Archive for November 25th, 2009

Beberapa peringatan untuk berhari raya

Solat hari raya (aidil-fitri dan aidil-adha) disyariatkan pada tahun pertama hijrah. Hukumnya adalah sunnah muakaddah. Pada kedua-dua hari mulia ini juga, seluruh umat Islam dituntut agar mengambil berat perkara-perkara berikut;

i)                    Mandi sunat hari raya, memakai wangian dan memakai pakaian yang terindah (terbaik). Daripada Jaafar bin Muhammad daripada bapanya daripada datuknya, bahawa Nabi s.a.w memakai baju  Yaman pada setiap hari raya. Daripada Hasan al-Sabth “Rasulullah menyuruh kami memakai sebaik-baik pakaian, memakai wangian dan berkorban (menyembelih ternakan)  pada kedua-dua hari raya”.  

ii)                   Makan (mengisi perut) terlebih dahulu sebelum keluar pada pagi hari raya aidil fitri (kecuali hari raya aidil adha). Disunatkan makan beberapa biji buah tamar mengikut bilangan ganjil (sama ada 3, 5 ataupun 7 biji) pada pagi hari raya aidil fitri.  

iii)                 Keluar menuju ke musalla (tempat sembahyang/kawasan lapang). Diharuskan juga solat hari raya ditunaikan di masjid. Jika tiada sebarang halangan/keuzuran, adalah lebih afdhal ditunaikan solat hari raya di luar kawasan atau wilayah sendiri.

iv)                 Kaum wanita dan kanak-kanak digalakkan sama menyertai solat ini.

v)                  Digalakkan agar masing-masing (sama ada imam ataupun makmum) pergi menggunakan jalan lain dan balik semula ke rumah masing-masing melalui jalan lain.

vi)                 Waktu solat bermula sekurang-kurangnya dengan tegaknya matahari sekadar tinggi 3 meter (sebatang lembing) mengikut pandangan mata. Berdasarkan apa yang dinyatakan oleh Ahmad bin Hasan al-Banna daripada hadis Jundab, “Rasulullah s.a.w pernah mengimani solat aidil fitri dan matahari pada masa itu berada pada kadar 2 batang lembing dan solat aidil adha pula dengan kadar jarak sebatang lembing.

vii)               Tidak perlu iqamat, lafaz al-solat jamiah dan juga azan bagi solat sunat hari raya. Malah disunatkan untuk tidak melafazkan kesemuanya ini.

viii)              Bertakbir dalam solat. kedua-dua solat hari raya dua rakaat. Disunatkan bertakbir sebelum bacaan surah pada rakaat pertama sebanyak tujuh kali selepas takbiratul ihram dan lima kali takbir pada rakaat kedua sebelum bacaan surah dengan mengangkat kedua-dua belah tangan.

ix)                 Tidak disunatkan menunaikan solat sunat sebelum dan selepas solat sunat hari raya.

x)                  Solat sunat hari raya sah ditunaikan oleh semua lapisan masyarakat mukallafin daripada kalangan lelaki dan wanita, budak-budak, mereka yang bermusafir dan juga mereka yang bermukim sama ada secara berjamaah ataupun secara sendirian di rumah, di masjid, di musalla atapun di mana sahaja.

xi)                 Disunatkan mendengar khutbah selepas solat.

xii)               Diharuskan hiburan, permainan, nyanyian dan majlis makan mengikut kadar yang dibenarkan oleh syarak bagi meraikan hari raya.

xiii)              Disunatkan mengucapkan tahniah ataupun sebarang ucapan yang seumpamanya seperti ucapan “Selamat Hari Raya”.  

xiv)             Bertakbir disunatkan pada kedua-dua hari raya.  

Solat jumaat dan solat hari raya pada hari yang sama

Apabila solat jumaat dan hari raya (sama ada aidil fitri ataupun aidil adha) jatuh pada hari yang sama, gugurlah hukum wajib solat jumaat ke atas sesiapa yang menunaikan solat sunat hari raya. Daripada Zaid bin Arqam berkata “Nabi s.a.w menunaikan solat sunat hari raya kemudian beliau memberi keringanan dalam masalah solat jumaat. Sabda beliau “Sesiapa yang ingin menunaikannya (solat jumaat), maka tunaikanlah”.  

Daripada Abu Hurairah r.a “Pada hari kamu ini (hari jumaat) berkumpul dua hari raya. Oleh itu, sesiapa yang ingin menunaikan jumaat, sesungguhnya kami juga daripada kalangan mereka yang sanggup dihimpun untuk solat jumaat”.

Dalam pada itu, digalakkan bagi seseorang imam mendirikan (mengimani) solat jumaat bagi sesiapa yang ingin mendirikannya dan bagi sesiapa yang tidak menunaikan solat sunat hari raya. Malah, wajib solat zohor bagi sesiapa yang meninggalkan solat jumaat kerana telah menunaikan solat sunat hari raya pada waktu paginya.

Mengenai berkhitan: potong jangan tak potong!

Dari sudut bahasa khitan atau lebih mahsyur dengan sebutan berkhatan dalam masyarakat Melayu ialah; potong kulup (penutup kulit)yang menutup kepala zakar. Dari sudut istilah syarak; ia merupakan bahagian yang melingkari bawah takok (hasyafah) kepala zakar; iaitu bahagian yang berkaitan dengan hukum syarak yang ingin dinyatakan seterusnya.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Thabrani, Rasulullah bersabda “Apabila bertemu dua khitan (zakar lelaki dan faraj perempuan) dan hasyafah lenyap ke dalam faraj (takok kepala zakar), maka diwajibkan mandi sama ada seseorang itu telah keluar mani ataupun tidak”.

Terdapat banyak hadis-hadis yang menjelaskan tentang pensyariatan khitan. Antaranya ialah;

i)                    Daripada Ammar bin Yasir berkata, Rasulullah s.a.w bersabda “Antara fitrah manusia ialah; berkumur, memasukkan air dalam hidung, menipiskan misai, bersugi, memotong kuku, membuang bulu ketiak, mencukur bulu di sekitar kemaluan dan berkhatan” (Dinyatakan dalam Musnad Imam Ahmad)

ii)                   Dalam Shahihain (al-Bukhari dan Muslim), Abu Hurairah r.a mengatakan, Rasulullah bersabda “ Ada lima perkara fitrah bagi manusia, iaitu ; berkhitan, mencukur bulu kemaluan, menipiskan misai, memotong kuku dan membuang bulu ketiak”

Meskipun begitu, para fuqaha’ Islam berselisih; apakah hukum khitan itu wajib ataupun sunat? Dalam masalah ini, mereka yang berpendapat hukum khitan adalah sunat seperti Imam Hasan al-Basri, Imam Abu Hanifah dan sebahagian ulama’ mazhab Hanbali berpegang dengan hujjah mereka; iaitu;

i)                    Diriwayatkan oleh Imam Ahmad  daripada Shidad bin Aus daripada Nabi s.a.w, Baginda bersabda “Berkhitan adalah sunat bagi kaum lelaki dan satu penghormatan bagi kaum wanita”.

ii)                   Golongan ini juga berpegang dengan Hadis Rasulullah yang mengesahkan bahawa khitan adalah termasuk dalam perkara-perkara sunat seperti memotong kuku, buang bulu ketiak dan sebagainya.

iii)                 Menurut Hasan al-Basri “Rasulullah telah mengIslamkan ramai manusia; ada yang berkulit hitam, berkulit putih, berbangsa Rom, Farsi, Habsyi. Namun beliau tidak memeriksa pun seorangpun daripada kalangan mereka ini. Kalaulah khitan ini wajib, sudah tentu beliau (Rasulullah) tidak menerima mereka yang memeluk agama Islam ini hinggalah mereka berkhitan”.

Sementara golongan yang berpendapat khitan itu adalah wajib seperti al-Sya`bi, Rabiah, al-Auza’ie, Yahya bin Saad al-Ansari, al-Imam Malik, al-Imam al-Syafie dan Imam Ahmad. Malah al-Imam Malik begitu memandang serious masalah khitan dengan mengatakan “Sesiapa yang tidak berkhitan, tidak diterima sebagai imam solat dan tidak diterima pengakuan (penyaksiannya)”. Walaupun begitu serious pandangan al-Imam Malik, Ibn Juzaiy tetap mengatakan al-Imam Malik berpendapat hukum berkhitan adalah sunat muakaddah dalam kitabnya, al-Qawanin al-Fiqhiyyah, hlm 167.

Antara hujjah-hujjah yang dipegang oleh golongan ini ialah;

i)                    Hadis daripada Usaim bin Kulaib daripada bapanya daripada datuk yang menemui Rasulullah dan berkata “Aku telah masuk Islam” Lalu Rasulullah berkata kepada beliau “Cukurlah rambutmu dan berkhitanlah”.

ii)                   Diriwayatkan daripada Harb dalam masalahnya daripada al-Zahri berkata, Rasulullah bersabda “Sesiapa yang memeluk agama Islam, maka hendaklah dia berkhitan meskipun usianya telah lanjut”.

iii)                 Daripada Waki’ daripada Salim daripada Amru bin Haram daripada Jabir daripada Yazid daripada Ibn  Abbas r.a berkata “Yang tidak berkhitan tidak diterima solatnya dan sembelihannya tidak dimakan”.

iv)                 Golongan ini juga menyabitkan kewajiban berkhitan dengan masalah terdedah kepada perkara yang merosakan kesucian dan solat seseorang. Jika kulup menutup kepala zakar keseluruhannya , maka ia boleh menangkung kesan air kencing. Menurut mereka, sah ataupun tidak cara bersuci dan juga solat itu tergantung kepada khitan .

v)                  Mereka juga berpegang dengan firman Allah Taala surah al-Nahl, ayat 123.

ثم أوحينا اليك أن اتبع ملة ابراهيم حنيفا

vi)                 Nabi Ibrahim adalah manusia pertama berkhitan (beliau melakukan sendiri) semasa usia beliau 80 tahun sepertimana yang dinyatakan dalam Shahihain (al-Bukhari dan Muslim)[1].

 Meskipun kedua-dua kelompok fuqaha’ ini berselisih tentang hukum khitan bagi kaum lelaki tapi mereka semua sepakat mengatakan bahawa hukum khitan[2] ke atas kaum wanita adalah sunat muakkadah. Dalam pada itu terdapat juga di kalangan masyarakat Arab seperti di Tunisia yang tidak mengamalkan khitan atau khifad bagi kaum wanita dengan hujjah; mereka mahukan seseorang isteri yang lebih “asli” dalam keadaan asalnya. Sementara di beberapa Wilayah di Sudan, khitan Fir aun diamalkan kononnya untuk menjaga maruah serta kemuliaan  seseorang wanita[3]

Kebanyakkan ahli ilmu berpendapat; khitan diwajar dilakukan semasa budak lelaki meningkat umur baligh. Malah ada yang berpendapat lebih afdhal bagi pihak ibubapa/penjaga melaksanakan khitan ke atas anak lelaki mereka sejak mula hari kelahirannya. Pendapat ini tidak dipersetujui oleh Ibn Juzaiy yang mengatakan dalam kitabnya Al-Qawanin al-Fiqhiyyah (hlm 167); Digalakkan waktu khitan diperlewatkan hingga anak tersebut boleh diajarkan solat; iaitu sekitar umur 7 hingga 10 tahun. Makruh juga dilakukan khitan ke atas bayi pada hari pertama kelahirannya dan juga pada hari ketujuh kelahiranya kerana ini adalah amalan kaum Yahudi[4].

Pendapat Ibn Juzaiy ini disanggah oleh mereka yang berpegang dengan hadis berikut;

Daripada Jabir r.a berkata “Rasulullah mengadakan aqiqah bagi kedua cucunya Hasan dan Hussien serta mengkhitankan kedua-duanya pada hari ketujuh kelahiran mereka”.

Ibn Juzaiy juga berpendapat; adalah amat dituntut diadakan jamuan makan sempena majlis berkhatan bagi lelaki tetapi tidak bagi majlis khifad kaum wanita.

Hikmah berkhitan wujud dalam dua sudut, iaitu;

i)                    Sudut agama: merupakan salah satu syiar agama Islam.

ii)                   Sudut kesihatan: mengutamakan kebersihan dan kesucian, mengawal dan menstabilkan nafsu syahwat (terutama bagi kaum wanita) serta memberi keselesaan semasa berjima’ (bersetubuh). Jika bayi atau kanak-kanak dikhitankan pada awal usia, sisa air kencing tidak akan bertangkung di celah kulup kemaluan mereka.


[1] Dalam hadis berkenaan dinyatakan; amalan berkhitan menjadi ikutan para Anbiya’ selepas Nabi Ibrahim serta para pengikut mereka hinggalah muncul kebangkitan Nabi Muhammad s.a.w.

[2] Bagi kaum wanita, istilah khifad lazim digunakan dan bukannya khitan.

[3] Dinamakan khitan fir-aun kerana ia merupakan satu adat yang dianggap zalim kerana kelentit seseorang gadis dipotong semua sekali. Kemudian fajarnya dijahit rapat dan hanya boleh ditembusi oleh zakar suaminya setelah diijab qabulkan. Adat ini sudah mulai dilupuskan.

[4] Bagi kaum Nasrani, ada golongan berkhitan dan ada juga yang tidak berkhitan.