Archive for December 12th, 2009

Ziarah Ustaz Ibrahim Mat

Petang tadi saya meluangkan masa melawat Ustaz Ibrahim Mat (lepasan B.A Nilam Puri YPTIK), bekas Penolong Kanan Maahad Muhammadi, Jalan Pengkalan Chepa. Tentu sekali para rakan yang pernah belajar satu sekolah dengan saya masih ingat serta mengenali tokoh pendidik ini. Sebab utama saya mengunjungi beliau ialah kerana saya seringkali teringatkan beliau setiap kali membelek mana-mana kitab nahu soraf bahasa Arab.  Buat pengetahuan umum, Ustaz Him ini pernah mengajar kami matapelajaran nahu soraf semasa kami berada dalam tingkatan dua dulu. Methodologi pendidikan dan pengajaran beliaulah yang membuatkan saya seringkali teringatkannya.

Saya kurang pasti sama ada  kaedah yang pernah digunakannya ini turut dipraktikkan oleh guru-guru matapelajaran bahasa Arab masa kini.  Jika belum atau masih ada dikalangan guru-guru yang belum pasti tentang kaedah berkesan mengajar bahasa Arab ini, saya syorkan agar cepat-cepatlah masuk mengadap dan menadah kaedah tersebut daripada nya demi kecemerlangan bahasa Arab para pelajar terutama sekali para pelajar  sekolah-sekolah YIK. Suatu ketika dulu, kaedah ini pernah dianggap kontroversi oleh pihak YIK kerana Ustaz Him jelas tidak mengikut kaedah pengajaran yang ditetapkan oleh YIK sendiri. Beliau lebih mengutamakan latihan tubi dalam kelas secara lisan dan bertulis berasaskan nota-nota wazan tasrif al-Afa’al (tasrif 14) yang disediakan oleh Ustaz Him sendiri serta perlu difahami serta dihayati oleh para pelajar dan tidak boleh dihafal sepertimana kemampuan oleh seekor burung kakaktua . Malah buku teks sekolah hanya dibenarkan dibelek dan diguna oleh beliau selepas tamat penggal pertama persekolahan.

Tentu rakan-rakan sekelas dengan saya masih ingat bagaimana cara beliau mengenakan hukuman ke atas sesiapa yang gagal menjawab soal nahu soraf yang dikemukakannya. Ada dikalangan kita yang terpaksa berdiri sepanjang tempoh pengajian. Ada juga yang terpaksa duduk meringkuk di bawah meja gara-gara tidak bersungguh sepanjang sessi pengajian subjek tersebut. Dalam kunjungan ringkas itu, selain menghadiahkan kepada saya beberapa peralatan mengajar yang pernah beliau gunakan dulu, beliau juga mendedahkan kepada saya tentang ketidakmampuan para pelajarnya dalam tingkatan 5 dan 6 untuk membaca kitab Arab dengan betul merupakan faktor utama beliau mempertahankan kaedahnya itu.  Sebab utama ketidakmampuan ini ialah kerana ramai dikalangan mereka tidak menguasai matapelajaran nahu soraf sejak tingkatan 1 dan 2 lagi.

Masalah ini turut saya alami semasa saya bertugas sebagai guru bagi matapelajaran tersebut di SMUA Tarbiyah Mardhiyah Panchor dan SMUA Taqaddum Maarif, Pasir Tumboh. Pada ketika itu pihak sekolah mengamanahkan kepada saya untuk berusaha memperkasakan pengajian bahasa Arab di peringkat tingkatan 5 dan 6. Sayang sekali, maksud memperkasakan pengajian bahasa Arab itu sebenarnya lebih menjurus kepada usaha meninggikan peratusan sekolah bagi matapelajaran Bahasa Arab Tinggi (SPM) dan Nahu Soraf (STAM) sedangkan majoriti para pelajar adalah amat lemah dalam subjek tersebut lantaran tidak dapat menguasainya semenjak tingkatan 1 dan 2 dahulu. Bagi memulihkan situasi agar tidak berlarutan di masa hadapan, saya cuba memohon agar diberi peluang mengajar kelas-kelas tingkatan 1 dan 2 untuk subjek ini disamping mengendali kelas-kelas tingkatan 5 dan 6. Namun  permintaan saya ditolak dengan alasan bahawa bagi tingkatan-tingkatan bawah sudah ada tenaga pengajar yang mencukupi dan tak perlu lagi dilakukan rombakan masa serta agihan tugas para guru semata-mata kerana permintaan saya itu. Saya cuba juga mempraktikkan apa yang pernah dilakukan oleh Ustaz Him ke atas kami dulu kepada para pelajar tingkatan 5 dan 6 tetapi ramai yang memprostes kononnya tindakan saya tidak ada kena mengena dengan peperiksaan SPM dan STAM.

Untuk masa depan kecemerlangan matapelajaran bahasa Arab di sekolah-sekolah YIK, saya syorkan agar  methodologi pendidikan Ustaz Him ini diberi keutamaan oleh pihak YIK. Otak serta minda para pelajar perlu direvolusikan. Apa guna menghantar para pelajar ke Timur Tengah khususnya ke Mesir sedangkan mereka tidak mampu membaca kitab Arab dengan betul meskipun kerajaan Kelantan sanggup menghabiskan berjuta ringgit bagi pembinaan asrama di sana.