Penghuni Rumah Panjang Dihantui ‘Serangan Lintah’

 

 

SELANGGAU: Bagi penanam padi di Bumi Kenyalang, ketika ini ialah musim menuai. Tetapi bagi Santa anak Lu, 42, setiap kali pergi ke sawah, wanita ini akan memastikan beliau memakai dua helai seluar dalam ketat di dalam kain sarung atau seluar panjangnya.

Ini bukan disebabkan penghuni rumah panjang di KM 58, Jalan Sibu-Bintulu itu ingin mencuba sesuatu yang ‘luar biasa’, tetapi sebagai langkah berjaga-jaga selepas satu insiden yang agak menakutkan berlaku.

“Satu pagi Disember lepas, saya sedang bekerja di petak sawah bila saya terasa sesuatu sedang merayap menaiki paha kanan saya. Tanpa segan silu saya terus menyingkap kain dan alangkah terkejutnya bila mendapati seekor lintah sepanjang 10 cm sedang merayap di paha. Saya terpaksa menggunakan sebatang kayu untuk menguisnya jatuh dari paha,” Santa memberitahu pemberita di rumah panjang tempat tinggal beliau.

‘Tuai rumah’ atau ketua rumah panjang, Unggat anak Masing, 64, mengakui kejadian yang dialami Santa dan kini beliau juga takut untuk menangkap ikan di Sungai Buluh atau Sungai Serinah begitu juga kolam ikan kepunyaan beliau.

LINTAH DALAM SELUAR DALAM

Satu kejadian yang dialami sendiri oleh Unggat ialah ketika beliau menjala ikan di sungai pada suatu pagi bila beliau perasan seekor lintah sedang merayap di pahanya dan cuba masuk ke dalam seluar dalamnya.

Seminggu sebelum kejadian itu, ketika beliau sedang menebar jala ikan di Sungai Unggat nampak beberapa ekor lintah sedang berenang ke arahnya tetapi beliau berjaya menguis lintah-lintah itu dengan sebatang kayu.

“Penghuni rumah panjang sekarang takut nak mandi sungai terutama ketika musim kemarau kerana ketika inilah lintah-lintah itu jadi aktif dan agresif.

“Kami tak tahu apa nak buat. Bagi bekalan air, kami terpaksa bergantung pada air hujan atau air yang diambil dari paip kepunyaan Majlis Daerah Sibu di pasar di Selanggau tapi kami sudah menerima arahan supaya berhenti daripada melakukannya,” kata beliau.

Menurut Unggat, penghuni rumah panjang terpaksa bergantung kepada bekalan air sistem ‘graviti’ sejak mereka mendiami rumah panjang berkenaan 10 tahun lepas tetapi acapkali juga paip air mereka menjadi kering.

“Kami berkongsi sumber air terletak jauh di dalam hutan bersama dua lagi rumah panjang tetapi bila dah masuk beberapa hari pada musim kemarau, paip kami dah mula kering kontang,” kata beliau.

MASALAH SERANGAN LINTAH

Masalah ‘serangan’ lintah yang dihadapi Unggat dan 53 lagi penghuni rumah panjang itu bermula Disember lepas bila lintah ‘Hirudo medicinalis'(medicinal leeches) yang dipelihara secara komersil terlepas dari tangki peliharaan di dua rumah panjang yang berjiran dengan rumah panjang mereka.

Unggat tidak tahu siapa yang memulakan projek penternakan lintah itu tetapi mereka diberitahu bahawa satu kilogram lintah boleh mendatangkan hasil RM120.

“Apa yang saya tahu, enam penghuni dari rumah panjang yang terdekat menjalankan projek itu selepas berkursus di Sibu. Saya ingat mereka cuai dan tidak ikut panduan memelihara lintah berkenaan dengan betul.

“Kini lintah-lintah itu memang ada di dalam sungai dan juga sawah padi kami dan beberapa pelajar juga turut mendakwa melihat lintah ini di padang sukan SK Sungai Buluh, tiga kilometer dari rumah panjang kami.

Unggat juga pasti lintah-lintah berkenaan yang cepat membiak sudah lepas ke kawasan yang lebih jauh termasuk Sungai Sepiring.

SELESAI MASALAH

Unggat berharap pihak berkuasa dapat menyelesaikan masalah itu dengan segera.

“Saya bimbang tentang anak-anak yang suka mandi sungai selain mencari siput dan menangkap ikan di sungai,” kata beliau.

Menurut Unggat, apa yang yang diperlukan segera oleh setiap 10 keluarga penghuni rumah panjang itu ialah tangki air yang boleh menyimpan air hujan untuk kegunaan harian mereka.

“Lagi bagus kalau kerajaan dapat menyambung air bersih Loji Air Selanggau kepada kami kerana lokasi kami hanyalah di sebelah jalan utama negeri dan 15 minit perjalanan dari pekan Selanggau,” kata beliau. – BERNAMA

Dipetik dari: http://mstar.com.my/

Lihat juga entry di bawah ini;

https://towardsmardhatillah.wordpress.com/2009/11/13/perihal-lintah/

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: