Solat Jumaat dan beberapa hukum berkaitan dengannya (Part 2)

Lantaran kelebihan atau fadhilat hari Jumaat sepertimana yang dihuraikan dalam entry yang lalu, beberapa perkara turut digalakkan ke atas umat Islam menyempurnakannya pada hari tersebut, iaitu;

i)                    Berdoa: Lebih banyak dan bersungguh berdoa pada hari tersebut. Daripada Abi Said dan Abi Hurairah r.a , Rasulullah bersabda “Sesungguhnya hari kiamat berlaku pada hari Jumaat yang tidak menggugat seseorang hamba muslim yang sedang berdoa pada hari itu kecuali diberikan kepadanya kebaikan dan ia adalah selepas waktu asar”.

ii)                   Perbanyakkan selawat serta salam ke atas Rasulullah pada malam dan hari Jumaat. Daripada Aus bin Aus r.a , Rasulullah bersabda “Hari kamu yang paling mulia ialah hari jumaat. Padanya diciptakan Adam a.s dan dimatikan beliau. Pada hari jumaat ditiup sangkakala, padanya juga berlaku hari kiamat. Maka perbanyakkanlah selawat ke atasku. Sesungguhnya selawat kamu itu sampai kepadaku”. Mereka bertanya “Wahai Rasulullah! Bagaimana selawat kami boleh sampai kepada Tuan sedangkan Tuan telah binasa?”. Jawab Rasulullah “Sesunguhnya Allah Azza wa Jalla mengharamkan bumi makan semua jasad para Anbiya’” (jasad para anbiya’ tidak hancur dimamah bumi).  

iii)                 Membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat dan malamnya: Daripada Abi Said al-Khudri, bahawa Rasulullah bersabda “Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada malam Jumaat, nescaya dia disuluhi cahaya (hidayah) antara tempoh dua Jumaat”.

iv)                 Mandi dan berhias: Digalakkan bagi sesiapa yang ingin hadir solat Jumaat di masjid ataupun mana-mana majlis kemasyarakatan  (perhimpunan orang ramai) sama ada lelaki ataupun wanita, tua, muda, kanak-kanak, bermukim ataupun bermusafir untuk berhias serta menjaga kebersihan diri masing-masing, memberus gigi, memakai wangian dan memakai pakaian yang terbaik  serta menutup aurat pada hari Jumaat. Daripada Abi Said al-Khudri, Nabi s.a.w bersabda “Digalakkan ke atas setiap orang muslim mandi pada hari jumaat, memakai pakaiannya yang terbaik sekali dan jika dia mempunyai wangian, maka sapukanlah pada pakaiannya”. Dalam pada itu, digalakkan juga Qiyam al-lail pada malam Jumaat tetapi makruh puasa sunat pada siangnya.

v)                  Awal menuju ke masjid untuk solat Jumaat (selain imam)

vi)                 Berpindah tempat duduk  semasa berada di dalam masjid bagi mengelakkan mengantuk. Daripada Ibn Umar r.a, bahawa Nabi s.a.w bersabda “Apabila salah seorang daripada kalangan kamu mengantuk sedangkan dia sedang berada di dalam masjid, maka hendaklah dia berpindah dari tempat duduknya ke lokasi lain”.

Sebagaimana yang dinyatakan dalam entry yang lalu, Ijma’ ulama’ sepakat mengatakan solat jumaat dengan dua jumlah rakaatnya adalah fardhu ain berdalilkan nas al-Quran,  surah al-Jummuah, ayat 9. Ia diwajibkan ke atas individu lelaki muslim yang merdeka, berakal, baligh, bermukim serta berkemampuan untuk menunaikannya dan tidak terikat dengan sebarang keuzuran yang mengharuskannya meninggalkan solat Jumaat. Daripada Abi al-Ja`di al-Dhamari, Rasulullah bersabda “Sesiapa yang meninggalkan 3 kali jumaat  secara sengaja (tanpa keuzuran), nescaya Allah mempeterikan (menutup) hatinya”.

  Mereka yang tidak diwajibkan solat jumaat ialah;

i)                    Kaum wanita dan kanak-kanak. (Namun jika mereka menunaikannya, hukum solat tersebut tetap sah).

ii)                   Orang sakit yang menyusahkan dirinya untuk bergerak bagi menunaikan solat jumaat atau dikhuatiri akan bertambah mudharat penyakit atau disebabkan kelembabannya dan kelewatannya untuk menunaikan solat jumaat. Daripada Thariq bin Shihab r.a, Nabi s.a.w bersabda “Solat Jumaat adalah wajib ke atas setiap individu muslim secara berjamaah kecuali empat golongan, iaitu; hamba yang dimiliki, wanita, kanak-kanak dan orang sakit”.

iii)                 Orang musafir. Ini kerana Rasulullah  s.a.w ketika mana pernah mengembara (musafir), maka beliau tidak menunaikan solat Jumaat dalam perjalanannya. Malah pada hari Hijjah al-Wida’  di Arafah pada hari jumaat, beliau menunaikan solat zohor dan asar secara jama’ taqdim dan tidak menunaikan solat jumaat.

iv)                 Orang berhutang yang dalam kesusahan serta bimbang dirinya ditahan dan juga individu yang bersembunyi daripada pemerintah atau hakim yang zalim. Daripada Ibn Abbas r.a, Nabi s.a.w bersabda “Sesiapa yang mendengar seruan azan, lalu tidak disahut, maka tidak wajib solat jumaat ke atasnya disebabkan keuzuran”. Mereka bertanya “Wahai Rasulullah! Apakah keuzuran itu?” Jawab Nabi s.a.w “Ketakutan dan penyakit”.

v)                  Semua bentuk keuzuran yang mengharuskan seseorang itu meninggalkan jamaah solat jumaat seperti halangan hujan lebat, lumpur jalan yang banyak (menyukarkan perjalanan), cuaca terlalu sejuk, ribut dan sebagainya. Daripada Ibn Abbas r.a berkata, beliau berpesan kepada muazzin (juru bang azan) pada hari hujan “ Apabila kamu lafazkan Asyhadu anna Muhammadan Rasulullah, maka janganlah kamu laungkan “Hayya ala solat”. Katakanlah “Tunaikanlah solat di rumah-rumah kamu”. Lalu kelihatan orang ramai tidak bersetuju dengannya.  Kemudian beliau berkata “Ia juga dilakukan oleh individu yang lebih baik daripada diriku (Rasulullah). Sesungguhnya solat jumaat adalah satu kewajiban. Namun aku tidak mahu kamu berjalan di atas tanah lumpur dan becak”. Daripada Abi Mulih daripada bapanya; dia melihat (menyaksikan sendiri) Raslullah pada hari hujan dan mereka (para jamaah) basah ditimpa hujan tetapi selipar mereka masih belum basah. Lalu Rasulullah mengarahkan mereka semua menunaikan solat di rumah masing-masing”.

Tidak diwajibkan solat jumaat ke atas semua mereka ini. Malahan wajib ke atas mereka solat zohor. Sesiapa daripada kalangan mereka yang menunaikan solat jumaat, maka hukumnya adalah sah dan gugurlah kewajiban solat zohor ke atas dirinya. Sebagai makluman tambahan, kaum wanita pada zaman Rasulullah hadir  ke masjid dan turut bersembahyang jumaat bersama-sama beliau.

Jumhur para sahabat dan para tabiin berpendapat; waktu solat jumaat adalah waktu zohor berpandukan sebuah hadis daripada Anas r.a bahawa Rasulullah s.a.w menunaikan solat jumaat apabila matahari mulai condong.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: