Archive for October 23rd, 2012

Solat Hari Raya

Solat hari raya di halaman lapang hadapan masjid International University of Africa, Sudan

Solat raya aidil fitri dan aidil adha disyariatkan pada tahun pertama hijrah. Hukum kedua-duanya adalah sunah muakkadah di sisi jumhur ulama’ kecuali Imam Abu Hanifah dan Imam Ibn Taymiyyah yang berpendapat bahawa kedua-duanya adalah wajib dengan hujjah seperti mana yang telah ambo jelaskan sebelum ini.  Waktu yang paling afhdal ditunaikan solat hari raya ialah selepas terbit matahari dengan kira-kira 20 minit ataupun 30 minit. Namun tidak mengapa jika ia ditunaikan pada masa hampir gelincir matahari. Ada pendapat mengata mas ayang paling afdhal ialah bermulanya naik matahari dengan kadar tiga meter hinggalah ia gelincir. dalam satu riwayat daripada Ahmad bin Hasan al-Bina’, berkata “Rasulullah s.a.w  menunaikan solat aidil fitri bersama kami dan matahari pada ketika itu pada kadar dua batang lembing dan solat aidil adha dengan kadar tinggi matahari sebatang lembing (galah).  Menurut Ibn Qudamah; Sunat didahulukan solat aidil adha bagi meluangkan masa untuk ibadat sembelihan qurban dan dilewatkan solat aidil fitri bagi memberi  peluang waktu pengeluaran zakat fitrah.  Digalakkan (mustahab)  bagi kaum muslimin untuk bersiap sepertimana berikut sebelum menunaikan solat, iaitu;

1)Memperbanyakkan takbir dan  zikir bagi umat Islam yang berada di selain daripada dua tanah suci. Adapun di dua tanah suci Mekah dan Madinah disunatkan talbiyah.

2) Memakai pakaian yang terbaik, memakai wangian dan mandi sunat hari raya.

3) Makan (sarapan) sebelum keluar untuk solat aidil fitri dan melewatkan sarapan (makan selepas solat) bagi hari raya aidil adha.

4) Saling mengucapkan tahniah sesama  kaum muslimin.

5) Memperbanyakkan sedekah kepada golongan faqir miskin mengikut kadar kemampuan.

6) Saling menziarahi kaum kerabat dan sahabat handai.

7) Menuju solat ke masjid atau musalla (tempat lapang untuk solat) dengan berjalan kaki dan pulang dari solat dengan melalui jalan yang lain.

8) Digalakkan kaum wanita, anak dara yang sedang haid atau suci dan kanak-kanak untuk turut serta. Dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari dinyatakan golongan ini mesti berada di belakang saf terakhir sekurang-kurang bagi mereka yang berada dalam haid memadai dengan mendengar khutbah raya.

Disunatkan agar tidak dilaungkan azan, iqamah dan juga lafaz al-solatu jamiah.  Solat hari raya ditunaikan sebanyak dua rakaat. Menurut dalam beberapa riwayat hadis bahawa Rasulullah mengangkat takbir sebanyak 12 kali bagi solat hari raya, iaitu 7 kali dalam rakaat pertama dan 5 kali dalam rakaat kedua dan Rasulullah tidak mengerjakan sebarang solat sunat sebelum dan selepas solat hari raya. Bagi mazhab Hanafi; mereka mengangkat takbir tiga kali pada rakaat pertama selepas takbiratul ihram sebelum bacaan surah dan mengangkat takbir tiga kali juga pada rakaat kedua selepas bacaan surah.  Bagi Imam Syafie dan Imam Ahmad bin Hanbal, digalakkan diselangkan antara setiap dua takbir dengan zikir “subhanallah wa hamdulilllah wa la Ilaha illah Allahuakbar. Manakala Imam Abu Hanifah dan Imam Malik  bertakbir tanpa diselang antara takbir dengan zikir.

Digalakkan (mustahab) diam sejenak antara setiap dua takbir kemudian baru dimulakan bacaan surah al-Fatihah dan apa-apa surah daripada al-Quran. Apabila bangun untuk rakaat kedua; mengangkat takbir sebelum bacaan (sebanyak 5 kali takbir tidak termasuk takbir untuk qiyam) kemudian membaca surah al-Fatihah dan apa-apa surah daripada al-Quran. Digalakkan membaca pada rakaat pertama surah al-`A’laa dan pada rakaat kedua surah al-Ghasiyah.  bagi golongan Malikiyyah dan Hanabilah; perlu mengangkat takbir sebanyak 6 kali takbir. Bagi golongan mazhab Hanafi pula perlu bertakbir sebelum bacaan pada rakaat pertama sebanyak tiga kali takbir tidak termasuk takbiratul ihram. Apabila bangkit untuk rakaat kedua, di baca al-Fatihah dan apa-apa surah daripada al-Quran kemudian barulah mengangkat takbir sebanyak 3 kali  sebelum ruku’ dan kemudian barulah ruku’ bagi rakaat kedua.

Menurut jumhur ulama’ ; khutbah selepas solat dan mendengar khutbah adalah sunat. Digalakan diselitkan perihal zakat fitrah dalam khutbah solat aidil fitri dan diselitkan perihal sembelihan dalam khutbah solat aidil adha.  Namun Bagi Mazhab Hanafi dan Ibn Taymiyyah ia adalah wajib. Begitu juga hukum bertakbir pada kedua-dua hari raya adalah sunat bagi jumhur ulama’ kecuali mazhab hanafi yang mengatakan takbir pada hari raya adalah wajib berdali ayat 185 surah al-Baqarah bagi adil fitri dan ayat 203 surah al-Baqarah bagi aidil Adha .  Masa bertakbir bagi solat aidil fitri  ialah bermula dari masa keluar untuk solat hinggalah permulaan khutbah menurut pandangan Malikiyyah dan Hanabilah. Manakala  bagi selain daripada mereka mengatakan bermula pada malam hari raya, iaitu setelah sempurna penetapan tarikh hari raya sehinggalah masa menuju solat hari raya seterusnya hingga Imam naik ke mimbar untuk berkhutbah.

manakal masa bertakbir bagi solat aidil adha pula bermula pada fajar pagi hari Arafah dan berterusan sehingga hujung  solat  asar pada hari tasyiq yang terakhir. Hari tasyiq adalah merupakan tiga hari selepas hari raya aidil adha. Oleh itu,  ada sebanyak 23 solat fardhu ditakbirkan selepasnya. Menurut pandangan Malikiyyah , digalakkan bertakbir selepas solat zohor pada hari raya aidil adha dan berakhir pada  hari keempat hari (akhir hari Tasriq).

Lafaz takbir adalah sepertimana berikut;

الله أكبر ، الله أكبر لا إله إلا الله . الله أكبر ،الله أكبر ، ولله الحمد . الله أكبر كبيرا ، والحمد لله كثيرا . وسبحان الله بكرة وأصيلا . لا إله  إلا الله وحده . صدق وعده ونصر عبده وأعز جنده وهزم الأحزاب وحده . لا إله إلا الله ولا نعبد إلا الله مخلصين له الدين ولو كره الكافرون  .
– ويسن الصلاة على النبي وعلى أصحابه وأنصاره وأزواجه وذريته.

Disunatkan juga berselawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. Digalakkan menunaikan solat hari raya di tempat lapang diluar masjid kecuali di Makkah al-Mukarramah dan al-Madinah al-Munawwarah. Akhir sekali menurut al-Syafieyyah; Menunai solat hari raya di masjid adalah lebih afdhal jika ada keuzuran seperti lokasi tempat solat sempitm berlaku ribut, banjir dan hujan lebat ataupun terlalu sesak. Bagi mereka yang menunaikan solat hari raya di masjid, maka mengikut pandangan Syafieyyah sunat didahului dengan solat tahiyyatul masjid selepas masuk masjid dan sebelum duduk di dalamnya.