Siapa ganti Nasha ???…

Husam belum ada keputusan

SHAH ALAM – Ikut ceritanya, Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa (gambar) seperti akan mendapat laluan mudah untuk mengekalkan jawatan pada muktamar parti yang dijadualkan Jun ini.

Namun dalam masa yang sama, sudah tersebar khabar kononnya beliau tidak akan bertanding untuk mempertahankan jawatan itu.

Jika benar, persoalannya adalah mengapa. Dan satu lagi pertanyaan yang menyusul, siapa yang akan dipilih untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkannya?

Dua nama besar dalam Pas, yang dipercayai mempunyai penyokong paling ramai dalam kalangan pemimpin pelapis parti itu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Salahuddin Ayub – kedua-duanya Naib Presiden – sudah mengisytiharkan bahawa mereka tidak berminat untuk mengintai kerusi Timbalan Presiden.

Ini sedikit berbeza dengan satu lagi nama pilihan, Datuk Husam Musa yang dalam kenyataan di sini petang semalam, tidak memberi sebarang kata muktamad.

Ketika ditanya Sinar Harian, Husam yang masih diingat alasannya ketika mencabar Nasharuddin pada pemilihan dua tahun lalu, sekadar berkata: “Saya masih belum buat keputusan. Sekarang adalah masa untuk beri tumpuan pada Pilihan Raya Sarawak.”

Pada pemilihan 2009, Husam mencabar Nasharuddin dengan alasan, sudah ada keraguan dalam kalangan ahli Pas soal hubungan sulit dengan UMNO berkaitan isu Kerajaan Perpaduan yang secara sinikal ditujukan kepada Timbalan Presiden itu.

Bagaimanapun, ada juga pendapat, Husam dikatakan tokoh paling layak dalam kalangan orang kepercayaan Nik Aziz untuk bertanding bukan sahaja jawatan Timbalan Presiden, malahan juga Presiden bagi mempertahankan Menteri Besar Kelantan itu yang kadang kala dilihat tidak sealiran dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pada pemilihan 2009, Husam yang ketika itu memegang jawatan Naib Presiden Pas tewas kepada Nasharuddin bagi perebutan kerusi Timbalan Presiden.

Beliau mendapat 281 undi berbanding Nasharuddin yang mendapat 480 undi untuk mengekalkan jawatan yang disandangnya sejak 2007.

Seorang lagi Naib Presiden ketika itu, Mohamad Sabu pula hanya mendapat 261 undi.

Dalam pada itu, sumber dalaman parti ketika dihubungi semalam mengesahkan, Nasharuddin hampir pasti akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan kali ini.

Sumber itu juga mengatakan, khabar angin kononnya Ahli Parlimen Bachok itu tidak akan bertanding adalah tidak benar.

“Ustaz Nasha akan buat pengumuman rasmi mengenai perkara itu dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, Salahuddin ketika dihubungi menyatakan “Saya tidak layak untuk ke jawatan itu (Timbalan Presiden).”

“Jika saya bertanding, saya hanya berminat untuk mempertahankan jawatan yang sudah disandang (Naib Presiden). Itupun terpulang kepada perwakilan untuk menilai sama ada mahu mengekalkan saya, atau sebaliknya,” katanya.

Tuan Ibrahim pula berkata “Saya sudah ada keputusan yang dibincang bersama parti iaitu saya tidak akan bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden. Saya harap nama saya tidak akan dicalonkan. Biarlah mereka yang lebih layak pergi ke jawatan itu.”

Seorang lagi Naib Presiden yang juga boleh dianggap calon ‘favourite’ bagi kerusi Timbalan Presiden, Datuk Mahfuz Omar, juga seperti Husam, tidak memberi sebarang kata putus.

“Saya belum fikir (untuk bertanding kerusi Timbalan Presiden). Banyak isu lain yang lebih perlu diberi perhatian. Apa pun, terpulang kepada ahli parti,” katanya.

Dipetik dari:

http://www.sinarharian.com.my/SH/com/content/story8914443.asp

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: