Archive for April, 2012

BERSIH 3.0

Pada 28hb.April 2012, rakyat Malaysia sekali mengukir sejarah tanahair melalui Demostrasi Bersih 3.0.  Segenap lapisan masyarakat  majmuk daripada berbagai latarbelakang pendidikan, peringkat umur,  pegangan agama dan sebagainya keluar berkumpul secara beramai-ramai demi meluahkan perasan tidak puas hati mereka terhadap kerajaan Barisan Nasional. Demostrasi aman ini adalah susulan daripada Demostrasi Bersih 2.0 yang mengemukakan  sebanyak 8 tuntutan berikut;

Tuntutan Bersih 2.0 :
1. BERSIH kan Senarai Undi (Daftar Pemilih)
2. Reformasikan Undi Pos
3. Gunakan Dakwat Kekal
4. Akses Media Yang Bebas & Adil
5. Tempoh Berkempen Minima 21 Hari
6. Kukuhkan Institusi Awam
7. Hentikan Rasuah
8. Hentikan Politik Kotor
Maupun begitu kerajaan Najib & Barisan Nasional tak menghiraukan tuntutan rakyat ini  dan Najib hanya buat pekak badak aje.  Situasi ini menambahkan lagi rasa tidak puas hati rakyat terhadap Barisan Nasional.  Rakyat yang sentiasa mendambakan keadilan daripada segenap pelusuk tanahair keluar beramai-ramai secara aman sebagai tanda protes.  Selain daripada Dataran Merdeka, rakyat Malaysia  yang anti kezaliman Barisan Nasional mengadakan demostrasi aman Bersih 3.0 ini di 70 lokasi lain di seluruh dunia[i].  Saya perhatikan mereka ini keluar berpusu-pusu dari segenap pelusuk jalan-jalan raya menuju ke Dataran Merdeka sejak dari pukul 8:30 pagi lagi. Sekitar pukul 12:00 tengahari, rakyat memenuhi jalanraya di sekitar  Bangunan Mahkamah depan Dataran Merdeka yang  dilingkungi dengan pagar-pagar dawai berduri.  Semangat dan keberanian mereka sungguh amat  luar biasa terutama sekali masyarakat Cina!  Dalam situasi yang penuh bersemangat ini, saya mengambil peluang mengambil gambar-gambar sebanyak yang mungkin di hadapan CIMB dan bergerak di celah-celah kesesakan mereka yang bersemangat juang menuju ke Bank Rakyat.

Namun keamanan yang mereka julang selama ini  akhirnya tercabar dan bertukar menjadi gawat apabila Pasukan FRU mulai melepaskan bedilan gas pemedih mata secara bertubi-tubi sekitar  pukul 2:30 petang. Ketika itu Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berceramah membakar semangat rakyat Malaysia untuk bangkit menentang kezaliman Barisan Nasional.  Cuaca semakin panas, tekak pun terasa haus. Saya menuju masuk ke dalam Restoran Hotel Swiss dan terserempak dengan Prof.Madya Shahrom Ibrahim. Beliau mempelawa saya minum. Saya menerima pelawaannya. Sebelum memesan minuman, saya cuba menghubungi  rakan saya melalui telefon namun beliau tak dapat dihubungi. Saya keluar daripada restoran tersebut untuk memerhatikan situasi di luar.  Tiba-tiba  dua das tembakan gas pemedih mata dilepaskan. Datuk Seri Anwar yang belum sempat menghabiskan ucapan terpaksa masuk berlindung di dalam kereta dan dikawal oleh pengawal peribadinya.  Pasukan FRU semakin ghairah  melepaskan beberapa tembakan gas pemedih mata lagi ke arah kanak-kanak dan kaum wanita yang sedang duduk di tengah-tengah jalanraya di depan Hotel Swiss.  Tindakan ini menyebabkan anak-anak muda bertambah marah dan berang.  Pertempuran dengan pihak polis tercetus. Ketika ini saya lihat anak-anak kecil terpisah dengan ibubapa mereka dan kaum wanita tua yang tak berdaya untuk berlari  menyelamatkan diri. Kedengaran bunyi batuk dan luahan muntah di sana-sini. Saya dan beberapa orang  lain yang saya pun tak kenali mereka   terpaksa bertindak sebagai benteng demi mempertahankan kaum wanita dan anak-anak kecil agar mereka selamat  daripada dirempuh oleh mereka yang berlari -lari  akibat kelemasan dan kekurangan oksigen. Di saat ini jugalah tengkuk saya  rasa mual dan gatal. Mata semakin pedih dan hidung   mulai berair.  Walaupun masih gagah tapi detik-detik teringatkan  kematian tuh  mula berlegar-legar dalam kepala.  Saya mengawal dari belakang kaum wanita dan anak-anak kecil yang terus berlari dalam keadaan lemas di hadapan Bank Rakyat dan mereka terus menuju ke  ke belakang Bank tersebut untuk menyelamatkan diri.

Susulan tembakan gas itu, pertempuran antara anak-anak muda dan pihak polis tercetus apabila polis mula bertindak ganas membelasah mereka.  Memandangkan reaksi polis semakin menggila, saya rasa sangsi adakah yang beruniform ini anggota polis ataupun ahli UMNO tegar ???? Walaupun begitu saya tetap bangga dengan semangat juang  anak-anak muda ini yang tidak kenal erti perit. Kalau dianjurkan Bersih 4.0 dan Bersih 5.0 pada masa akan datang  pun mereka semua sanggup keluar beramai-ramai.  Apa yang pasti demostrasi Bersih 3.0 berjaya dengan cemerlang.  Meskipun ada di kalangan ahli-ahli UMNO yang mengatakan  bahawa Rakyat gagal memasuki Dataran Merdeka tapi hakikat sebenarnya Mereka (polis)  yang ditugaskan oleh Barisan Nasional  di Dataran Merdeka  berada dalam situasi terkepung oleh sekalian rakyat yang muncul dari segenap arah menuju ke pusat bandaraya.  Jumlah rakyat yang bencikan Barisan Nasional  adalah amat terlalu ramai dan tidak mungkin Dataran Merdeka mampu menampung jumlah yang ramai ini apatah lagi jika demostrasi ini  dibuat di dalam stadium.


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.