Archive for September 6th, 2010

Suasana Pagi Jumaat di bandar Kota Bharu

Pada pagi jumaat 27 hb. Ogos 2010, saya meluangkan masa bersiar-siar sekitar Pasar Pagi jumaat di tengah-tengah bandar Kota Bharu. Tarikan utama sekitar  lokasi tersebut ialah Kuliyyah Pagi Jumaat yang lazimnya disampaikan Tok Guru Nik Aziz selaku MB Kelate berhadapan Pejabat PAS Kota Bharu di Jalan Ilmu. Aktiviti mengajar di sini dipraktikkan oleh Tok Guru sejak dulu lagi sebelum beliau menyandang jawatan Menteri Besar Kelantan dan ia mendapat perhatian berbagai lapisan masyarakat majmuk terutama sekali masyarakat Melayu dan Cina. Boleh dikatakan setiap pagi jumaat sekitar jam 9:00 hingga 11:30 pagi,  jalan-jalan di tengah Bandar Kota Bharu akan dipenuhi dengan berjenis kenderaan.  Urusan jual beli  giat berjalan lancar. Berbagai jenis barangan dan makanan  diperniagakan lebih-lebih lagi di akhir bulan Ramadhan dan harganya pula  berpatutan.

Kebetulan pada pagi itu selepas kuliyyah Tok Guru selesai, seorang wakil pelajar Dar al-Huffaz dari Indonesia turut dibenarkan berucap untuk meminta bantuan derma ramai bagi menyara pembelajaran mereka di sana. Maka ramailah penyokong-penyokong PAS yang sememangnya “kaki dengar ceramah” mengerumuni  pemidato cilik itu.

Selesai saja majlis, pihak MPKB BRI  bertindak membersih dan menyimpan semula pasu-pasu bunga dan pentas tempat mengajar agar laluan tersebut boleh digunakan seperti hari-hari biasa.