengkelasan kasta dan juga pangkat keilmuan seseorang.

iii)                 Bersusah payah demi mencapai mardhatillah. Dari sudut ini juga, para jamaah haji masa kini didapati tidak menghadapi dugaan bersusah payah sepanjang ibadat haji kerana terlalu banyak kemudahan yang disediakan oleh pihak kerajaan Arab Saudi. Umpamanya bagi ibadat saie antara Bukit Safa dan Marwah pun tidak lagi dilakukan di bawah terik panas matahari seperti zaman dahulu. Begitu juga situasi di Padang Arafat yang disediakan air pancut bagi menyejukkan persekitaran bagi para jamaah haji serta ditanam pokok-pokok  dan juga rumput bagi meredupkan persekitaran. Dengan kewujudan kemudahan sedemikian menyebabkan situasi bersusah payah demi mencapai mardhatillah semakin terpinggir dan lupus begitu sahaja.   

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: