Archive for June 26th, 2011

al-Syeikh Yahya Othman: Tokoh Murabbi dalam PAS….

Nama Abuyya al-Syeikh Yahya Othman lebih mashyur di negara-negara Arab berbanding dengan tanahairnya sendiri, Malaysia. Beliau mempunyai latarbelakang pendidikan Islam di Mekah dan juga Mesir serta begitu amat fasih berbahasa Arab. Kefasihannya sering membuatkan ramai dikalangan orang-orang Arab begitu segan terhadap beliau. Tokoh ini pernah berjawatan pensyarah dan Timbalan Pengetua Nilam Puri Kelantan sebelum bertanding dalam pilihanraya tahun 1978. Demi perjuangan Islam, al-Syeikh Yahya Othman sanggup meninggalkan jawatannya (sebelum sempat pencen sebagai seorang pensyarah) dan bertanding untuk kalah pada ketika itu. Setelah beberapa kali masuk bertanding dan kalah, beliau tidak pernah kenal erti perit dalam usaha menegakkan panji-panji Islam di bumi Malaysia yang tercinta ini. Akhirnya Abuyya al-Syeikh Yahya Othman menang dalam pilihanraya pada tahun 1990 dan 1995 dan diamanahkan menjawat jawatan EXCO DUN Negeri Kelantan dalam tempoh tersebut. Dalam struktur organisasi parti, beliau pernah menjawat jawatan YDP PAS Machang selama tempoh lebih kurang 20 tahun. Selain itu, tokoh pendidik ini juga merupakan ahli Majlis Syura Ulama’ (pernah jadi setiausahanya yang pertama), AJK Dewan Ulama’ PAS Pusat, AJK PAS Pusat, Pengasas Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Putra, pengasas Maahad Dakwah wa Imamah, pengasas dan pengarah Institut al-Nur dan lain-lain lagi.  Beliau banyak menghasilkan kertas-kertas kerja dalam sektor tarbiyah Islamiyyah. Antara karyanya yang popular dan sentiasa dijadikan rujukan oleh sekalian ahli-ahli PAS yang beristiqamah dalam aktiviti-aktiviti parti ialah; Amal Jamai (Pengertian dan Tuntutannya) dan juga Himpunan Kertas Kerja Tarbiyah.