Archive for January 23rd, 2010

Sikap tidak bertanggungjawab oleh segelintir masyarakat….

Setiap kali berada di Kota Bharu pada hari Jumaat, saya lazimnya berada di majlis kuliah jumaat Tok Guru di Jalan Ilmu jika saya tidak sibuk dengan urusan peribadi. Semasa berada di majlis tersebut dua minggu lepas, saya dapati suasana persekitaran agar berbeza jika dibandingkan dengan sebelumnya. Orang yang mengunjungi lokasi itu tetap ramai. Malah lebih ramai lagi jika dibandingkan dengan kuliah-kuliah Tok Guru sebelum ini. Perbezaan yang saya dapati ialah; majority mereka (peniaga dan pengunjung/pembeli) yang berada di lokasi tersebut semasa Tok Guru mengajar  sebenarnya sudah tidak seperti dulu lagi meskipun jumlah mereka bertambah ramai yang hadir. Sebelum ini golongan peniaga dan pembeli hanya berurusniaga selepas Tok Guru tamat menyampaikan kuliah. Namun kini adalah sebaliknya. Mereka berurusniaga sepanjang kuliah pagi jumaat berlangsung. Sama ada fenomena ini berubah kerana tidak ada pemantauan lanjutan ataupun disebabkan jiwa-jiwa mereka ini sudah mulai tidak hormat terhadap majlis ilmu, saya sendiripun tidak pasti. 

Apa yang pasti sekarang ini ialah sikap tidak bertanggungjawab oleh sebahagian besar para peniaga yang tidak mementingkan aspek kebersihan dengan meninggalkan sisa-sisa sampah berselerakan selepas selesai waktu berniaga semakin menjadi-jadi.  Paling teruk sekali di Jalan Ismail. Mengapa jadi begini? Adakah kerana disebabkan penyediaan tong-tong sampah dalam bandar Kota Bharu tidak mencukupi? Sepatutnya bila masing-masing sudah lama menadah ilmu daripada Tok Guru jiwa mereka pun turut berubah….tapi mengapa masih berada di takuk lama? Adakah sikap ini kekal di jiwa mereka kerana pihak MPKB BRI sanggup bertanggungjawab membersihkan sisa buangan mereka ini?   Buat pengetahuan umum, setiap kali selesai majlis kuliah pagi jumaat, pihak MPKB BRI sentiasa bertungkus lumus membersihkan sisa sampah tersebut.