Archive for the ‘Histories’ Category

Ucapan Tok Guru Nik Aziz dan KBDYMM Sultan Kelantan pada 28hb Januari 1993

Tok Guru Ghani: Mantan Ketua Dewan Ulama’ PAS Negeri Kelantan

Oleh kerana sibuk dengan urusan pengumpulan data-data sejarah, saya menguzurkan diri untuk hadir sebagai pemerhati politik sama ada di Batu Sapi ataupun di Galas. Lagipun tugas mengumpul data-data sejarah inipun adalah sebahagian daripada jihad dalam sector ilmiah juga. Mungkin pada 30hb. October ini, ramai di kalangan para penyokong kedua-dua buah  parti  di Galas ini  yang begitu minatkan sukan bola sepak akan mengalih perhatian mereka sekejap  daripada politik ke arena bola sepak dan terus  menuju ke Stadium Bukit Jalil bagi menyaksikan perlawanan final antara pasukan Kelantan menentang Negeri Sembilan. Adapun bagi para petugas parti, sudah tentulah mereka tidak boleh sama sekali meninggalkan pos-pos yang diamanahkan dan hanya memadai dengan menonton perlawanan tersebut melalui televisyen sahaja sambil menjalankan tugas.

Sekitar PRK DUN Galas

Dalam kesibukan mengumpul, menyemak serta meneliti data-data yang sudah berada di tangan, saya tertarik dengan sekeping gambar Mantan Ketua Dewan Ulama PAS Negeri Kelantan, Tuan Guru Haji Abdul Ghani bin Haji Awang Kechik bin Abdul Wahab bin Muhammad. Tokoh ini yang lebih mesra dengan panggilan Tok Guru Ghani merupakan pengasas Madrasah Muhammadiyyah di Jalan Meranti, Pasir Mas yang juga merupakan pondok pengajian agama Islam yang amat popular di Semenanjung Malaysia. Beliau berbesan dengan Tok Guru Haji AbdulRahman Pondok Lubuk Tapah  (Anak beliau, Hajjah Qamariah berkahwin dengan Tok Guru Hj Abdulllah bin Tok Guru AbdulRahman). Setelah tamat pendidikan asa daripada ayahandanya sendiri, Haji Awang Kechik[1], beliau dihantar memondok di Padang Jelapang yang merupakan salah sebuah pusat pengajian terkemuka di Pasir Mas pada awal abad ke-20. Hj Abdul Ghani hanya sempat berguru selama setahun sahaja kerana pada tahun kedua , Tok Padang Jelapang berpindah ke pondok dalam di Jalan Pondok Lama, Pasir Mas. Di sini beliau memondok selama 5 tahun lagi. Beliau juga terkenal sebagai jolokan “Anak Butir Tok Padang Jelapang”. Apabila Tok Padang Jelapang berpindah sekali lagi buat kali kedua ke Sungai Golok (Thailand)  pada tahun 1932, beliau tidak ikut serta ke seberang Siam dan menuju ke Kota Bharu untuk menyambung pengajiannya di sana. Di Kota Bharu, beliau berguru dengan tiga orang guru tersohor  iaitu;  Haji Che Ahmad, Ahmad bin Haji Abdul Manan (selama 3 tahun), Mufti Haji Wan Musa dan Haji Saad Kangkung. Kebanyakkan para ulama sezaman dengan beliau menamatkan pengajian mereka di Kota Mekah tetapi sebaliknya bagi Tok Guru Ghani ini.  Setamat sahaja pengajian di Kota Bharu, beliau terus pulang ke Pasir Mas dan mengajar di Pondok dalam Pasir Mas bersama Tok Guru Mat Melaka (menantu Tok Padang Jelapang). Seterusnya pada tahun 1936, beliau mendirikan Madrasah Muhammadiyyah di Kampung Kubang Bemban , lebih kurang ½ batu di sebelah barat bandar Pasir Mas dan hanya beberapa meter sahaja jaraknya dengan rumah arwah datuk saya, Haji Omar bin Awang (mantan ADUN PAS Bandar Pasir Mas).

Allahyarham Tuan Guru Haji Abdul Ghani

Keazaman, komitmen serta kemahiran beliau mendaulatkan pengajian pondok telah meletakkan dirinya sebagai seorang tokoh pendidik yang disegani lagi dihormati. Pondok Tok Guru Ghani ini terkenal dan berjaya melahirkan guru-guru agama pelapis di seluruh negara. Antara murid-muridnya ialah;

i)             Haji Daud bin Haji Yusof kampung Meranti.

ii)            Haji Muhammad bin Mat Diah , Pondok Beta Hilir, Kota Bharu.

iii)           Pak Nik Che Othman Awang Samat, Kampung Parit Meranti.

iv)           Haji Muhammad Awang Senik, Pondok Padang Siam

v)            Haji Daud Abdul Rauf, Lubuk Stol, Rantau Panjang.

vi)           Haji Muhammad Che Long, Pondok Repuh Jagung/ Bukit Gading Tanah Merah.

vii)         Haji Mat bin Saleh Banggol Nangka.

viii)        Lebai AbdulRahman Salleh, Kampung Kedondong.

ix)           Dato’ Haji Abdullah Sijang, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Setiap kali bulan Rabiul Awal, Tok Guru Ghani mengadakan sambutan Maulid al-Rasul secara besar-besaran. Pada siang hari disediakan jamuan nasi. Manakala pada sebelah malam pula diadakan ceramah-ceramah agama dan bacaan al-Quran berlagu. Ketokohan dan kewibawaan beliau sentiasa terserlah apabila setiap tahun beliau dilantik sebagai salah seorang anggota Jamaah Ulama  Majlis Agama Islam Kelantan.  Beliau juga aktif dalam politik dan begitu amat teliti sebelum memutuskan sesuatu keputusan. Malah dalam soal isu kafir mengkafir yang pernah dicanang oleh pihak UMNO,  beliau telah mengambil langkah bijak meskipun seringkali dianggap sebagai penakut oleh sesetengah ahli-ahli PAS pada masa itu. Berkaitan dengan isu kafir- kafir ini, saya siarkan di sini petikan buku SEJARAH PAS KELANTAN 1959-1978 sepertimana di bawah;

2.1.3   Isu Kafir Mengkafir

Kelantan tidak terlepas daripada bahang konfrontasi Malaysia-Indonesia yang merebak ke seluruh negara. Bertambah gawat lagi bila pihak lawan sengaja mencetuskan isu kafir mengkafir dan memanipulasikannya sepanjang proses pilihanraya umum 1964. Mengikut catatan sejarah, pada awalnya isu kafir mengkafir ini mulai heboh dikalangan masyarakat Melayu apabila dua kelompok masyarakat berpendidikan agama yang tersohor dengan jolokan kaum muda dan kaum tua saling bertelingkah dalam beberapa masalah fiqh seperti masalah peranan akal dalam memahami ajaran Islam, ijtihad dan taqlid serta pandangan dan kritikan terhadap kitab fiqh klasik pada sekitar tahun 1906M-1926M[2]. Namun dalam konteks politik kepartian, isu kafir mengkafir muncul kembali dan ia berpunca dari kuliah pagi Tuan Guru Hj.Omar bin Daud di pondoknya, Madrasah Kubang Bemban. Dalam kuliah itu, beliau membaca tafsir surah al-Maidah, ayat  44, 45 dan 47. Bermula dari saat itu kecoh dikalangan ahli-ahli PAS di kampung itu yang beranggapan bahawa orang-orang UMNO itu kafir. Kekecohan ini merebak dengan cepat ke seluruh negeri menyebabkan Tuan Guru Hj.Omar sering dijemput menyampaikan kuliahnya di mana-mana sahaja. 

Isu ini ditimbulkan ketika mana isu hukum mendirikan masjid dan bangunan sekolah-sekolah agama dengan menggunakan wang loteri sedang hangat diperkatakan.  Di kala itu UMNO mencanangkan wang loteri adalah halal dan boleh digunakan untuk mendirikan masjid dan juga sekolah-sekolah agama. Sedangkan PAS pula memandang sebaliknya dan melarang para ahli pengikutnya menerima wang itu untuk tujuan mendirikan rumah ibadat dan sekolah-sekolah agama. Ketegangan di kalangan para penyokong kedua-dua parti politik timbul ekoran pertembungan ideologi antara kedua belah pihak.  Akibatnya, sebuah masjid di Kampung Kerawang dalam kawasan pilihanraya Machang Utara yang didirikan dengan wang loteri tidak mendapat sambutan anak mukim tempatan hinggakan solat Jumaat pun gagal didirikan di masjid berkenaan[3].

Berkaitan isu kafir mengkafir; demi menjawab dan mematahkan hujjah pihak lawan yang menyatakan orang Islam tidak dilarang berkongsi kuasa memerintah negeri bersama orang-orang kafir, beberapa orang Tuan Guru daripada kalangan ahli Dewan Ulama` PAS di Pasir Mas telah mengeluarkan pendapat atau hujjah mereka sendiri yang bertentangan dengan pendapat pihak lawan  berpandukan beberapa potong ayat al-Qur`an dalam majlis pengajian di madrasah mereka.

Penulis[4] sendiri masih ingat  ketika mana diarah oleh Dato’ Mohd.Asri Hj. Muda[5] untuk  meninjau apa yang dikatakan sebagai fatwa itu serta meneliti situasi tersebut dengan menemui Tuan Guru terbabit. Dengan ditemani oleh tiga orang sahabat setia, iaitu Tengku Jaafar Ahmad, Pak Teh Musa (En.Musa Hj.Abd.Samad) dan Sayyid Abdul Kadir[6], penulis menuju ke Kampung Teliar, Bunut Susu[7] dengan menaiki keretapi dari Palekbang dan turun di Bunut Susu pada 18hb.Ogos 1963[8]. Kemudian dari Bunut Susu kami terus ke Kampung Teliar. Di rumah dan sekitar kawasan pondok, Tuan Guru Hj.Nor merupakan seorang tokoh muda ahli Dewan Ulama` PAS Kelantan yang disegani ketika itu. Beliau begitu bersemangat berpegang dengan hukum haram berkongsi kuasa memerintah negara bersama golongan bukan Islam. Sesampai di rumahnya, penulis menyampaikan maksud kedatangan[9] kepada Tuan Guru Hj.Nor.

Sukacita dengan kedatangan kami, Tuan Guru Hj.Nor menghurai secara panjang lebar tentang hasil perbincangan beliau dengan beberapa orang rakannya berpandukan beberapa sumber rujukan dan juga tafsiran kepada beberapa potong ayat suci al-Qur`an. Beliau juga menyatakan beberapa potong dari Tafsir al-Shawi ‘ala al-Jalalain dan lain-lain. Disamping itu beliau turut menyatakan pendiriannya bahawa Islam melarang orang Islam berkongsi dengan orang-orang bukan Islam memerintah negara.  

Dalam Mesyuarat Perhubungan PAS Negeri yang diadakan keesokannya pada 19hb.Ogos 1963, penulis  melaporkan hasil pertemuan dengan Tuan Guru Hj.Noor Teliar kepada Tuan Guru Hj.Abdul Ghani bin Awang Kechik[10], selaku Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan ketika itu. Tuan Guru Hj.Abdul Ghani menyatakan; pandangan yang dikemukakan kepada Setiausaha Perhubungan oleh Tuan Guru Hj.Nor Teliar adalah merupakan  pandangan  beliau sendiri dan rakan-rakannya dan ia masih belum dibawa ke pengetahuan Dewan Ulama` Negeri.  Jika masalah ini diajukan dalam Dewan Ulama Negeri, ia akan dipertimbangkan melalui kaedah tarjih[11]. Sehubungan ini, Tuan Guru Hj.Abdul Ghani menyatakan bahawa keputusan pandangan itu belum menjadi keputusan Dewan Ulama PAS Kelantan kerana belum ditarjih lagi. Oleh itu, beliau meminta agar perkara ini jangan dihebohkan terlebih dahulu kepada media dan masyarakat awam[12]. Kemudian masalah ini dirujuk kepada Mufti Kerajaan Kerajaan Kelantan, Dato’ Kaya Purba, Haji Ahmad Maher bin Haji Ismail yang mengeluarkan fatwa berkaitan masalah ini[13]. Justeru sepanjang ingatan penulis, dalam era kepimpinan PAS dari tahun 1951 hingga tahun 1978, tiada sebarang keputusan yang dibuat atau diambil  berkaitan dengan masalah isu kafir-mengkafir.

Tok Guru Ghani kembali ke rahmatullah pada waktu tengahari Sabtu 15 Jun 1985 selepas jatuh sakit selama dua minggu. Jenazah beliau disemadikan di Tanah Perkuburan Dusun Nyior , Kubang Bemban. Selepas pemergiannya, pondok tidak  lagi aktif sepertimana biasa. Anak-anak beliau yang berkaliber dalam bidang pengajian agama seperti Dr. Anisah dan juga Dr.Abdul Mu`min merupakan antara tunggak utama pendidikan Islam di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Salinan asal fatwa kafir mengkafir oleh Mufti Dato Kaya Purba Ahmad Maher


[1] Beliau merupakan salah seorang murid Tok Bachok Tua, salah seorang guru pondok di kampung Mat Lajin, di Jalan Meranti, Pasir Mas.

[2] Hydzelan Hashim, (2005)Pengaruh Nasionalisme Dalam Pemikiran Masyarakat Melayu Kelantan: Suatu Kajian di Bandar Kota Bharu, Disertasi Ijazah Sarjana Usuluddin, Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, APIUM, K.Lumpur. hlm, 39-42.

[3] Mengikut mazhab Syafie, ahli Jumaat mesti terdiri daripada 40 orang mukallaf. Sila rujuk Ibn Juzay, al-Qawanin al-Fiqhiyyah. Dar al-Fikr, Beirut, hlm 73.

[4] Pada ketika itu menjawat jawatan Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan.

[5] Selaku Pesuruhjaya PAS Negeri Kelantan. Beliau juga dikenali dengan panggilan mesra Ayah Mat dikalangan orang-orang Pas di Kelantan.

[6] Sayyid Abdul Kadir juga tersohor dengan jolokan Ayah Nung (singkatan daripada Tuan Gunung) lantaran tubuhnya yang tinggi. Setakat ini, dua daripada sahabat pengiring, iaitu Pak Teh Musa dan Tuan Gunung  telah kembali ke rahmatullah. Yang masih tinggal ialah Tengku Jaafar bin Tengku Ahmad.

[7] Letaknya dalam jajahan Pasir Mas, Kelantan.

[8] Pada ketika itu Jambatan Sultan Yahya Petra masih dalam pembinaan.

[9] Meminta penjelasan mengenai suatu keputusan yang dikatakan telah diambil oleh beliau dan beberapa orang rakannya atas nama Dewan Ulama` Pas berkaitan dengan hukum itu.

[10] Tuan Guru Hj.Abdul Ghani ialah seorang tokoh ilmuwan Islam yang sangat dihormati. Beliau juga adalah salah seorang Ahli Majlis Ulama` MAIK yang berperanan mengeluarkan fatwa yang dipengerusikan oleh Mufti Kerajaan Negeri.  

[11]Menimbang dengan teliti disamping membuat perbandingan dengan pendapat-pendapat lain berdasarkan nas-nas yang muktabar.

[12] Sila rujuk Minit Mesyuarat Perhubungan PAS bertarikh 19hb.Ogos 1963.

[13] Sila lihat lampiran 4.

Ketokohan Prof.Zulkiflee Muhammad.

 

Buku berjodol “Analisa Tentang Beberapa Masaalah Hidup Manusia” oleh Prof.Zulkiflee Muhammad ini saya pinjam daripada abah saya kira-kira 10 tahun lalu dan hingga kini saya tak pulangkannya kembali kepada beliau. Hasil karya ini terlalu dinamik lebih-lebih lagi ia ditulis pada zaman lalu sekitar tahun 1968 dan sifat dinamik itu tetap unggul kekal hingga ke hari ini. Gaya penyampaian dan ejaannya adalah klasik. Buku ini diolah, ditulis dan dipersembahkan oleh Prof. Zulkiflee kepada Universitas Islam Sumatera Utara , Medan Indonesia. Ia mempamerkan betapa geniusnya insan bernama Zulkiflee Muhammad ini hingga kepintarannya sering dianggap mengatasi masa atau zaman itu dan sekaligus menggambarkan ketokohan diri beliau selaku pemimpin PAS meskipun untuk tempoh yang terlalu sekejap. Ketokohan Prof. Zulkiflee turut diulas dalam ruangan pendahuluan buku ini oleh Dato’ Mohd. Asri bin Haji Muda dalam tajuk  “Zul yang saya kenali dari dekat” pada halaman 6-10. Antara lain Dato’ Mohd.Asri mengatakan;

“Saya meni`mati keindahan chahaya diatas chahaya; chahaya ilmu dan chahaya iman. Bermandi chahayalah saya selama berdamping dengan Ustaz Zul. Kadang2 saya rasa saya tenggelam ke`ashikan  mengikuti perkembangan fikirannya yang padat, tepat dan memikat.”

“Apa yang saya takuti semasa bersama dengan Ustaz Zul hanya satu yaitu saya takut kalau2 saya kehilangan pribadi. Ustaz Zul tahu ini dan dia membisikkan ke telinga saya, kalau ingin jadi pemimpin yang chekap senantiasalah tambah pengetahuan dan berani menghadapi kenyataan. Bahkan kepada kawan2 seperjuangan beliau selalu menggalakkan supaya banyak2  membacha dan terus belajar. Dalam hal ini beliau sendiri sebagai chontoh. Saya persaksikan sendiri sebagai anggota parlimen tidak akan berjumpa di rumah Ustaz Zul Warta2 Kerajaan atau kertas2 parlimen yang terbiar tidak terbuka dan tersilau walaupun beliau mempunyai urusan yang jauh lebih banyak daripada kawan2 anggota parlimen yang lain. Beliaulah diantara ahli parlimen yang paling banyak meminjam buku Perpustakaan Dewan Rakyat  dan semua buku2 itu dibachanya. Kalau kita berkunjung ke rumahnya, di sana sini kita akan melihat buku2; di ruangan tetamu, di meja tulis, di tempat istirehat bahkan di meja makan apatah lagi di bilik tidur. Pendeknya kehidupan Ustaz Zul kaya dengan buku2, majalah2, kitab2, dan bahan2 pembachaan lainnya dan jika berjalan jauh buku2 itu akan menjadi teman karibnya yang setia selama dalam perjalanan itu. Begitu banyak  beliau membacha buku2 tetapi beliaulah orang yang paling dahaga kepada pembachaan. “Tambah ilmumu senantiasa supaya alam fikiran menjadi luas, sebab manusia tidak sanggup berbuat lebih daripada apa yang dia fikirkan”. Demikian Ustaz Zul selalu memesankan kepada kawan2nya.

“Bagi Zul berilmu bukan untuk sekadar berteori, sekadar bersilat lidah dan berlanggar pena. Berilmu bagi beliau artinya beramal. Sebab sekuat penambahan ilmu yang diusahakannya maka sekuat itu pulalah penambahan amal yang dilakukannya dengan tidak mengenal lelah dan payah. ‘Kita disuruh datang ke dunia oleh Tuhan untuk bertugas” kata Zul. “Sebab itu marilah kita gunakan umur kita yang singkat ini untuk mengabdi kepada tugas yang telah digariskan oleh Tuhan itu”.

“Saya kagumi keikhlasannya dalam parti, pengurbanan dan kejujurannya sebagai pemimpin, dalam keadaan badannya kurang sehat, dalam keadaan demam kalau terdengar PAS berapat umum beliau tidak keberatan bersharah berjam2 lamanya se-akan2 hilang demamnya buat sementara tetapi kemudian selepas bersharah  beliau demam lagi. Saya Tanya kenapa beliau begitu memayahkan diri? Dengan spontan beliau menjawab “Kita diberi Tuhan umur yang sangat terbatas, kalau kita tidak penuhi dengan amal bakti manalah peluang kita hendak beribadat  kapada Allah!”. Satu jawapan yang sampai sekarang bila saya kenang2kan terasa se-akan2 beliau telah merasa bahwa beliau akan meninggal dunia dalam usianya yang masih sangat muda.

“Sekali lagi saya katakan  saya kagum kepada semangat pengorbanan yang beliau perlihatkan dalam perjuangan. Beliau sanggup berhutang atas nama pribadinya , ribuan ringgit banyaknya  untuk keperluan parti. Waktu saya tanya  kenapa sampai begitu, beliau menjawab “Kalau kita sanggup berhutang bergadai untuk keperluan anak isteri yang kita sayangi kenapa kita tak sanggup berhutang untuk perjuangan yang kita chintai”.

“Itulah Zul yang saya kenal, seorang manusia yang dalam kechachatan anggotanya tersimpan kekuatan jiwa yang besar dan amal kebaktian yang menggunung untuk bangsa dan agamanya. Bagi Zul seluruh hidup ini hanyalah pengabdian kepada agama Allah. Untuk itu dia hidup dan untuk itu dia mati dan dengan itu dia dibangkit – insha Allah –di hari kemudian.

Towardsmardhatillah: Alangkah baiknya jika para politicians masa kini berjiwa seperti Prof. Zul ini.  

Pengembaraan Ibn Battutah (Part 3)

Setelah sekian lama berada di Mul Jawah, Ibn Battutah menyambung perjalanan  dan belayar lebih 34 hari, kapal yang dinaiki berlabuh di wilayah Tawalisi[1]. Penduduknya berupa paras elok dan masih menyembah berhala. Kaum wanitanya pula pandai menunggang kuda serta mahir memanah dan turut serta berperang bersama kaum lelaki. Kapal yang dinaiki berlabuh di perlabuhan Kilurki[2]. Gabenornya bernama Arduja adalah seorang anak raja wilayah berkenaan. Adurja yang pandai berbahasa Turki dan menulis dalam bahasa Arab telah menjemput semua anak kapal bertandang ke istana dan menjamu mereka dengan berbagai jenis makanan[3].

Kapal yang dinaiki meneruskan pelayaran kemudiannya.  Dengan bantuan angin tenang, mereka akhirnya sampai ke negeri China selepas tujuh belas hari dalam pelayaran dan berlabuh di perlabuhan Zaitun[4]. Di sini Ibn Battutah melihat berates buah kapal kecil dan besar turut berlabuh. Pelabuhan ini terletak di muara sungai yang besar. Di Bandar ini tinggal sekelompok masyarakat Islam. Menurut Ibn Battutah, beliau menyusuri sebatang sungai selama 27 hari dan kemudiannya singgah di Bandar Sin Kalan[5]. Di lokasi ini banyak tembikar yang diproses dan kemudiannya dieskport ke India dan Yaman. Di tengah Bandar tersebut terdapat sebuah kuil besar yang mempunyai 7 buah pintu. Di Bandar ini juga wujud sekelompok masyarakat Islam yang dipimpin oleh seorang ketua, seorang kadhi, masjid, zawiyah serta pasar mereka sendiri. Di sini, Ibn Battutah menumpang di sebuah rumah hartawan Islam bernama Awhid al-Din al-Sanjari. Selepas itu Ibn Battutah kembali semula ke Bandar Zaitun dan kemudiannya menerima jemputan daripada maharaja China  agar beliau ke ibukota negeri, Bandar Khan Balaq[6] . beliau memulakan perjalanan dengan ditemani oleh gabenor, kadhi dan beberapa orang saudagar Islam. Setelah 10 hari belayar menyusuri sebatang  sungai, mereka singgah di Bandar Qanjanfu iaitu sebuah Bandar besar yang mempunyai 4 buah kota yang mana kota ke-3 didiami oleh orang Islam.

Bersama seorang hartawan dari Bandar Qanjanfu yang bernama al-Busyri, Ibn Battutah menuju ke Bandar Biwan Qatlu (sebuah Bandar kecil). Mereka berdua meneruskan perjalanan dan setelah 17 hari, mereka sampai di Bandar al-Khansa (Bandar Hang Chou), iaitu sebuah Bandar yang paling luas yang pernah dilawati oleh beliau. Bandar tersebut terbahagi kepada 6 bahagian. Kadhi Bandar berkenaan bernama Fakhr al-Din daripada keturunan Othman bin Affan r.a. Ibn Battutah melawat semua bahagian kawasan ini satu persatu dan masyakarat Islam menetap di Bandar ke-3. Selepas selesai melawat semua Bandar itu, Ibn Batuttah terus menu ju ke Bandar al-Khata (letaknya di sempadan negeri China). Menurut tokoh ini, banda rberkenaan maju tapi tidak aman. Ibn Battutah menerusikan lagi perjalanan dan akhirnya tiba di Bandar Khan Balaq (Peking)[7]. Raja china pada masa itu bernama Alqan. Semasa Ibn Battutah berada di Bandar tersebut, berlaku pemberontakan yang membawa kepada pembunuhan raja China. Oleh itu, sebelum situasi menjadi bertambah buruk, beliau mengambil keputusan meninggalkan negeri China[8]. Ibn Battutah berpatah balik ke Zaitun dengan menaiki kapal kepunyaan al-Malik al-Zahir, pemerintah Pulau Sumatera. Mereka belayar mengharungi lautan menuju ke kepulauan Melayu dan Ibn Battutah pula kemudiannya kembali  ke tanahairnya.  


[1] Kepulauan Filipina selatan iaitu kepulauan Sulu. Bagi Ibn Battutah, wilayah ini amat luas dan rajanya bernama Tawalisi.

[2] Terletak di Pulau Jolo, iaitu pulau terbesar di Kepulauan Sulu. Ia merupakan bandar terbesar dan tercantik di wilayah itu.

[3] Untuk mengetahui kisahnya dengan lanjut, lihat Rihlah Ibn Battutah, jld.2, hlm 714-716.

[4] Bandar Chuanchou.

[5] Perlabuhan Canton.

[6] Peking.

[7] Pada masa itu ia juga dikenali dengan nama Khaniqu, sebuah kota diraja China.

[8] Beliau meninggalkan negeri China kira-kira pada akhir tahun 747H.

Pengembaraan Ibn Battutah (Part 2)

Setelah kembali dari pengembaraannya, tidak banyak lagi kisah tentang Ibn Battutah yang dapat diketahui kerana segala kisah mengenainya hanya beliau catatkan sepanjang pemgembaraan sahaja. Ibn Battutah juga dikesan menjawat jawatan kadhi di beberapa buah Bandar di tanahairnya sehinggalah beliau meninggal dunia. Ahli sejarah dan penulis biografi Ibn Battutah tidak sependapat tentang tarikh kewafatan dan tempat pengebumian tokoh ini.  Ada yang mengatakan Ibn Battutah meninggal dunia pada tahun 770H bersamaan 1368/69M[1]. ada juga yang berpendapat beliau wafat sembilan tahun kemudian iaitu pada tahun 779H bersamaan 1377/78[2]. Begitu juga mengenai tempat pengebumiannya. Ada pendapat mengatakan Ibn Battutah dikebumikan di bandar kelahirannya, Tanjah dan ada juga yang mengatakan beliau dikebumikan di Fas, ibunegeri al-Maghribi. Malah ada juga pendapat yang mendakwa tokoh pengembaraan ini di kebumikan di  Bandar al-Marakush[3].

Ibn Battutah dipercayai berada di Kepulauan Melayu dan negeri China antara tahun 745H hingga 748H.  Pada akhir tahun 742H, Sultan Muhammad Tughluq[4]  telah menghantar Ibn Battutah sebagai ketua perwakilannya ke negeri China sebagai membalas kunjungan perwakilan daripada Maharaja China. Malangnya, rombongan tersebut mendapat musibah semasa dalam perlayaran. Semua hadiah yang dibawa hilang di lautan. Ibn Battutah yang merasa bimbang untuk kembali menemui Sultan Muhammad Tughluq di Delhi akhirnya mengambil keputusan untuk pergi ke Pulau Dhibat al-Mahal[5]. Setelah berada hamper dua tahun di pulau itu, beliau sekali lagi keluar merantau. Namun beliau kembali semula ke situ untuk melihat anaknya. Akhirnya Ibn Battutah meninggalkan Kepulauan Dhibat al-Mahal pada bulan rabiul akhir 745H dan terus menuju ke Pulau Silan[6] . Tokoh ini meneruskan pengembaraannya dan singgah di wilayah Banjalah[7]. Semasa berada di Bandar Sunurkawan[8], beliau bertembung dengan sebuah kapal yang sedang bersiap untuk belayar ke Kepulauan Melayu yang memakan masa 40 hari pelayaran. Ibn  Battutah mengambil kesempatan menumpang kapal tersebut dan menjelajah dunai sebelah timur. Selepas 15 hari pelayaran, mereka singgah di satu tempat bernama Barahnakar[9]. Menurut Ibn Battutah, penduduk di situ masih kafir dan tidak berpakaian. Mereka menutup tubuh mereka dengan daun-daun kayu. Di daerah ini tinggal sekumpulan masyarakat Islam dari Banjalah dan Pualau Jawa[10].  Kapal yang dinaiki meneruskan pelayaran dan  selepas 25 hari kemudiannya mereka semua tiba  di Pualau Jawa. Ibn Battutah menyebut Pulau Jawa merupakan sebuah kawasan yang subur menghijau dan dipenuhi dengan tumbuh-tumbuhan. Setelah mendapat kebenaran daripada Penguasa Laut, kapal itu mendarat di tepi pantai. Ibn Battutah dan anak-anak kapal yang lain singgah di sebuah  pekan bernama “Bandar” yang terletak kira-kira 4 batu dari Ibu negeri pulau tersebut iaitu Bandar Sumutrah. Beriata kedatangan mereka disampaikan kepada pemerintah di situ, al-Sultana al-Malik al-Zahir. Beliau merupakan seorang raja yang pemurah dan bermazhab Syafie. Baginda sering mengundang para ulama ke majlis ilmu yang diadakan di istana. Ibn Battutah tinggal di pulau  itu selama 15 hari dan sempat menunaikan solat jumaat bersama masyarakat di sini serta menyaksi cara hidup mereka. Apabila tiba masa untuk belayar,   Sultan al-Malik al-Zahir menyediakan sebuah kapal dan beberapa orang rakyatnya untuk belayar bersama dengan Ibn Battutah ke negeri China. Mereka berangkat dari Bandar Sumutrah menuju ke Mul Jawah[11]. Mereka menyusuri Selat Melaka dan kemudiannya Laut China Selatan selama 21 hari dan akhirnya singgah di Mul Jawah. Ibn Battutah menyebut dalam catitannya; Mul Jawah merupakan negeri orang kafir. Panjangnya kira-kira dua bulan perjalanan. Kapal yang dinaiki singgah di Pelabuhan Qaqalah[12] yang merupakan sebuah pelabuhan yang agak sibuk dan terdapat banyak kapal berlabuhan di situ.  Ibn Battutah memasuki bandar itu dan mendapatinya merupakan sebuah bandar yang indah dengan kota yang diperbuat daripada batu yang dipahat. Lebar dinding kota itu boleh dilalui oleh tiga ekor gajah sekali gus. Beliau juga menjelaskan; gajah merupakan alat pengangkutan utama di bandar ini. Di setiap rumah terdapat gajah yang diikat di halamannya. Para peniaga pula mengikat gajah mereka di hadapan kedai mereka. Penduduk dan raja Wilayah itu masih belum memeluk agam Islam dan mereka sangat menghormati tetamu. Semasa Ibn Battutah menziarah raja tersebut, dia sedang duduk di atas tanah dikelilingi oleh para pembesarnya. Raja tersebut menyuruh pembesarnya membentangkan hamparan kepada tetamu sedangkan dia sendiri duduk di atas tanah. Apabila Ibn Battutah bertanyakan tentang tentang hal ini, dia menjelaskan; itulah cara mereka melayan tetamu. Semasa menjadi tetamu raja itu, Ibn Battutah berkesempatan menyaksikan satu upacara seorang lelaki menyembelih dirinya sendiri untuk menunjukkan taat dan kasihnya kepada raja[13] .         


[1] Ibn Hajar al-Asqalani,al-Durr al-Kaminah, jld.4, hlm 100.

[2] Khair al-Din al-Zarakli, al-`Alam, jld.6, hlm 235. E.j Brill’s First Encyclopedia of Islam 1913-1936, E.J Brill Leiden (1987),jld 3,hlm 368.

[3] Khair al-Din al-Zarakli, Ibn Battutah; al-Sufi al-Rahhalah, Urwat al-Wuthqa, hlm 36, The Encyclopedia of Americana (1974), American Corporation, New York, jld.14, hlm 616.

[4] Beliau juga dikenali dengan nama Jawna Khan dan Ulugh Khan. Merupakan putera kepada Sultan Ghiyath al-Din Tughluq (kerajaan Tughluq di India).

[5] Kini dikenali sebagai Kepulauan Maldives.

[6] Sri Langka dan kini dikenali sebagai Ceylon.

[7] Bangladesh.

[8] Kira-kira 25km di timur laut Dhaka.

[9] Terletak di persisiran pantai Burma.

[10] Pulau Sumatera di Republik Indonesia.

[11] Mul Jawah ialah Semenanjung Tanah Melayu. Lihat Rihlah Ibn Battutah,jld 2. Hlm 705-709.

[12] Merupakan sebuah Bandar di Pantai Timur Semenanjung Malaysia, dekat dengan negeri Kelantan.

[13] Ibid, hlm 711-713.

Pengembaraan Ibn Battutah (Part 1)

 

Ibn Battutah atau nama sebenarnya Abu Abdullah Muhammad Ibn Abdullah al-Lawati al-Tanji Ibn Battutah tercatat dalam lipatan sejarah sebagai seorang tokoh pengembaraan yang paling jauh perjalanannya sepanjang abad pertengahan. Lantaran ini, beliau turut digelar sebagai “Raja Pengembara Islam”  atau “Raja Segala Pengembara”.  Ibn Battutah yang bermazhab Maliki menghabiskan masa lebih suku abad; iaitu lebih kurang 29 tahun (bermula pada tahun 725H/1325M dan berakhir pada 754H/1354M) mengembara dan menjelajah dunia.  Dalam buku berjodol Hundred Great Muslims (1971),Ferozono Ltd., Jarachi, hlm 704,  Jamil Ahmad mengatakan pelayaran Ibn Battutah melebihi 72,000 batu atau 120,000 kilometer. Tokoh ini pernah dituduh sebagai pembohong oleh sesetengah masyarakat generasi yang hidup selepasnya setelah mendengar cerita-cerita pelik beliau. Tuduhan itu timbul  kerana alat perhubungan dan pengangkutan pada ketika itu hanyalah bergantung kepada kuda, unta, baghal, kaldai dan seumpamanya sahaja. Manakala di lautan pula yang ada hanyalah perahu dan kapal kecil. Dalam pada itu, perjalanan dan pelayaran sering diganggu oleh perompak atau lanun dan tiada pula peta-peta perjalanan yang tepat serta kompas sebagai panduan perjalanan. Justeru bagi mereka, amat mustahil sekali bagi Ibn Battutah untuk mengharungi segala apa yang didakwa oleh beliau itu.

Golongan orientalis mengakui tidak ada pengembara pada abad pertengahan sama ada dari dunia Barat ataupu  timur  yang mampu menyaingi rekod perjalanan Ibn Battutah meskipun mereka telah cuba mengutarakan tokoh pengembara yang berasal dari Itali, Marco Polo sebagai pencabar utama Ibn Battutah. Namun mereka terpaksa akur bahawa Ibn Battutah merupakan pengembara ulung pada abad pertengahan berasaskan catatan sejaran yang membuktikan Ibn Battutah telah mengembara ¾ kali ganda melebihi Marco Polo[1].   

http://en.wikipedia.org/wiki/Ibn_Battutah

Kitab Rihlah Ibn Battutah adalah bukti pengembaraan tokoh ini dan juga merupakan maklumat bagi generasi selepasnya untuk mengetahui tentang kehidupan beliau dan masyarakat yang mendiami dunia sebelah timur pada abad pertengahan. Semasa penaklukan Perancis ke atas Algeria pada tahun 1253H/1837M, mereka menamakan  manuskrip Ibn Battutah  yang ditulis tangan oleh Ibn Juzay al-Kalbi sebagai Rihlah Ibn Battutah[2].  Tokoh pengembaraan ini dilahirkan pada 17 rejab 703H. bersamaan 1304M di Bandar Tanjah ( di Selat Gilbraltar, di tepi pantai al-Maghribi) dan mendapat pendidikan awal di situ. Berasal daripada kalangan keluarga yang mementingkan ilmu pengetahuan. Malah beliau sentiasa menimba ilmu dan pengalaman sepanjang perjalanannya.  Hari khamis 2 rejab 725H merupakan hari penting dalam hidup Ibn Battutah dan sejarah abad pertengahan. Ini kerana pada hari itulah beliau memulakan pengembaraannya. Ibn Battutah bercerita dalam catitannya;

“Saya meninggalkan Bandar kelahiran saya pada hari khamis 2 rejab 725H dengan hasrat menunaikan haji di Baitullah al-Haram dan menziarahi makam Rasulullah s.a.w. Saya keluar bersendirian tidak ditemani oleh sesiapa dan saya tidak menjumpai kafilah untuk ditumpangi. Atas desakan hati dan keinginan yang kuat untuk menziarahi tempat suci tersebut, saya memberanikan diri meninggalkan orang-orang yang disayangi, lelaki dan perempuan. Saya meninggalkan kediaman saya seperti burung meninggalkan sarangnya. Ibubapa saya pada masa itu masih hidup dan saya merasa amat berat untuk meninggalkan mereka. Perpisahan itu menyebabkan kami berduka cita. Umur saya pada masa itu ialah 22 tahun”[3]

Secara umum, pengembaraan beliau dibahagikan kepada tiga episode. Episode pertama; pengembaraannya mengambil masa selama 25 tahun. Ia bermula apabila Ibn Battutah keluar dari Bandar Tanjah pada tahun 725H menuju ke Kota Mekah dengan tujuan menunaikan rukun Islam yang kelima dan berakhir setelah beliau kembali ke al-Maghribi pada tahun 750H/1349M. Pada masa itu, al-Maghribi diperintah oleh Sultan Abu Inan Faris. Dalam pengembaraan itu, beliau telah merentasi Afrika Utara sehinggalah ke negeri China.

Episode kedua pula bermula tidak lama selepas Ibn Battutah kembali ke tanahairnya. Beliau yang bersedih kerana tidak sempat bertemu dengan ibunya telah mengambil keputusan untuk menziarahi beberapa buah Bandar iaitu pada tahun 752H/1351M. Adapun episode ketiga pula bermula apabila beliau terpaksa mengembara sebagai Utusan Sultan Abu Inan Faris kepada pemerintah Sudan. Pengembaraan kali ini bermula dari Bandar Sijilmasah pada 15 Muharram  753H/1352M dan kembali semula ke Bandar Fas pada bulan Zulhijjah 754H/1353M. Dengan kepulangan ini, tamatlah episode pengembaraan Ibn Battutah sepertimana yang diceritakan semula oleh Ibn Juzay al-Kalbi dan diabadikan dalam Kitab Rihlah Ibn Battutah.


[1] Ibn Battutah: al-Sufi al-Rahhalah dalam Urwat al-Wuthqa, hlm 33.

[2] Ibn Juzay al-Kalbi salah seorang ulama’ berkaliber  yang juga setiausaha Sultan Abu Inan al-Marini, pemerintah Maghribi. Sultan Abu Inan inilah yang menyuruh Ibn Juzay menyalin semula rencana kisah perjalanan Ibn Battutah.  

[3] Ibn Juzay al-Kalbi, Rihlah Ibn Battutah, jld, 1, hlm 30.

Antara Petikan Ucapan Dato’ Mohd. Asri semasa PAS berada dalam Barisan Nasional.

 

Tan Seri Dato' Mohd.Asri dan Puan Seri Datin Sakinah

Gambar Kenangan Tan Seri Dato' Mohd.Asri dan Puan Seri Datin Sakinah

Semua petikan ucapan ini merupakan fakta sejarah yang wajar diketahui oleh golongan muda masa kini yang mendakwa diri mereka sebagai pejuang Islam.

Dato` Mohd.Asri dengan lantang menegaskan dalam ucapan dasar beliau pada Mesyuarat Agung Tahunan PAS kali ke-22[1] Sudah tiba waktunya suatu perubahan radikal dalam system politik dan perundangan yang mengarahkan kepada seruan para pemimpin kita untuk memberi tempat yang asal kepada undang-undang Islam[2].

 Dalam ucapan dasar itu juga beliau menyatakan “Perkenalkanlah apa yang bernama Islam itu dalam segenap lapangan dari segi aqidah, syariat, politik, ketatanegaraan, ekonomi, pelajaran, pendidikan dan sosialnya. Bagi warganegara yang bukan muslim harus agaknya merasa keberatan untuk menerimanya dari segi aqidah keimanannya tetapi mereka tentu tidak akan merasa keberatan menerimanya di bidang kemasyarakatan dan tatacara hidupnya kerana way of life yang digariskan oleh Islam itu objektif, sesuai dengan fitrah manusia[3] Kelantangan itu menggambarkan kesungguhan beliau  dalam memperjuangkan kedaulatan Islam dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia. 

Peluang keemasan berada dalam Barisan Nasional tidak dipersia-siakan oleh Dato’ Mohd.Asri. Ketegasan beliau dalam sektor dakwah Islamiyyah melalui ideologi politik kepartian PAS semakin menyerlah.  Dalam ucapannya, Dato’ Mohd.Asri mengatakan ”Jika kita semata-mata bergantung kepada nasionalisme, ia dengan mudah akan lebur dengan kedatangan ribut kecil. Nasionalisme pada hakikatnya bukan suatu ideology, jauhlah sekali sebagai satu aqidah. Ia juga bukan syariat, bukan way of life. Nasionalisme adalah merupakan perasaan yang lazim dimiliki oleh mana-mana bangsa dan kaum jua[4]

 

 

 


[1] Mesyuarat Agung PAS Tahunan ini diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada 5hb-6hb.Ogos 1976.

[2] Teks Ucapan Dasar Mohd.Asri Hj Muda dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS ke-22 pada 5hb.dan 6hb.Ogos 1976 bertajuk “Sikap Kita Sekarang”, hlm 14-15.

[3] Ibid, hlm 10.

[4] Asri bidas pemimpin yang masih tegakkan nasionalisme Melayu, Utusan Malaysia, 21hb.Jun 1976. Beliau juga menyelar sikap sesetengah pemimpin yang masih menegakkan nasionalisme Melayu sebagai landasan perjuangannya meskipun negara ini telah mencapai kemerdekaan 19 tahun yang lalu dalam ucapan beliau semasa merasmikan Mesyuarat Agung Pertama PAS Cawangan Petaling Jaya pada 20hb.Jun 1976.

Isu PAS Gadai Tanah rekaan UMNO

 

Gambar Kenangan Dato' Mohd.Asri bersama Prof.Hamka (bersongkok)

Gambar Kenangan Dato' Mohd.Asri bersama Prof.Hamka (bersongkok)

Untuk posting kali ini, saya kemukakan jawaban oleh Yang diPertua Agung PAS merangkap bekas Menteri Besar Kelantan dalam usaha beliau menangkis serangan propaganda jahat  UMNO terhadap PAS. Sejak tahun 1964 lagi isu ini dicanang oleh UMNO bagi menjatuhkan kerajaan PAS tetapi tidak berjaya kerana rakyat tidak mempercayai dan tidak termakan fitnah ini.  Namun selepas Dato’ Muhammad Nasir yang diberikan undi tidak percaya oleh seramai 20 orang ADUN PAS pada 15hb.Oktober 1977 dalam Sidang DUN Kelantan kerana tidak patuh kepada arahan parti untuk meletakkan jawatan Menteri Besar yang disandang, beliau kembali menyemarakkan semula fitnah ini . Rakyat (termasuk beberapa orang ahli PAS) percaya dan  termakan fitnah ini lantaran diri beliau yang dianggap sebagai Dato’ Jujur. Akibatnya, PAS tewas dengan teruk sekali setelah parti yang ditubuh oleh Dato’ Muhammad Nasir (BERJASA)  berganding tenaga dengan Barisan Nasional untuk merampas kembali negeri Kelantan melalui pilihanraya umum DUN Kelantan  pada 11hb.Mac 1978.  

Berkaitan tuduhan PAS gadai tanah itu, Dato’ Mohd.Asri bin Haji Muda membuat ulasan sebagaimana berikut;

Menjelang pilihanraya 1964,  politik Malaysia telah dihebohkan dengan cerita kononnya Kerajaan PAS Kelantan menggadai tanah hutan negeri seluas 350 ribu ekar kepada sebuah syarikat Singapura yang bernama Timber & Mine Industry Corporation dan tidak mengenakan bayaran walau satu sen pun dan kononnya Kerajaan Kelantan tidak memperoleh cukai dalam masa penggadaian itu. Cerita ini disebar kepada umum melalui berbagai-bagai cara termasuk mengguna kapal terbang sewaan khas untuk menabur surat-surat sebaran dengan berbagai-bagai jodol seperti “Rahsia PAS bocor” “Pengkhianatan PAS kepada orang-orang Kelantan” dan “Harapkan pagar, pagar makan padi[1].

 Pastilah fitnah seperti itu terpaksa dilayan kerana sebaran yang meluas seumpama itu jika tidak diberikan jawaban yang betul dan tepat boleh menimbulkan kesan balas yang negatif. Syukurlah fitnah yang berat dan sebarannya yang begitu meluas itu akhirnya dapat diatasi. Penjelasan Kerajaan Kelantan dapat diterima baik oleh rakyat. Lantaran ini, dalam pilihanraya umum 1964 PAS masih mendapat kejayaan yang membanggakan”.

 “Masalah besar  yang dihadapi oleh Kerajaan PAS Kelantan pada masa itu ialah; apakah ikhtiar yang boleh dilakukan bagi mendapatkan wang bagi membiayai projek-projek  yang hendak dilaksanakan seperti pembinaan sebuah jambatan di Kota Bharu yang boleh menggabungkan dua kawasan yang dipisahkan oleh Sungai Kelantan, pembinaan Stadium Sultan Muhammad IV, projek  membahagikan  tanah pertanian untuk rakyat, pengemaskinian gaji  serta kedudukan guru-guru agama, muballigh, pembesaran  Pusat Pengajian Tinggi Islam Nilam Puri dan cadangan menghantar pelajar-pelajar lepasan Nilam Puri menyambung pelajaran ke luar negeri”.

 Kerajaan Negeri Kelantan telah menangkis tuduhan  tersebut dengan memberi penerangan yang jelas tentang hakikat sebenar berkenaan masalah tersebut. Seperti yang diketahui umum, rancangan pembalakan di seluruh negara belum lagi meluas. Kebetulan pada ketika itu rancangan pembukaan tanah di bawah Kerajaan Pusat dilakukan sedemikian rupa hinggakan kayu-kayan yang bernilai di kawasan pembukaan tanah itu ditebas, ditebang dan dibakar sebelum diserahkan kepada peneroka. Padahal kayu-kayan itu merupakan sumber hasil negeri yang besar. Dengan mengeluarkan terlebih dahulu kayu-kayan dan hasil hutan yang berharga, maka Kerajaan Negeri Kelantan telah menyelamatkan sebahagian besar dari sumber hasil negerinya”.

 Perjanjian antara Kerajaan Kelantan dengan syarikat Timber & Mine itu pada prinsipnya telah menonjolkan satu dasar yang begitu praktikal yang akhirnya secara tidak langsung menjadi suatu kaedah menyeluruh di kawasan projek yang hendak dimajukan di bawah rancangan pembukaan tanah atas nama apa sahaja. Kawasan itu hendaklah terlebih dahulu dikeluarkan semua kayu-kayan dan hasil hutan yang berharga. Lebih-lebih lagi apabila rancangan pembukaan  tanah semakin rancak dan meluas dengan pesatnya dan telah dimasuk kira sebagai salah satu Projek Pembangunan Luar Bandar”.

 Walau bagaimanapun, persetujuan yang terkandung dalam perjanjian itu tidak dapat dilaksanakan sebagaimana semestinya dalam erti kata untuk memenuhi semua syarat yang terkandung dalam perjanjian tersebut. Ada beberapa sebab yang mungkin menjadi halangan termasuk kekurangan infrastruktur. Walaupun demikian Kerajaan Negeri telah mendapat sejumlah besar bayaran “royalty” di samping pembukaan tanah secara besar-besaran dalam kawasan berkenaan di bawah kelolaan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Kelantan.

 Walaubagaimanapun demi untuk mencari keadilan, maka Kerajaan Pusat telah mengemukakan perkara perjanjian  tersebut ke muka pengadilan; iaitu dibawa ke Mahkamah Persekutuan dengan suatu tuduhan Kerajaan Negeri Kelantan telah menggadai sejumlah kawasan yang luas kepada sebuah syarikat asing. Langkah yang membawa perkara itu ke mahkamah telah dijadikan bahan propaganda dan disebar dengan luasnya menjelang pilihan raya tahun 1964”.

 Mahkamah Tinggi Persekutuan telah membuat keputusan bahawa perjanjian yang dibuat itu bukanlah satu penggadaian, iaitu tanah tersebut bukan digadai, malah merupakan perjanjian biasa untuk membersihkan kawasan hutan bagi memajukan rancangan pembukaan tanah. Itulah maka mahkamah telah memberikan pandangan tentang adanya syarat-syarat dalam perjanjian yang membolehkan Kerajaan Negeri membatalkan perjanjian sekiranya pihak syarikat melanggarnya”[2].

 Pada peringkat awal, syarikat tersebut telah mengendalikan perusahaan mereka dengan baik. Akan tetapi menjelang beberapa waktu lamanya, syarikat itu telah menghadapi beberapa masalah apabila melanggar beberapa peruntukan penting dalam perjanjian tersebut. Pihak Kerajaan Negeri telah memberikan beberapa peringatan agar syarikat tersebut menghormati syarat-syarat perjanjian. Kerajaan Negeri kemudiannya menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk mengkaji perjanjian tersebut dengan tujuan jika perlanggaran syarat oleh syarikat itu termaklum begitu serius, maka kajian itu juga  akan mengambil apa jua langkah munasabah untuk membatalkannya”.

 Jawatankuasa tersebut mengadakan perbincangan beberapa kali dan akhirnya telah mencapai persetujuan untuk mengeluarkan notis bagi membatalkan perjanjian tersebut. Kejadian itu berlaku  ketika  kerajaan masih lagi berada di bawah pimpinan Datuk Haji Ishak Lotfi[3]. Sungguhpun demikian, langkah itu tidak sempat dilaksanakan sehingga pilihanraya 1974 dan Kerajaan Kelantan bertukar pimpinan kepada Datuk Haji Muhammad bin Nasir[4].”

Usaha untuk menyelesaikan persoalan itu diteruskan semula oleh Kerajaan Negeri di bawah Kerajaan Negeri Kelantan di bawah pimpinan Datuk Haji Muhammad bin Nasir. Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Kelantan berdasarkan laporan oleh jawatankuasa, bahawa Datuk Haji Ishak Lutfi bersetuju membatalkan perjanjian itu serta menarik balik kawasan tersebut tanpa sebarang ganti rugi. Pada masa yang sama Kerajaan Kelantan telah meluluskan kawasan seluas 30,000 ekar daripada kawasan berkenaan untuk diserahkan kepada Felda  supaya kawasan itu dapat dimajukan. Langkah ini mendapat sokongan daripada semua pihak baik daripada kalangan ahli PAS mahupun daripada kalangan luar parti.

 Walaubagaimanapun sebelum keputusan kerajaan itu dilaksanakan, Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri telah meminta agar Kerajaan Kelantan mengadakan rundingan untuk membayar sagu hati kepada syarikat tersebut bagi mengelakkan  perkara itu berlanjutan di mahkamah. Mengikut apa yang diberitahu bahawa Exco Kerajaan Kelantan pada peringkat awalnya tidak bersetuju berbuat demikian. Akan tetapi demi menjaga hubungan baik antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan, maka akhirnya Kerajaan Negeri   menerima baik saranan tersebut. Sesudah beberapa kali mengadakan rundingan, akhirnya kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya. Pihak Syarikat Timber & Mine telah bersetuju menerima wang sagu hati atau imbuhan sebanyak 3.5 juta ringgit dan wang tersebut  dipinjamkan Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri. Masalah ini boleh dianggap telah selesai tetapi segolongan kecil daripada kalangan yang bertentangan tidak habis-habis menabur fitnah untuk melemahkan Kerajaan Negeri. Namun demikian nampaknya tidak berkesan.”[5]

 

 


[1] Memoir Politik Asri, di bawah tajuk 14.Tuduhan Penyelewengan Kerajaan Negeri, hlm 76-82.

[2] Perkara tersebut terkandung dalam Malayan Law Journal, 1986. vol 2, hlm 129.

[3] Semasa dalam era Kerajaan Campuran PAS dibawah Perikatan tahun 1973-1974.

[4] Kerajaan Barisan Nasional adalah hasil pilihan raya umum tahun 1974 di mana penulis sendiri (Hj.Salahuddin Abdullah)sempat bertugas di bawah pimpinan Dato’ Haji Ishak  Lufti sebagai salah seorang ahli  Exco sehingga pertengahan 1974 dan di bawah Datuk Haji Muhammad bin Nasir juga sebagai seorang Ahli Exco mulai 1974 hingga awal 1978.

 [5] Ulasan Dato` Asri tentang fitnah yang ditaburkan oleh pihak lawan berkaitan isu PAS gadai tanah dan ia disiarkan dalam Malaysian Law Journal 1968. Isu PAS gadai tanah dimainkan oleh Pihak Perikatan dalam pilihanraya tahun 1964 dan masih terus dicanang sepanjang kempen pilihanraya tahun 1969, 1974 dan  juga pilihanraya 1978.


Peristiwa Membakar Jambatan di Kampung Baruh Piyar

Pak Chu Kob

Pak Chu Kob

Lakaran sejarah ini amat penting disiarkan sebagai peringatan kepada generasi para pejuang Islam masa kini. Lantaran ini, penulis menyiarkan kisah sepenuhnya berdasarkan pengalaman Wan Yaakub bin Wan Hussin[1], salah seorang aktivis PAS yang bertugas sepanjang tempoh pilihanraya tahun 1969 di kawasan Rantau Panjang[2]. Wan Yaakub atau lebih dikenali dengan jolokan Pak Chu Kob  bertugas di Gual Periok (di Bakat) di bawah seliaan Tok Penghulu Kob sebagai driver untuk musim pilihanraya.[3]Dalam pilihanraya 1969, PAS khususnya di kawasan Rantau Panjang terpaksa berdepan dengan Pemuda Tahan lasak[4] yang terdiri daripada golongan samseng tempatan dan juga dari sebelah Siam.  Oleh kerana Encik Ahmad Yatim[5] masih lagi berada dalam tahanan ISA kerana dituduh terlibat dengan gerakan subversif komunis, maka Ustaz Mohd.Nawawi bin Ahmad dipilih bertanding menggantikan beliau.

 

Tengku Jaafar Tengku Ahmad

Tengku Jaafar Tengku Ahmad

Pernah satu ketika Pak Chu Kob  yang ditemani oleh Ku Pa[6] dibaling dengan sebelah kasut hingga mengakibatkan cermin LandRover tersebut pecah dan kasut itu tertinggal di dalamnya semasa mereka berdua melalui satu kawasan berhampiran jambatan no.3 di Kampung Baruh Piyar. Malah sehari sebelum hari pembuangan undi, LandRover yang dipandunya dikejar oleh Junoh Sawmill[7] tetapi tidak berjaya. Ekoran ini Junoh bertindak menunggunya di jambatan no.3. Sesampai di kepala jambatan no.3, Junoh terus meluru ke arahnya lalu memegang bahu Pak Chu Kob dan berkata “Esok mu berhenti bawa kereta. Kalau mu bawa kereta juga aku bunuh mu!”. Kebetulan yang duduk disebelah Junoh Sawmill ialah sepupu Pak Chu Kob, Pak Cik Will Rantau Panjang merasa malu dengan tindakan Junoh Sawmill. “Mu jangan duk buat gitu. Adik aku tuh!” tegas Pak Cik Will. “Adik tak adik tak kira dalam politik nih” jawab Junoh. “Mu nak kerja…kerja dengan aku” Kata Junoh Sawmill lagi kepada Pak Chu Kob. “ Mu beri gaji lebih sikit tak pe lah……beri lebih daripada orang PAS beri…. aku bawalah kereta Perikatan” jelas Pak Chu Kob. “Ohh nak banyak!!!….aku beri amaran esok mu jangan bawa kereta lagi”. Kemudian Junoh terus beredar.  Pak Chu sedikit pun tidak gentar dengan ugutan Junoh Sawmill. Beliau terus berjumpa dengan ketuanya, Tok Penghulu Kob untuk membincangkan soal ini. Penghulu Kob mencadangkan agar Pak Chu Kob tidak pulang ke rumahnya malam itu. Keesokan pagi hari mengundi (10hb.Mei1969), Pak Chu Kob ditugaskan menghantar beberapa orang untuk berkawal di peti pos di Kampung Kubang Kuar.

 

Kemudian dengan ditemani oleh dua orang tokoh gedebe dalam PAS kawasan Rantau Panjang, Tok Daud Tuli dan Che Lah Gual Melintang, mereka menuju ke jambatan no.3 untuk mengangkut para pengundi ke tempat membuang undi di Gual Periok. Masing-masing sudah berjanji untuk sehidup semati jika berlaku apa-apa yang tidak diingini pada hari itu. Dengan berbekalkan beberapa tin susu yang diikat dan disimpul dalam kain batik lepas sebagai senjata, Tok Daud Tuli bertegas” Kalau demo mati hari ini, kita pun akan turut mati. Kita tak akan lari”. Jawab Pak Chu Kob “Tak po lah kalau begitu. Kita mati bersama”.Sesampai di Bakat, Tok Penghulu Ismail yang berada di tengah-tengah jalan berteriak “Jangan pergi! Jangan pergi!”. Pak Chu Kob tanya “Kenapa tak boleh pergi?”. “Kalau pergi matilah mu. Ramai orang duk tunggu” jelas Tok Penghulu Ismail. “Mati ni kerja Tuhan belako” tegas Pak Chu Kob. Tanpa mempedulikan nasihat Tok Penghulu Ismail, beliau tetap meneruskan tugasnya. Sesampai di jambatan no. 3, para pengundi diarah turun cepat-cepat dan enjin LandRover tidak dimatikan untuk beliau segera berpatah balik ke Gual Periok.  Kemudian Pak Chu Kob mengambil orang di Bukit Tandak untuk mengundi di Gual Periok. Untuk tugasan ini, beliau meminta sebuah lori. Dalam pada itu sudah disediakan 2 buah LandRover. Pada awalnya di jambatan no. 3 di Kampung Baruh Piyar itu ada sepasukan askar yang berkawal. Namun kemudian semua askar tersebut diarah agar tidak berada berhampiran jambatan itu.  Apabila sampai di cabang Kubang Kuar, orang-orang di situ memberitahu “Tak usah pergilah….jambatan dah dibakar”.

Pembakaran yang dilakukan pada waktu tengahari itu diketuai oleh Junoh Sawmill sendiri bersama seramai 13-14 orang pemuda. Dengan melilit kain merah di kepala masing-masing, mereka yang berada di seberang jambatan menggunakan tiub getah motorsikal untuk membakar jambatan tersebut. Ekoran ini, mereka terpaksa berpatah balik dan berusaha melalui jalan Batu Hampar untuk membuang undi di Gual Periok. Jalan pada masa itu tidak bertar dan mengakibatkan lori yang mengangkut seramai 130 orang pengundi PAS terkandas dalam lumpur dan mereka semua tidak sempat sampai ke tempat pembuangan undi dalam tempoh masa yang ditetapkan. Ketika sampai di Batu Hampar, hari sudah semakin gelap. Semasa sampai di Lati, waktu solat maghrib telah masuk. Mereka semua menunai solat maghrib dan makan nasi di Lati. Selepas itu mereka semua menuju  ke rumah YB Haji Harun Lemal di Lati untuk memberitahu tentang peristiwa ini. Inilah antara tindakan terburuk Pemuda Tahan Lasak dalam usaha Perikatan untuk memenangkan calon mereka, Hussien Ahmad[8].

Keputusan pilihanraya 1969 N.19 Rantau Panjang

Hussien Ahmad                  (Perikatan)    2,914 undi

Mohd.Nawawi Ahmad       (PAS)             2,095 undi

Majoriti                                                    819 undi.

Jumlah pemilih berdaftar                          8,522

Jumlah keluar mengundi                          5,235

Peratusan mengundi                                 61.20

Undi rosak                                                    226

 


 

[1] Wan Yaakub mula bergerak aktif dalam PAS pada tahun 1964 dengan memandu sebuah LandRover yang diamanahkan oleh YB Ahmad Yatim,  Wakil Rakyat PAS kawasan Rantau Panjang pada ketika itu. YB Ahmad Yatim ialah bapa kepada YB.Haji Hanifah, ADUN PAS  Pengkalan Pasir sekarang. 

[2] Pada masa itu tempoh penamaan calon mengambil masa selama sebulan.

[3] Driver musim pilihanraya bertanggungjawab mengangkut para pengundi pada hari mengundi dan  penyelengaraan segala peralatan untuk ceramah umum.

[4] Menteri Penerangan Malaysia, Datuk Senu AbdulRahman merupakan Ketua Pemuda Tahan Lasak.

[5] Beliau dibebaskan pada akhir tahun 1969 selepas pilihanraya dengan bersyarat

[6]Ku Pa atau Tengku Jaafar Tengku Ahmad seorang aktivis parti yang sanggup menggadaikan nyawanya demi perjuangan PAS. 

[7] Aktivis Perikatan.

[8] Hussien Ahmad juga terkenal dengan jolokan Hussien Serama.

Tan Seri Hussein Serama

Tan Seri Hussein Serama

 

 

 

Dr.Burhanuddin al-Helmy: Reformis muslim berjiwa kental

 

Dr.Burhanuddin al-Helmey

Dr.Burhanuddin al-Helmy

 

Burhanuddin al-Helmy bin Hj.Mohammad Nor dilahirkan pada 29 November 1911 di kampung Changkat Tualang, mukim Kota Bharu, Taiping, Perak.  Beliau merupakan anak sulung daripada enam orang adik beradik kepada pasangan berketurunan darah campur Minangkabau-Arab. Bapanya, Haji Mohammad Nor adalah perantau dari Batu Sangkar, daerah Tanah Datar, Minangkabau, Sumatera. Pada tahun 1908, Haji Mohammad Nor datang ke Tanah Melayu selepas pulang dari Mekah setelah berada di sana beberapa tahun untuk mempelajari selok belok pengajian agama disamping menunaikan fardhu haji. Selain ingin menunaikan fardhu haji dan mempelajari hal-ehwal agama di Mekah, sebenarnnya pemergian Haji Mohammad Nor ke Mekah bertujuan untuk mengelak daripada tekanan pihak penjajah Belanda yang mengenakan cukai kepala dan mewujudkan buruh paksa  yang terdiri daripada para pemuda tempatan. Lantaran itu, sekembalinya dari Mekah dalam usia 18 tahun, beliau terus menuju dan menetap di Changkat Tualang, Perak.  Ibu Burhanuddin pula berketurunan Arab yang berhijrah ke Perak dari Melaka kerana mencari rezeki lebih bersama keluarga. Akhirnya Sharifah Zahrah binti Habib Osman bertemu jodoh dengan Haji Mohammad Nor di Changkat Tualang dan perkahwinan mereka direstui oleh ibubapa kedua belah pihak.

Di peringkat awal, Burhanuddin mendapat pendidikan di beberapa buah sekolah Melayu yang terletak di Behrang Ulu, Bakap, Kota Bharu, di Perak.  Beliau mendapat pendidikan agama daripada bapanya sendiri yang pernah menetap dan berguru di Mekah suatu ketika dulu. Burhanuddin meminati bahasa-bahasa lain dan pernah mempelajari bahasa Cina daripada anak seorang pekedai Cina di kampungnya dan juga bahasa Tamil daripada seorang penoreh getah di kebun getah bapanya pada masa lapang. Ketekunan beliau akhirnya membolehkan dia membaca dan bertutur dengan bahasa-bahasa tersebut untuk perbualan harian. Tokoh ini amat gemar membaca dan pernah membaca kitab-kitab ayahnya meskipun pada masa itu beliau masih belum dapat memahami dengan baik isikandungannya. Ketika membaca, tumpuannya begitu khusyuk sekali. Dia juga merupakan seorang anak yang memiliki sifat ingin tahu yang tinggi terutama sekali dalam soal ketuhanan dan ayahnya lah menjadi sasaran utama untuk beliau bertanya berkaitan dengan soal ketuhanan.

 

Semasa menduduki darjah lima, minatnya dalam bidang penulisan karangan mulai menyerlah. Dalam merealisasikan minatnya, beliau berusaha membuat sebuah majallah dengan menggunakan buku tulis sekolah. Tulisan jawi yang digunakan sebagai tulisan rasmi di sekolah-sekolah Melayu pada masa itu dapat dikuasainya dengan begitu amat baik sekali. Semasa dalam usia remaja, Burhanuddin pernah dihantar oleh bapanya untuk belajar pondok di kampung asal bapanya, Sungai Jambu selama 6 bulan. Kemudian dia berpindah ke Pondok Pulau Pisang di Jitra, Kedah untuk belajar dan hanya kekal disana selama 2 bulan sahaja. Sebenarnya pusat pengajian  pondok yang mengamal system menadah dan menghafal kitab tidak digemari oleh Burhanuddin kerana baginya sistem ini tidak banyak membuka peluang untuk murid dan guru bersoal jawab. Lalu ayahnya mengizinkan beliau belajar di Madrasah al-Mahsyor Pulau Pinang (1927-1933). Madrasah ini dikendali oleh Kaum Muda. Lantaran kecemerlangan pelajarannya, Burhanuddin terpilih sebagai salah seorang yang layak menerima biasiswa kumpulan saudagar India Islam di Pulau Pinang untuk belayar ke India pada tahun 1934. Di India, beliau mendalami ilmu falsafah di University Alirgah, New Delhi dan mendapat ijazah pertama dalam bidang falsafah dan sastera di Universiti Aligarh. Selain itu, beliau juga terdedah kepada ajaran tasawwuf Naqsyabandiah dan ideologi politik Mahatma Gandhi. Pada tahun 1936 semasa kembali ke tanahair, beliau menuju ke Singapura dan bertemu Dr.Rajah untuk mendalami bidang homeopati. Semasa berada di luar negara khususnya di Timur tengah, Burhanuddin berusaha memahami perjuangan Kaum Muda yang mula menular di Tanah Melayu sekitar awal abad ke-20.

 

 

Sebagai seorang yang berfahaman Kaum Muda di peringkat antarabangsa yang berpelajaran tinggi tentulah agak sukar bagi beliau menyesuaikan diri dengan amalan-amalan agama Islam di kampung-kampung yang pada keseluruhannya bersifat lama secara turun temurun. Pemahaman tentang al-Quran dan hadis juga tidak dilakukan dengan betul. Beliau pernah menegur bilal masjid, Haji Haron (bapa saudaranya) yang masih bercakap menegur orang ramai supaya diam sedangkan imam telah naik ke atas mimbar. Sepatutnya bilal juga kena turut diam seperti orang lain juga. Teguran itu memalukan Haji Haron. Ekoran ini, satu perjumpaan diadakan bagi menjernihkan kekeruhan dan mencari penyelesaian. Keadaan menjadi bertambah tegang apabila Burhanuddin mencabar  berkali-kali Haji Harun untuk mengemukakan kitab-kitab yang dikatakan mengandungi dalil-dalil yang menyokong tindakan Haji Harun. Mulai detik itu, beliau mula dipandang serong oleh sebahagian penduduk yang sudah biasa dengan pegangan Kaum Tua. Hal ini diketahui oleh Mufti Perak, Haji Mohd.Zain yang kemudiannya memanggil Burhanuddin ke Kuala Kangsar dan menasihatinya agar keluar dari kampungnya demi mengelak perbalahan terus berterusan. Hal ini juga sampai ke pengetahuan Sultan Perak, Sultan Iskandar yang juga tidak bersetuju dengan pegangan Kaum Muda.  Akhirnya Burhanuddin membawa diri ke Singapura yang mengamalkan dasar terbuka. Lantaran dasar itu, Singapura merupakan syurga kepada golongan cerdik pandai Melayu yang berkumpul dan menerbitkan majallah serta akhbar-akhbar dalam pelbagai bahasa. Disebabkan mampu berbahasa Arab, Burhanuddin diterima mengajar bahasa tersebut di Madrasah al-Junid. Di Singapura juga beliau berusaha menerbitkan sebuah majallah bertajuk Taman Bahagia. Namun selepas satu jam diterbitkan, beliau ditangkap oleh pihak British kerana menganggap isikandungan majallah itu tentang masalah rakyat Palestin yang dicabut hak mereka oleh British dan Yahudi sebagai satu dakyah untuk memburukkan pihak British. Beliau didenda sebanyak $1,000. Burhanuddin diikat jamin oleh salah seorang ahli keluarga al-Sagof setelah didesak oleh seorang pemimpin pembebasan Palestin yang datang ke Singapura.  Dengan ikat jamin tersebut, beliau hanya dilokap selama satu malam sahaja.

 

Selepas dibebaskan, kehidupan beliau sebagai guru bahasa Arab di Madrasah al-Junid diteruskan kembali disamping membuka klinik homeopati bersama Dr.Rajah. Semangat kental beliau untuk membela nasib orang-orang Melayu muslimin mendorong beliau terbabit dalam beberapa organisasi politik. Antaranya ialah Kesatuan Melayu Muda atau KMM (pada zaman penduduk Jepun), Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pada tahun 1946 dan akhir sekali PAS pada tahun 1956- 1959 dan terpilih sebagai Yang DiPertua Agong PAS ke-3 selepas kepimpinan Dr.Hj.Abbas Aziz yang menggantikan Hj.Ahmad Fuad. Penyertaannya dalam PAS merupakan kemuncak perjuangan beliau dalam mendaulatkan agama, bangsa dan tanahair. Malah pada tahun 1959-1964 beliau terpilih sebagai Ahli Parlimen kawasan Besut. Burhanuddin amat petah berpidato dan berhujjah sama ada di dalam Dewan Rakyat mahupun semasa menyampai ceramah umum untuk rakyat. Kritikan beliau yang tajam terhadap kerajaan pusat mengakibatkan dirinya difitnah sebagai seorang pemimpin yang pecah amanah dan didapati bersalah lalu didenda sebanyak rm 25,000 kerana menjalankan tugas sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Malay-German Shipping Company. Tuduhan ini mengurangkan kredibiliti beliau di mata rakyat. Malah akibat fitnah ini, sejajar dengan perlembagaan Malaysia bab 4, artikel 48(e), Dr.Burhanuddin tidak lagi layak menjadi Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.  (sila lihat Burhanuddin al-Helmy:Suatu Kemelut Politik oleh Ramlah Adam, terbitan DBP, hlm 225).

 

 

Pada tahun 1965, Dr.Burhanuddin ditangkap dan dikenakan tahanan ISA  selama hampir lima tahun kerana dituduh terlibat dalam usaha menubuhkan National Front  bagi membantu Indonesia  semasa Konfrontasi Malaysia-Indonesia. Semua tuduhan itu dimuatkan dalam Kertas Putih Kerajaan bertajuk “A Plot is Explosed”. Sepanjang penahanan, jiwanya tertekan. Penyakit lelahnya juga semakin teruk dan ditambah pula dengan penyakit batu karang. Akhirnya kerajaan Pusat membebaskan beliau tanpa syarat kerana kesihatannya semakin kritikal. Namun beliau tidak menandatangani surat pembebasan dirinya kerana beliau yakin beliau tidak bersalah dan tidak terlibat dalam pakatan dengan kerajaan Indonesia sepertimana yang dituduh terhadapnya. Sebulan selepas pembebasannya iaitu pada 10hb.Oktober 1969, reformis muslim ini kembali ke rahmatullah lantaran penyakit yang dideritainya semenjak berada dalam tahanan ISA.  Semoga Allah Taala mencucuri rahmat ke atas roh beliau…amin..

 

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.