Archive for the ‘Cogitation’ Category

Renungan 12

i)                    Nu’man bin Basyir r.a mengatakan, Rasulullah bersabda “Perumpamaan orang yang mematuhi larangan Tuhan dan  yang melanggarnya seperti satu kaum yang mengadakan undian di atas kapal. Sebahagian mereka mendapat tempat duduk di bahagian atas dan sebahagian lagi di bawah. Orang yang di bawah jika ingin mengambil air minuman terpaksa melalui tempat orang yang berada di sebelah atas. Lalu mereka berkata “ Lebih baik kita korekkan lubang air di tempat kita agar kita tidak mengganggu orang yang berada di atas kita”. Jika orang yang berada di atas membiarkan hasrat mereka yang dibawah ini tentulah semua mereka yang berada dalam kapal mati. Sebaliknya, jika mereka yang berada di sebelah atas melarang , maka pastilah mereka semua selamat”.

 

ii)                  Daripada Ummu Kalsum binti Uqbah r.a, Rasulullah bersabda “Bukanlah dianggap sebagai penipu (pembohong) seseorang yang mendamaikan manusia. Ditambahnya perkara yang baik atau dikatakannya baik.”.

 

iii)                Daripada Jabir bin Abdullah r.a, Rasulullah bersabda “Peperangan itu adalah tipu daya”.

 

iv)                Abu Hurairah mengatakan, Rasulullah bersabda; Setelah Tuhan memutuskan untuk mencipta makhluk, Dia catitkan dalam kitabNya yang ada di sisiNya di atas arasy “RahmatKu mengalahkan kemarahanKu”.

 

v)                  Daripada Bara’ r.a, Rasulullah bersabda kepada Hassan bin Tsabit (seorang penyair Arab yang terkemuka)”Seranglah atau balaslah serangan mereka. Malaikat Jibrail bersamamu!”. (Mempertahankan Islam dengan susunan rangkap-rangkap syairnya).

RENUNGAN (11)

RENUNGAN (11)

  • Menurut Abu Wabil r.a, Abdullah bin Umar r.a mengajar satu jamaah pada tiap-tiap hari Khamis. Lalu salah seorang lelaki berkata kepadanya “Wahai Bapa AbdulRahman! Aku mengharapkan engkau dapat mengajar kami semua setiap hari”. Jawab Abdullah bin Umar r.a ‘Saya khuatir kalau-kalau anda semua jadi bosan. Saya memilih waktu yang baik sepertimana Nabi juga memilih waktu yang baik  untuk kami belajar demi menjaga supaya kami tidak bosan”.

 

  • Abu Mas’ud al-Ansari menceritakan tentang seseorang yang mengadu kepada Rasulullah “Wahai Rasulullah! Aku hampir tidak mampu menunaikan solat berjamaah kerana si fulan yang menjadi imam memanjangkan solatnya bersama kami”. Aku tidak pernah melihat Rasulullah begitu marah pada waktu mengajar sebelum ini seperti kemarahan beliau pada hari itu.  Lalu Rasulullah bersabda “Para hadirin sekalian! Jangan kamu semua menjauhkan orang dari solat berjamaah. Siapa yang mengimani solat, maka dia perlu memendekkan solatnya kerana dikalangan mereka yang menjadi makmum ada orang yang sakit, orang yang lemah dan juga orang yang mempunyai keperluan lain (urusan penting)”.

 

  • Daripada Anas r.a berkata “Ketika Rasulullah bercukur kepala, Abu Thalhah ialah orang yang mula-mula mengumpul dan menyimpan rambutnya”.

 

  • Ibn Abbas r.a menceritakan “Berzikir dengan suara yang nyaring selepas selesai solat fardhu ada dilakukan di zaman Nabi s.a.w. Aku tahu selepas orang-orang selesai solat fardhu, aku dengar sedemikian”.

 

  • Aisyah r.a menyatakan “Apabila Rasulullah melihat hujan turun, beliau berkata “Semoga hujan yang bermanafaat”.  

RENUNGAN (10)

i)  Ma’qil berkata: “Aku ingin ceritakan kepadamu hadis yang aku dengar daripada Rasulullah dan aku dengar beliau bersabda “Seseorang yang telah ditugaskan memerintah rakyat, jika dia tidak memimpin rakyat itu dengan  jujur, sudah pasti dia tidak akan memperolehi bau syurga”.

ii)  Zaid bin Tsabit r.a memberitahu bahawa Rasulullah menyuruhnya mempelajari tulisan Yahudi. “Akhirnya aku jadi penulis untuk Nabi bagi urusan surat-surat beliau untuk orang-orang Yahudi dan aku membaca surat-surat Yahudi yang mereka kirim kepada Rasulullah”.

iii)  Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah bersabda “Para malaikat sentiasa mengawasi kamu (manusia) secara bergiliran antara malaikat yang bertugas di waktu malam dan malaikat yang bertugas di waktu siang. Mereka berkumpul ketika sembahyang subuh.”

iv) Daripada Abdullah r.a, Rasulullah bersabda “Sesiapa yang mengambil harta individu muslim yang lain dengan sumpah palsu (sumpah dusta), nescaya dia akan menemui Allah di akhirat kelak dalam keadaan Allah murka terhadapnya”.

v) Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah bersabda “Akan tiba satu masa kepada masyarakat manusia di mana orang sudah tidak peduli tentang apa yang diambilnya, sama ada apa yang diambil itu dari yang halal ataupun yang haram”.

RENUNGAN (9)

·                    Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah bersabda “Tuhan tidak menentukan hukuman bagi umatku terhadap apa yang tergerak di dadanya (kemahuan yang salah) selagi ia belum dikerjakan atau belum diucapkannya”.   

 

·                    Daripada Abdullah bin Amr r.a, Rasulullah bersabda “ada 40 jenis pemberian (hadiah). Yang paling tinggi diantaranya ialah pemberian kambing. Siapa yang melakukan salah satu daripadanya kerana mengharapkan pahala Allah dan mengakui segala janjiNya, Allah akan masukkan orang ke dalam syurga”.

 

 

·                    Daripada Anas r.a : AbdulRahman bin Auf dan Zubair mengadu tentang penyakit mereka kepada Nabi (disebabkan gatal kerana tuma). Lalu nabi membenarkan kedua-dua memakai sutera dan aku lihat mereka memakai sutera dalam peperangan”.

 

·                    Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah bersabda “ Sebelum berlaku kiamat, kamu (orang Islam) akan memerangi orang Turki yang sepet mata mereka, wajah mereka berwarna merah, hidung pesek seolah-olah muka mereka bagaikan perisai yang dipukul (dicanang). Dan sebelum kiamat juga kamu akan memerangi satu kaum yang mana sepatu mereka diperbuat daripada bulu”.

 

·                    Anas r.a berkata “ ketika Nabi berhasrat mengirim surat kepada Pembesar Rom, beliau diberitahu “mereka tidak mahu membaca surat melainkan kalau ada cop mohor (stempel). Lalu nabi menggunakan cincin peraknya sebagai stempel dan aku lihat putihnya perak itu ditangan beliau dan tertulis di atasnya Muhammad Rasulullah”. 

RENUNGAN (8)

·                    Menurut Aisyah r.a, Hisyam bin Harith r.a pernah bertanya kepada Rasulullah “Bagaimanakah cara wahyu turun kepada Tuan?”. Jawab Rasulullah “Kadang-kadang wahyu itu datang kepadaku seperti kedengaran bunyi loceng. Itulah yang sangat berat bagiku. Setelah bunyi itu berhenti, lalu aku memahami apa yang dikatakannya. Kadang-kadang malaikat datang kepadaku dengan menjelma  seperti seorang lelaki. Dia berbicara kepadaku dan aku memahami apa yang dikatakannya”. Kata Aisyah r.a “Aku pernah melihat Nabi ketika wahyu turun kepada beliau pada suatu hari yang dingin cuacanya. Setelah wahyu itu berhenti, kelihatan dahi Nabi dipenuhi peluh yang banyak”. 

 

·                    Aisyah r.a memberitahu bahawa dia pernah mengikis air mani yang sudah kering pada kain Rasulullah dengan kukunya. Kemudian Rasulullah menunaikan solat dengan kain itu.

 

·                    Abu Hurairah r.a mengatakan, Rasulullah bersabda “Bani Israel itu mandi telanjang dan mereka saling melihat aurat antara satu sama lain. Tetapi Nabi Musa mandi seorang diri. Mereka (Bani Israel) berkata “Demi Allah! Tidak ada yang melarang Musa mandi bersama-sama  dengan kita kecuali kerana dia berpenyakit, buah pelirnya besar”. Pada suatu ketika Nabi Musa mandi, kainnya diletakkan di atas batu. Lalu batu itu melarikan kain Nabi Musa dan beliau menyusulinya sambil berteriak “Kainku! Hoi batu!” hinggakan lantaran itu Bani Israel dapat melihat aurat Nabi Musa. Lalu mereka berkata “Demi Allah! Musa tidak berpenyakit apa-apa”. Kemudian Nabi Musa mengambil kainnya dan memukul batu itu”.

 

 

 

·                    Samurah bin Jundah mengatakan, apabila Nabi selesai mengimani solat berjamaah, beliau menghadap ke arah kami (para ma`mun). 

 

·                    Daripada Ibn Abbas, katanya “Nabi pernah menetap selama 19 hari (di satu lokasi) dan beliau mengqasarkan solatnya”.  (iaitu solat zohor, asar dan isya`).

RENUNGAN ( 7 )

  • Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah bersabda “Jika aku dijemput untuk makan peha kambing  atau kakinya sudah tentu aku terima pelawaan itu. Dan sekiranya aku dihadiahkan peha kambing atau kaki kambing tentu sekali aku menerimanya”.

 

  • Daripada Anas r.a, Rasulullah bersabda “Sesiapa yang keluar dari kediamannya kerana menuntut ilmu, maka dia berada di jalan Allah (fi sabilillah) sehingga dia kembali semula”.

 

  • Daripada Ali r.a, aku dengar Rasulullah bersabda “Akan muncul di akhir zaman satu golongan yang kurang akal. Mereka memperkatakan perkara yang baik. Mereka keluar Islam (murtad) bagaikan panah keluar dari busurnya. Keimanan mereka tidak melepasi kerongkong mereka. Bunuhlah mereka dimana saja kamu temui mereka. Sesiapa yang membunuh mereka akan mendapat pahala di hari kiamat” .

 

  • Daripada Anas bin Malik r.a “Penduduk Mekah meminta agar Rasulullah memperlihatkan kepada mereka mukjizat (tanda kekuasaan Tuhan). Lalu ditunjukkan kepada mereka bulan menjadi terbelah dua”

 

  • Daripada Abu Dzar r.a, Rasulullah bersabda “Berjalan (mengembara) untuk mempelajari satu bab daripada ilmu adalah lebih baik daripada engkau mengerjakan solat sunat sebanyak seratus rakaat”

RENUNGAN (6)

 

·                    Al-Rubi` binti Mu`awwiz berkata “Dia (Rasulullah) menyapu kepalanya semasa berwudhuk dengan dengan baki air wudhuk yang ada dikedua  belah tangannya”. (Rasulullah menggunakan air musta`mal).

 

·                    Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah bersabda “ Nabi Ibrahim a.s berkhatan (memotong sendiri kulit kemaluannya sendiri) dalam usianya 80 tahun dengan kapak”.

 

 

·                    Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah bersabda “Makanan dua orang cukup untuk tiga orang. Makanan untuk tiga orang cukup untuk empat orang”.

 

·                    Daripada Ibn Umar r.a, Rasulullah bersabda “Apabila seseorang daripada kamu meninggal dunia, akan diperlihatkan kepadanya setiap pagi dan petang tempat tinggalnya, iaitu sama ada syurga ataupun neraka. Dan dikatakan kepadanya “Inilah tempat tinggalmu dan kamu akan dihantar ke situ kelak”.

 

 

 

·                    Daripada Imran r.a , Rasulullah bersabda “Aku menjenguk ke dalam syurga dan aku lihat kebanyakkan isinya adalah orang-orang miskin. Dan aku menjengok ke dalam neraka dan aku lihat kebanyakan isinya adalah kaum wanita”.

 

 

RENUNGAN (5)

·        Ummu Salamah r.a bercerita”Pada satu ketika aku tidur bersama Nabi di bawah satu selimut kain bulu. Tiba-tiba aku didatangi haid. Lalu aku menjauhkan diri dari Nabi dan mengambil kain haid (tuala haid). Nabi s.a.w bertanya “Haid kah engkau?” Jawabku “Ya”. “Kemudian aku dipanggil dan tidur kembali bersama-sama dengan beliau dalam satu selimut”. (Syariat Islam mengharuskan isteri tidur berdekatan dengan suami semasa haid kecuali bersetubuh). 

 

·        `Aun bin Abu Juhaifah r.a berkata “Aku mendengar ayahku berkata bahawa Rasululah mengerjakan solat zohor dua rakaat dan asar dua rakaat (qasar dan jama`) bersama-sama kaum muslimin di tanah lapang, sedangkan dihadapan Nabi dipacak sebatang tongkat, sementara seorang wanita dan keldainya lalu dihadapan beliau (di balik tongkat).

 

 

·        Daripada Abbad bin Tamim r.a daripada bapa saudaranya “Nabi s.a.w pernah keluar untuk solat istisqa` (solat minta hujan) dengan memakai baju terbalik”.  (Untuk menyatakan pengharapan yang sungguh-sungguh supaya Allah mengubah situasi kritikal menjadi baik).

 

·        Abu Hurairah r.a berkata”Aku dengar Rasulullah bersabda “Demi Allah! Aku memohon ampun dan bertaubat kepada Allah lebih 70 kali sehari”. 

 

 

·        Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda “Apabila kamu mendengar kokok ayam, maka mohonkanlah kurnia kebaikan daripada Allah kerana ia melihat malaikat. Apabila kamu mendengar ringkikan keldai, maka mohonlah perlindungan Tuhan daripada bahaya syaitan kerana ia (keldai) melihat syaitan”.    

 

RENUNGAN (4)

·                    Abu Mas`ud menceritakan bahawa Rasulullah pernah bersabda “Apabila seseorang lelaki memberi nafkah kepada ahli keluarganya dengan ikhlas, maka pahala nafkah itu sama dengan pahala sedekah”.

 

·                    Kata Abu Musa r.a, Rasulullah bersabda “Perumpamaan petunjuk dan ilmu pengetahuan yang Allah utuskan aku menyampaikannya seperti hujan lebat jatuh ke bumi. Bumi itu ada yang subur, menghisap air, menumbuhkan tumbuh-tumbuhan serta rumput-rumput yang banyak. Ada pula yang keras tidak menghisap air hingga tergenang. Maka Allah memberi manafaat melalui tanah bumi  itu kepada manusia. Mereka dapat minum dan memberi minum kepada binatang ternakan mereka dan bercucuk tanam. Dan ada juga hujan yang jatuh di bahagian lain, iaitu di bahagian tanah yang tidak menggenang air dan tidak menumbuhkan rumput. Begitulah perumpamaan orang yang belajar agama yang ingin memanafaatkan apa yang Allah suruh aku sampaikan kepadanya, lalu dipelajari dan diajarkannya. Dan begitu juga perumpamaan orang yang tidak ingin memikir dan mengambil peduli tentang petunjuk Allah yang mana aku diutus untuk menyampaikannya”.

 

 

·                    Abdullah bin Amr bin Ash r.a mendengar Rasulullah bersabda “Allah tidak menarik kembali ilmu pengetahuan dengan cara mencabutnya kembali daripada jiwa para hambaNya tetapi dengan cara Dia mematikan orang-orang berpengetahuan (ulama`). Apabila orang berpengetahuan sudah tiada lagi, maka masyarakat akan mengangkat orang-orang bodoh menjadi pemimpin yang akan dijadikan tempat bertanya. Orang–orang bodoh ini akan berfatwa tanpa ilmu. Mereka itu sesat dan lagi menyesatkan”.

·                    Ibn Umar r.a berkata, Rasulullah bersabda “ Siapa yang mengambil sebahagian tanah orang lain tanpa hak (dengan cara aniaya atau penipuan), maka pada hari kiamat dia akan dikuburkan hingga tujuh lapis bumi”.

 

·                    Daripada Sahl bin Sa`ad r.a, Rasulullah bersabda “ Tujuh puluh ribu atau tujuh ratus ribu umatku akan masuk syurga tanpa hisab. Mereka semua masuk berturut-turut  dan rupa paras mereka bercahaya seperti  bulan purnama”

RENUNGAN (3)

·                    Daripada Aisyah r.a “Aku tidur dihadapan Rasulullah sedangkan kedua belah kakiku berada ditempat kiblatnya. Ketika dia sujud, dicubitnnya aku lalu ku tarik kakiku. Dan apabila dia berdiri aku lunjurkan kembali kakiku” Tambah Aisyah r.a lagi “Ketika itu tak ada lampu dalam rumah”.

 

·                    Daripada Abu Said al-Khudri r.a, Rasulullah bersabda “Ibadat haji dan umrah di Baitullah akan tetap dilaksanakan orang meskipun setelah keluar Ya`juj dan ma`juj (akhir zaman).

 

 

·                    Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah bersabda “Demi Allah yang diriku dalam genggamanNya! Akan turun kepada kamu Ibn Maryam (Nabi Isa) menjadi hakim yang adil. Dia akan memecahkan salib, membunuh babi, menghapuskan pajak (kerana pada masa itu tiada lagi orang miskin) dan harta kekayaan akan melimpah ruah hinggakan tidak ada seorang pun yang sanggup menerimanya”.

 

 

·                    Aisyah r.a bertanya kepada suaminya, Rasulullah “Wahai Rasulullah, kita mempunyai dua buah rumah tetangga. Yang manakah diantara keduanya yang lebih utama diberikan hadiah?”. Jawab Rasulullah “Kepada yang lebih dekat pintunya denganmu”.

 

 

·                    Anas r.a berkata “Seorang muslim yang menanam pohon atau tanaman-tanaman. Lalu sebahagian hasilnya dimakan burung, manusia atau binatang, maka orang yang menanam itu mendapat pahala”.