Archive for January 3rd, 2010

Isu Timber Mine

Entry ini adalah susulan daripada entry berikut;

https://towardsmardhatillah.wordpress.com/2009/05/24/isu-pas-gadai-tanah-rekaan-umno/

Di awal tahun baru 2010, kerajaan negeri Kelantan yang ditadbir oleh PAS telah diarah oleh Mahkamah agar membayar ganti rugi sebanyak rm 800 juta kepada Syarikat Timber Mine. Amat memeranjatkan sekali berita ini. Berdasarkan buku Memoir Politik Asri Meniti Arus (hlm 76-82) jelas menggambarkan bahawa babak kerjasama antara kerajaan negeri Kelantan (ketika itu PAS berada dalam Barisan Nasional) dan Timber Mine berakhir setelah perjanjian antara kedua pihak terpaksa ditamatkan kerana Timber Mine bertindak melanggar beberapa peruntukan penting (dalam perjanjian tersebut). Pihak kerajaan negeri telah memberikan beberapa peringatan agar syarikat tersebut menghormati syarat-syarat perjanjian. Kerajaan negeri kemudiannya telah  menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk mengkaji perjanjian tersebut dengan tujuan sekiranya perlanggaran syarat oleh syarikat termaklum begitu serious, maka kajian itu juga untuk mengambil apa juga langkah yang munasabah untuk membatalkannya.

Jawatankuasa tersebut telah mengadakan perbincangan beberapa kali dan akhirnya telah mencapai persetujuan untuk mengeluarkan notis bagi membatalkan perjanjian tersebut. Kejadian ini berlaku ketika kerajaan masih berada di bawah pimpinan Datuk Haji Ishak Lutfi. Sungguhpun demikian, langkah itu tidak sempat dilaksanakan sehingga pilihanraya 1974 dan kerajaan Kelantan  bertukar pimpinan kepada Datuk Haji Muhammad bin Nasir. Usaha untuk menyelesaikan persoalan itu diteruskan semula oleh Kerajaan Negeri Kelantan di bawah pimpinan Datuk Haji Muhammad bin Nasir. Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Kelantan berdasarkan laporan oleh Jawatankuasa, bahawa Datuk Haji Ishak Lutfi bersetuju membatalkan perjanjian itu serta menarik balik kawasan tersebut tanpa sebarang ganti rugi. Disamping itu, pada waktu yang sama Kerajaan Kelantan telah meluluskan kawasan seluas 30,000 ekar daripada kawasan yang berkenaan untuk diserahkan kepada Felda supaya kawasan itu dapat dimajukan. Langkah yang diambil oleh kerajaan negeri itu telah mendapat sokongan daripada semua pihak baik daripada kalangan ahli PAS mahupun daripada kalangan luar parti.        

 Walau bagaimanapun, sebelum keputusan kerajaan itu dilaksanakan Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri telah meminta agar kerajaan Kelantan mengadakan rundingan untuk membayar sagu hati kepada syarikat tersebut bagi mengelakkan perkara itu daripada berlanjutan ke mahkamah. Mengikut apa yang diberitahu bahawa Exco Kerajaan Kelantan pada peringkat awalnya tidak bersetuju berbuat demikian. Akan tetapi demi menjaga hubungan baik antara kerajaan negeri Kelantan dengan Kerajaan Pusat, maka akhirnya Kerajaan Negeri menerima baik saranan tersebut.

Sesudah beberapa kali mengadakan rundingan, akhirnya kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya. Pihak Syarikat  Timber & Mine telah bersetuju menerima wang sagu hati atau imbuhan sebanyak 3.5 juta ringgit dan wang tersebut telah dipinjamkan oleh kerajaan Pusat kepada kerajaan negeri. Masalah ini boleh dianggap telah selesai.  Tetapi segolongan kecil daripada kalangan yang bertentangan tidak habis-habis menabur fitnah untuk melemahkan kerajaan negeri. Namun demikian usaha itu nampaknya tidak berkesan. ( hlm 78-79).

Itulah antara petikan penjelasan oleh Allahyarham Tan Seri Dato’ Mohd. Asri bin Hj. Muda berkaitan isu syarikat pembalakan tersebut. Selepas tuntutan sebanyak rm 800 juta ini disiarkan dalam akhbar, saya mula tertanya-tanya “Bila masa pula kerajaan negeri Kelantan buat perjanjian baru dengan Timber Mine kerana segala permasalahan berkaitan dengan kontrak dengan syarikat itu sebenarnya telah lama selesai. Pada zaman Datuk Muhammad Yaakub terajui Kelantankah atau pada zaman awal Tok Guru memerintah Kelantan (semasa berkongsi kuasa dengan parti Semangat 46)? Bukankah Syarikat Timber Mine pernah mendatangkan masalah kepada kerajaan PAS Kelantan pada satu ketika dulu, mengapa masih ada pihak yang ingin bekerjasama dengan syarikat itu? Bagi menguraikan kekusutan minda, saya meluru ke rumah Ustaz Salahuddin bin Abdullah (biras Allahyarham Tan Seri Dato’ Mohd.Asri)  di Jalan Yaakubiah pada pagi sabtu 2hb.Januari 2010. Beliau (Ustaz Salahuddin) juga tegas mengatakan masalah Timber Mine pada zaman lalu telah selesai dan  apa yang dituntut oleh Syarikat berkenaan menunjukkan bahawa kemungkinan satu perjanjian baru selepas pembatalan itu diwujudkan kembali. Kenapa kerajaan PAS Kelantan hanya membiarkan permasalahan ini kepada Dato’ L.A  untuk menguruskannya ? Mengapa juga tidak disediakan peguam terbaik dalam perbicaraan kes tersebut ?

Kuliah Ustaz Bakar Haq

Disebabkan kesibukan urusan peribadi, saya sudah ketinggalan untuk mengulas serba sedikit tentang isu penggunaan nama Allah yang heboh sehari dua ini. Al-Ustaz Bakar Haq lebih mendahului saya dalam isu ini melalui ulasan beliau dalam postingnya di bawah ini;

http://penarikbeca.blogspot.com/2010/01/isu-nama-allah-telunjuk-lurus.html?

Liha juga blog ini;

http://perisik-rakyat.com/2010/01/nasaruddin-senyap-bila-isu-judi-bising.html

 Sila renungi mafhum ayat di bawah ini;

Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampaui batas dalam agama kamu dan janganlah kamu memperkatakan tentang Allah melainkan yang benar. Sesungguhnya al-Masih Isa anak Maryam itu Rasulullah dan kalimahNya dan disampaikan kepada Maryam dan ia adalah roh daripada Allah. Oleh itu berimanlah kepada Allah dan para RasulNya dan janganlah kamu mengatakan: “(Tuhan itu) tiga (trinity)”, berhentilah (dari ucapan itu). (itu) lebih baik bagimu. Sesungguhnya Allah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah dari mempunyai anak, segala yang di langit dan di bumi adalah kepunyaanNya. Cukuplah Allah menjadi Pemelihara. (Surah al-Nisa’: 171)