Archive for November 27th, 2009

Malam Raya bersama Kickdefella

Menjelang senja di PCB, saya membawa pulang Pak Aet sekeluarga ke kediaman mereka di Tunjung. Sesampai di Tunjung, kedengaran azan menandakan masuk waktu maghrib bagi kawasan Kota Bharu dan kawasan-kawasan yang sewaktu dengannya. Saya terus berwudhu’ dan menunaikan solat maghrib di situ. selepas itu, saya dikejutkan dengan satu panggilan telefon daripada bekas rakan sekerja mengatakan bahawa Syed Azidi (Kickdefella) baru saja sampai di Kota Bharu untuk beraya bersama keluarganya di Kg.Demit.  Buat pengetahuan umum, Syed Azidi merupakan bekas boss saya semasa kami sama-sama bekerja di Global Media Channel Sdn.Bhd (GMC) satu ketika dulu.

Kebetulan semasa saya sampai di rumahnya, beliau sedang makan malam dengan ahli keluarganya. Inilah pertama kali saya berpeluang berjumpa dengan Pak Sheikh selepas kontraknya dengan PMBK dihentikan serta merta baru-baru ini. Saya dijamu dengan daging tulang rusuk panggang. Sedap sekali citarasa masakan daging panggang Arab nih. Memang daging tulang rusuk merupakan antara makanan yang paling digemari oleh Rasulullah. Anyway, dalam perjumpaan ringkas ini, saya sempat mengambil gambarnya yang terbaru. Berkaitan dengan apa yang telah berlaku antara beliau dan ArifFahmi, saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih di atas keberanian beliau mendedah serta membuka mata sekalian rakyat Malaysia tentang penyelewengan dalam PMBK. Tindakan Kickdefella itu juga bagaikan mencabut duri dalam daging yang sekian lama tersusuk dan amat sukar dibuang!

Petang Raya di PCB

Ramai pelancong dari negeri-negeri lain di seluruh bertumpu di Kelantan terutama pada setiap kali hari raya aidil fitri dan aidil adha. Antara lokasi yang tak pernah lekang daripada para pelancong ialah PCB atau nama penuhnya Pantai Cahaya Bulan. Aktiviti utama di sini lebih-lebih lagi pada waktu petang ialah acara menaikkan layang-layang yang dijual dengan berbagai bentuk, saiz dan juga harga. Kunjungan saya ke sini pada petang raya ini bertujuan untuk meraikan Pak Aet sekeluarga kerana esok, pada pagi raya haji kedua, isteri dan anak bongsunya akan berangkat pulang ke Indonesia.

Pagi Raya di rumah Dato’ Husam.

Selang beberapa hari yang lalu, arena politik tanahair boleh dikatakan jadi hingar bingar setelah Dato’ Husam mengumumkan melalui akhbar tempatan bahawa dirinya tidak perlu dicalonkan sebagai Menteri Besar Kelantan. Bagi saya, walaupun kenyataan yang diumumkan itu tulus terbit dari hatinya, namun dari sudut pengamatan masa depan politik di negeri Kelantan; ia bukannya satu pengumuman yang terbaik untuk rakyat Kelantan. Mengapa saya kata begitu? Dato’ Husam sebenarnya lain daripada yang lain. Sukar untuk dicari ganti. Yang paling saya salute ialah ideanya yang sentiasa up-to-date. Dengan kata lain, beliau ialah seorang reformis rakyat yang sentiasa maju ke depan dengan idea-idea yang lebih bernas untuk menerajui perubahan demi kepentingan rakyat jika dibandingkan dengan wakil-wakil rakyat PAS yang lain . Ada pihak mengatakan; Dato’ Husam masih mampu melontarkan idea-ideanya walaupun setelah berundur daripada saf kepimpinan PAS Negeri Kelantan dan kembali berperanan di Parlimen seperti dulu. Namun bagi saya  pendapat sedemikian adalah tidak berasas sama sekali. Mengapa orang yang bijak seperti beliau perlu berundur jika jawatan itu sudah sesuai dengan watak dan keterampilan dirinya? Oleh itu, tidak wajarlah baginya menarik diri jika dicalonkan sebagai Menteri Besar apabila  Tok Guru berundur kelak selepas PRU-13. Agak begitu terlewat dan tidak sesuai bagi Tok Guru untuk berundur dalam masa terdekat sebelum muncul PRU-13 akan datang. Dato’ Husam juga tak perlu mengundur diri semata-mata ingin meredakan situasi ekoran pelbagai konspirasi dalaman serta   rintangan oleh mereka yang sentiasa berusaha ingin membunuh karier politiknya. Persetankanlah semua itu!!! Hari ini kita berhari raya…………

Pagi ini selepas solat hari raya aidil adha, saya menuju ke rumahnya. Dato’ Husam dan ahli keluarganya menumbangkan 5 ekor lembu sebagai korban untuk diagih-agihkan daging itu kepada orang ramai terutama sekali rakyat miskin dalam DUN Salor. Selepas mengimani solat dan berkhutbah hari raya, dia sendiri jadi tukang sembelih dan turut sama melapah daging bersama rakyat DUN Salor. Yang menarik perhatian sekali ialah kesungguhan Walid al-Jazairi melapah daging mengikut style orang Algeria dengan berkain pelikat.

Yang paling mengejutkan saya pula ialah kewujudan bekas rakan sekelas semasa di Maahad Muhammadi, Zahari yang menyapa saya semasa saya ghalik (asyik) mengambil gambar  mereka yang bergotong royong melapah daging-daging semua lembu yang rebah di tangan Dato’ Husam. Saya turut berkongsi tenaga menyiapkan sebahagian daging dan hati yang siap dilapah untuk dipanggang. Kali ini, Dato’ menjemput Mr.Hisham al-Misri sebagai chef  utama bagi menyediakan “Kuftah” dan “kabab”, iaitu dua jenis daging panggang masakan Arab. Dalam merealisasikan tugasan penyediaan kuftah dan kabab ini, saya dilantik oleh Mr.Hisham sebagai assistantnya. Allahamdulillah, pagi ini saya dapat belajar satu resipi baru masakan Arab daripada Mr.Hisham ini.

Majlis ringkas di rumah Dato’ ini  juga turut dihadiri oleh Pak Aet dan keluarganya dari Tasik Malaya, Indonesia yang berusaha giat memajukan projek tanaman padi organic di Tunjung, Kota Bharu, Kelantan.