Archive for the ‘Islamic Studies’ Category

Solat Hari Raya

Solat hari raya di halaman lapang hadapan masjid International University of Africa, Sudan

Solat raya aidil fitri dan aidil adha disyariatkan pada tahun pertama hijrah. Hukum kedua-duanya adalah sunah muakkadah di sisi jumhur ulama’ kecuali Imam Abu Hanifah dan Imam Ibn Taymiyyah yang berpendapat bahawa kedua-duanya adalah wajib dengan hujjah seperti mana yang telah ambo jelaskan sebelum ini.  Waktu yang paling afhdal ditunaikan solat hari raya ialah selepas terbit matahari dengan kira-kira 20 minit ataupun 30 minit. Namun tidak mengapa jika ia ditunaikan pada masa hampir gelincir matahari. Ada pendapat mengata mas ayang paling afdhal ialah bermulanya naik matahari dengan kadar tiga meter hinggalah ia gelincir. dalam satu riwayat daripada Ahmad bin Hasan al-Bina’, berkata “Rasulullah s.a.w  menunaikan solat aidil fitri bersama kami dan matahari pada ketika itu pada kadar dua batang lembing dan solat aidil adha dengan kadar tinggi matahari sebatang lembing (galah).  Menurut Ibn Qudamah; Sunat didahulukan solat aidil adha bagi meluangkan masa untuk ibadat sembelihan qurban dan dilewatkan solat aidil fitri bagi memberi  peluang waktu pengeluaran zakat fitrah.  Digalakkan (mustahab)  bagi kaum muslimin untuk bersiap sepertimana berikut sebelum menunaikan solat, iaitu;

1)Memperbanyakkan takbir dan  zikir bagi umat Islam yang berada di selain daripada dua tanah suci. Adapun di dua tanah suci Mekah dan Madinah disunatkan talbiyah.

2) Memakai pakaian yang terbaik, memakai wangian dan mandi sunat hari raya.

3) Makan (sarapan) sebelum keluar untuk solat aidil fitri dan melewatkan sarapan (makan selepas solat) bagi hari raya aidil adha.

4) Saling mengucapkan tahniah sesama  kaum muslimin.

5) Memperbanyakkan sedekah kepada golongan faqir miskin mengikut kadar kemampuan.

6) Saling menziarahi kaum kerabat dan sahabat handai.

7) Menuju solat ke masjid atau musalla (tempat lapang untuk solat) dengan berjalan kaki dan pulang dari solat dengan melalui jalan yang lain.

8) Digalakkan kaum wanita, anak dara yang sedang haid atau suci dan kanak-kanak untuk turut serta. Dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari dinyatakan golongan ini mesti berada di belakang saf terakhir sekurang-kurang bagi mereka yang berada dalam haid memadai dengan mendengar khutbah raya.

Disunatkan agar tidak dilaungkan azan, iqamah dan juga lafaz al-solatu jamiah.  Solat hari raya ditunaikan sebanyak dua rakaat. Menurut dalam beberapa riwayat hadis bahawa Rasulullah mengangkat takbir sebanyak 12 kali bagi solat hari raya, iaitu 7 kali dalam rakaat pertama dan 5 kali dalam rakaat kedua dan Rasulullah tidak mengerjakan sebarang solat sunat sebelum dan selepas solat hari raya. Bagi mazhab Hanafi; mereka mengangkat takbir tiga kali pada rakaat pertama selepas takbiratul ihram sebelum bacaan surah dan mengangkat takbir tiga kali juga pada rakaat kedua selepas bacaan surah.  Bagi Imam Syafie dan Imam Ahmad bin Hanbal, digalakkan diselangkan antara setiap dua takbir dengan zikir “subhanallah wa hamdulilllah wa la Ilaha illah Allahuakbar. Manakala Imam Abu Hanifah dan Imam Malik  bertakbir tanpa diselang antara takbir dengan zikir.

Digalakkan (mustahab) diam sejenak antara setiap dua takbir kemudian baru dimulakan bacaan surah al-Fatihah dan apa-apa surah daripada al-Quran. Apabila bangun untuk rakaat kedua; mengangkat takbir sebelum bacaan (sebanyak 5 kali takbir tidak termasuk takbir untuk qiyam) kemudian membaca surah al-Fatihah dan apa-apa surah daripada al-Quran. Digalakkan membaca pada rakaat pertama surah al-`A’laa dan pada rakaat kedua surah al-Ghasiyah.  bagi golongan Malikiyyah dan Hanabilah; perlu mengangkat takbir sebanyak 6 kali takbir. Bagi golongan mazhab Hanafi pula perlu bertakbir sebelum bacaan pada rakaat pertama sebanyak tiga kali takbir tidak termasuk takbiratul ihram. Apabila bangkit untuk rakaat kedua, di baca al-Fatihah dan apa-apa surah daripada al-Quran kemudian barulah mengangkat takbir sebanyak 3 kali  sebelum ruku’ dan kemudian barulah ruku’ bagi rakaat kedua.

Menurut jumhur ulama’ ; khutbah selepas solat dan mendengar khutbah adalah sunat. Digalakan diselitkan perihal zakat fitrah dalam khutbah solat aidil fitri dan diselitkan perihal sembelihan dalam khutbah solat aidil adha.  Namun Bagi Mazhab Hanafi dan Ibn Taymiyyah ia adalah wajib. Begitu juga hukum bertakbir pada kedua-dua hari raya adalah sunat bagi jumhur ulama’ kecuali mazhab hanafi yang mengatakan takbir pada hari raya adalah wajib berdali ayat 185 surah al-Baqarah bagi adil fitri dan ayat 203 surah al-Baqarah bagi aidil Adha .  Masa bertakbir bagi solat aidil fitri  ialah bermula dari masa keluar untuk solat hinggalah permulaan khutbah menurut pandangan Malikiyyah dan Hanabilah. Manakala  bagi selain daripada mereka mengatakan bermula pada malam hari raya, iaitu setelah sempurna penetapan tarikh hari raya sehinggalah masa menuju solat hari raya seterusnya hingga Imam naik ke mimbar untuk berkhutbah.

manakal masa bertakbir bagi solat aidil adha pula bermula pada fajar pagi hari Arafah dan berterusan sehingga hujung  solat  asar pada hari tasyiq yang terakhir. Hari tasyiq adalah merupakan tiga hari selepas hari raya aidil adha. Oleh itu,  ada sebanyak 23 solat fardhu ditakbirkan selepasnya. Menurut pandangan Malikiyyah , digalakkan bertakbir selepas solat zohor pada hari raya aidil adha dan berakhir pada  hari keempat hari (akhir hari Tasriq).

Lafaz takbir adalah sepertimana berikut;

الله أكبر ، الله أكبر لا إله إلا الله . الله أكبر ،الله أكبر ، ولله الحمد . الله أكبر كبيرا ، والحمد لله كثيرا . وسبحان الله بكرة وأصيلا . لا إله  إلا الله وحده . صدق وعده ونصر عبده وأعز جنده وهزم الأحزاب وحده . لا إله إلا الله ولا نعبد إلا الله مخلصين له الدين ولو كره الكافرون  .
– ويسن الصلاة على النبي وعلى أصحابه وأنصاره وأزواجه وذريته.

Disunatkan juga berselawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. Digalakkan menunaikan solat hari raya di tempat lapang diluar masjid kecuali di Makkah al-Mukarramah dan al-Madinah al-Munawwarah. Akhir sekali menurut al-Syafieyyah; Menunai solat hari raya di masjid adalah lebih afdhal jika ada keuzuran seperti lokasi tempat solat sempitm berlaku ribut, banjir dan hujan lebat ataupun terlalu sesak. Bagi mereka yang menunaikan solat hari raya di masjid, maka mengikut pandangan Syafieyyah sunat didahului dengan solat tahiyyatul masjid selepas masuk masjid dan sebelum duduk di dalamnya.

Zakat fitrah mengikut pandangan al-Syafieyyah

Bidang fiqh Islami adalah satu disiplin ilmu yang amat fleksible. Meskipun begitu, ini bukanlah bererti setiap permasalahan itu boleh dinyatakan secara sembrono atau secara membabi buta tanpa sebarang nas-nas (teks) yang kuat, kukuh lagi berauthoriti sebagai hujjah bagi menetapkan sesuatu hukum. Justeru, al-Imam al-Syafie yang pernah diiktiraf sebagai pengasas ilmu usul-fiqh juga berpendapat ; Sesuatu hukum itu bukan merupakan sesuatu yang jumud (non-fleksible). Malah sesuatu hukum itu berubah mengikut perubahan masa, lokasi dan situasi. Dari sudut bahasa, fiqh bermaksud; faham ataupun kefahaman. Manakala dari sudut istilah syara’, fiqh bermaksud; Satu cabang ilmu  berkaitan tentang hukum-hukum syara’ secara praktikal yang diperolehi hasil daripada dalil-dalilnya secara detail.

Bagi golongan yang berpegang dengan pandangan mazhab al-Syafieyyah, sudah tentu kitab Fath al-Mu`in dijadikan sebagai panduan dalam kehidupan harian  tatkala timbul berbagai jenis permasalahan hukum fiqh. Lazimnya setiap kitab-kitab fiqh dalam apa jua mazhab, pasti sekali bab al-thoharah (bab bersuci) merupakan bab yang mula-mula sekali diperbahaskan. Namun tidak bagi kitab Fath al-Muin yang mana bab yang pertama sekali diperbahaskan ialah mengenai bab solat. Kitab ini juga pernah mashyur sebagai teks tadahan di pusat -pusat pengajian pondok seperti pondok Lati dan juga pondok Kubang Bemban, Pasir Mas, Kelantan.  Sempena bulan ramadhan ini, ada baiknya jika kita menyelami sedikit cebisan kupasan ilmiah Fath-Muin dalam bab zakat fitrah sebagai tazkirah untuk kita bersama.

Adapun zakat, maka perlakuannya (pengeluaran dan penerimaannya) lebih afdhal secara terang-terang mengikut pandangan ijma’. Pemberian zakat pada bulan Ramadhan (zakat fitrah) lebih-lebih lagi pada 10 akhir bulan Ramadhan adalah afdhal (lebih utama). Begitu juga afdhal (pengeluaran dan penerimaan zakat) di seluruh lokasi dan masa yang baik seperti 10 zul hijjah, dua hari raya (aidil fitri dan aidil adha), hari jumaat dan lokasi di Mekah dan di Madinah. Pemberian zakat  untuk anak beranak /saudara mara  yang tidak diwajibkan menanggung nafkah lebih utama bagi mereka yang paling dekat. Maka yang paling dekat daripada kalangan muhrim kemudian (ikut turutan) suami ataupun isteri, kemudian daripada kalangan bukan muhrim dan sanak saudara daripada sebelah bapa ataupun daripada sebelah  ibu, kemudian saudara susuan, kemudian ipar yang lebih utama. Pemberian zakat fitrah selepas saudara mara dekat ialah kepada jiran yang lebih utama selain daripada sanak saudara tersebut. Maka sedia maklum bahawa saudara mara yang jauh kediamannya dalam sesebuah negeri lebih afdhal daripada seorang jiran dari kalangan orang asing.

Pandangan al-Syafieyyah yang mengutamakan anak beranak ini, didapati sejajar dengan saranan Rasulullah sepertimana berikut;  اليد العليا خير من اليد السفلى و إبدا بمن تعول   رواه البخاري

Maksudnya: Tangan yang di atas (yang memberi) lebih baik daripada tangan yang di bawah (yang menerima). Dan mulakanlah dengan sesiapa yang lebih dekat dikelilingmu (sanak saudara yang fakir miskin). (Riwayat al-Bukhari).   Fokus dalam mafhum hadis ini tertumpu kepada istilah (وإبدأ بمن تعول  )“mulakanlah” yang bermaksud; “Utamakanlah” mengikut pandangan al-Syafieyyah.

Kitab al-Shaum Mazhab Syiah . bhg 5

Setelah tertangguh sekian lama, begitu terasa hati ini untuk menyambung kembali majlis ilmu  berasaskan Kitab al-Shaum ini. Kebetulan pula ada sedikit masa luang, jadi apa salahnya jika masa luang ini dimanafaatkan dengan perkara-perkara ilmiah.  Untuk menyambung pengajian kitab ini yang terhenti sejak bulan Ramadhan tahun lalu, saya mulakan dengan tajuk ;

Beberapa keterangan untuk mereka yang berpuasa dan yang berbuka

Ada beberapa perkara makruh bagi golongan yang berpuasa. Antaranya ialah;

i)                     Meletak ataupun memasukkan ubat ke  dalam mata dengan kadar dapat dirasai ubat itu di mulut.

ii)                   Melakukan apa jua bentuk aktiviti yang boleh melemahkan  (meletihkan) badan seperti berbekam, mandi yang meletihkan ataupun apa-apa sahaja aktiviti seumpamanya.

iii)                 Menghidu rumpunan wirid-wirid yang berbau harum (berbau tulen).

iv)                 Begitu juga bagi wanita yang berada (duduk) di dalam air, membasahkan pakaian hingga ia melekat ke badan , mencabut gigi, segala aktiviti yang menyebabkan pendarahan mulut, bersiwak (gosok gigi) dengan batang siwak yang lembab ataupun melakukan apa-apa aktiviti yang menaikkan syahwat.

Adapun beberapa perkara mustahab (yang dituntut), maka ia telah disebut dalam kitab-kitab al-Ad`iyah ( Kitab-kitab doa dan solat). Manakala bagi mereka yang berbuka puasa (tidak berpuasa), maka kita point (tentukan) di sini kepada beberapa perkara;

Terdapat 6 individu yang digalakkan bagi mereka agar menjauhi daripada  makanan (tidak makan)   meskipun mereka tidak berpuasa. Mereka ialah;

i)                    Musafir yang telah berbuka puasa dalam perjalanannya dan sampai ke negerinya (lokasi penetapannya/ tempat menetap) sebelum masuk waktu zohor ataupun ke lokasi persinggahannya bermukim.

ii)                   Musafir  yang sampai di lokasi penetapannya ataupun lokasi beliau bermukim selepas masuk waktu zohor.

iii)                 Orang yang sakit lalu berbuka puasa dan sembuh sebelum masuk waktu zohor

iv)                 Orang sakit yang sembuh selepas tenggelam matahari.

v)                  Perempuan yang suci daripada haid ataupun nifas pada waktu tengahari.

vi)                 Orang kafir (non muslim) yang memeluk agama Islam pada hari puasa.

Digalakkan bagi individu yang berpuasa [1] untuk solat maghrib dan isyak sebelum iftar (makan) kecuali jika ada seseorang yang menunggunya untuk makan ataupun individu tersebut begitu merasa lapar  hinggakan dia tidak mungkin mampu menunaikan solat dengan hati yang tenang(dalam keadaan perutnya yang lapar), maka makanlah terlebih dahulu tetapi dengan syarat tidak luput waktu solat.


[1] Mereka yang berhijrah  dan masih lagi dalam keadaan tidak pasti sama ada mereka akan bermukim ataupun akan kembali semula, maka tidak sah bagi mereka ini niat untuk menetap.

HUKUM BERMAIN MERCUN

Meriam buluh

Akibat main mercun bola

Syariat Islam berperanan menjaga nyawa, harta benda, keturunan dan juga maruah. Oleh itu, segala apa yang memudharatkan diri seseorang dan juga masyarakat awam hukumnya adalah haram. Begitu banyak perkara-perkara yang merbahaya serta memudharatkan dan ditegah perlakuannya oleh Islam dalam kehidupan harian. Antaranya ialah bermain mercun. Begitu ramai dikalangan masyarakat manusia terutama sekali di Asia Tenggara termasuklah di Malaysia yang gemar bermain mercun. Tanpa mereka sedari, sebenarnya permainan bahan api yang mampu meletup, memudharatkan dan mencacatkan segala pancaindera serta anggota badan manusia  itu adalah haram di sisi syara’. Perlu difahami ; Bermain mercun merupakan satu bentuk gangguan (bising melampau) yang menjejaskan keharmonian serta ketenangan kehidupan bermasyarakat.

 

عَنْ أبِِي سَعِيْدٍ سََعدِ بن ماَلِك بن سَنَان الخُدْرِي رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أنَّ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه و سلم قال:

لاَ ضَرَرَ وَ لاَ ضِراَرَ …. رواه أبن ماجه و الدارقطني و غيرهما

 

Maksudnya:

Daripada Abi Said Saad bin Malik bin Sanan al-Khudri radhiya Allahu anhu, bahawa Rasulullah (s.a.w) bersabda “ Bukan yang merbahaya dan bukan yang memudharatkan”. Diriwayatkan oleh Ibn Majah, al-Dar Quthni dan selain daripada mereka berdua.

 

Maksud ( لاَ ضَرَرَ  (: Satu penafian bahawa tidak wujud sebarang kemudharatan dalam apa saja yang hukum- hakam  (perundangan syara’) yang disyariatkan oleh Allah.

 

Maksud    (لاَ ضِرَارَ ) : Satu penegahan ke atas kaum muslimin agar tidak melakukan perkara yang memudharatkan.

( There is no harm and danger in Islam)

 

Dalam pada itu, tindakan membeli mercun itu juga merupakan satu tindakan membazir (membakar duit secara sia-sia sahaja tanpa sebarang manafaat yang positif).

Firman Allah:

ولا تبذر تبذيرا ان المبذرين كانوا إخوان الشياطين وكان الشيطان بربه كفورا

Maksudnya:

Janganlah kamu membazir (melampaui batas). Sesungguhnya mereka yang membazir adalah saudara-saudara para syaitan  dan syaitan itu amat kufur (ingkar) terhadap Tuhannya.  (Surah al-Isra’, ayat 26-27).

Majlis Kahwin Azza dan Azzaq (2) 19hb.Februari 2011

Dua beradik - Abah dan Ayah Mat

Anak beranak berkumpul

Nik Na melayan tetamu

Bergambar dengan pengantin

Anak beranak bergambar

Majlis tenang tapi meriah

Jangan makan banyak..... kawal diet...

Kita nak balik dah nih...

Fatwa Mufti Johor: Berkaitan Status Kafir.

Fatwa Mufti Johor

Semoga rakyat Malaysia khususnya umat Islam di negara ini faham dengan segala persoalan serta  jawaban yang saya tuliskan semula dalam tulis rumi ini daripada salinan asalnya yang bertulisan jawi.

Soal yang pertama:

Adakah boleh digunakan sebagai dalil keterangan  ومن لم يحكم بما انزل الله فأولئك هم الكافرون, الفاسقون ,الظالمون

Dan bolehkah ditujukan kepada kerajaan yang ada pada hari ini?

Jawab  yang pertama:

Saya tidak boleh menentukan atau menujukan kepada satu-satu kerajaan atau satu-satu orang Yahudi atau kafir kerana demikian berlawanan dengan kaedah fatwa. Hanya boleh saya katakan barang siapa meninggalkan hukum-hukum Allah yang ada dalam al-Quran dan hadis mutawatir atau ijma’ al-ummah al-Islamiyyah  atau yang maklum min al-Din bi al-dharurah (yang sedia maklum dalam permasalahan agama dengan semestinya), maka jika ia meninggalkan dengan tiada percaya atau melawan atau benci kepada hukum itu atau ingkarkan dia, maka telah menetapkan oleh ulama’ bahawa ia kafir.    

 

Soal yang kedua:

Sekiranya di tempat saya pada tahun 1959, (hari pilihanraya ) atau dua calon bertanding satu parti Islam (PAS) dan lainnya parti Perikatan dan saya undi Perikatan. Adakah saya termasuk dalam orang yang ingkar murtad kerana melawan parti PAS. Bagaimanakah hukumnya?

Jawab yang kedua:

Ada banyak parti-parti yang menggunakan nama Islam tetapi namanya sahaja walhal  dalam dasarnya  dan cara-caranya jauh bahkan selalu bertentangan dengan hokum-hukum Islam. Tetapi jika kita lihat dasar perjalanannya menurut hukum-hukum Islam dengan betul boleh diberi fatwa dan orang-orang Islam telah maklum padanya. Barang siapa melawan agama Islam maka ia orang kafir atau  fasiq. Begitu juga jika mereka melawan orang-orang Islam yang berdiri atas jalan yang benar dan lurus.

 

Soal yang ketiga:

Seorang Islam yang tidak masuk parti Islam, ,maka orang itu dikatakan tidak sempurna Islamnya atau ingkar seterusnya kafir  dan murtad. Adakah benar?

Jawab yang ketiga:

Itu sebenarnya jika ada parti yang berdiri dan berjuang supaya jadi Kalimah Allah hiya al-`Ulya (meninggikan kalimah Allah)

 

Catitan:

Fatwa Mufti Kerajaan Johor,

Jilid Pertama, muka surat 312-313.

Yang difatwakan oleh Allahyarham al-Allamah Dato’ Sayyed Alwi bin Thohir al-Haddad,

Mufti Kerajaan Johor.

Kitab al-Shaum mazhab Syiah (Puasa) bhg. 4

Tajuk-tajuk menarik dalam kitab al-Shaum mazhab Syiah masih banyak yang belum diterjemah dan disiarkan lagi. Maklumlah sekarang nih kita semua dah berada di akhir Ramadhan. Banyak masa perlu diperuntukan bagi menyediakan persiapan-persiapan hari raya. Begitu  juga masa yang diperlukan untuk beli baju-baju raya anak-anak. Lantaran itu, masa untuk saya mengadap laktop juga amat terhad.   Paling menarik sekali, Kitab al-Shaum ini turut mengutarakan hadis-hadis yang diriwayatkan oleh kedua-dua pihak Sunni dan Syiah berkisarkan tentang perihal puasa dan segala ibadat di bulan Ramadhan serta fadhilatnya.

Perkara-perkara Membatalkan Puasa.

Selanjutnya, perkara-perkara membatalkan puasa[1] jika lakukan dimaafkan bagi beberapa situasi, iaitu;

i)                    Ketika terlupa.

ii)                   Seseorang yang berpuasa tidan mengetahui bahawa salah satu daripada lapan perkara itu membatalkan puasa.

iii)                 Berlaku secara tidak sengaja seperti seseorang yang membuka mulutnya dan air masuk ke dalam perut atau sedang berenang lalu dia ditenggelami air.

Sesiapa yang berpuasa Ramadhan adalah wajib apabila terbatal puasanya dan dibenarkan baginya untuk makan ataupun melakukan perkara-perkara lain yang membatalkan puasa di siang hari bahkan dia perlu menyerupai individu-individu lain yang berpuasa. Setiap puasa yang batal wajib diganti. Kaffarah (denda) tidak diwajibkan keculai apabila perkara membatalkan itu berlaku dengan beberapa syarat, iaitu;

i)                    Berlaku tanpa niat (tidak sengaja).

ii)                   Tidak dipaksa untuk membatalkan puasa.

iii)                 Tidak berkeyakinan ( iktiqad) harus untuk membatalkan puasa.

iv)                 Bukan muntah yang sengaja, maka ia tidak diwajibkan kaffarah.  

Diwajibkan ganti puasa sahaja bagi beberapa situasi berikut;

i)                    Muntah secara sengaja dalam pada siang hari di bulan Ramadhan.

ii)                   Individu yang berjunub pada malam hari di bulan Ramadhan, kemudian tidur dan berniat untuk mandi junub sebelum fajar. Lalu dia bangkit tidur dan kemudian tidur sekali lagi bersekali dengan niat tersebut dan kemudian terbit fajar.

iii)                 Niat membatalkan puasa tanpa melakukan perkara-perkara yang membatalkannya. Mengikut pendapat al-Imam, seseorang yang berniat membatalkan puasa tetapi tidak melakukannya, maka tidak ada apa-apa hukuman ke atasnya.

iv)                 Seseorang yang lupa dirinya dalam situasi berjanabah sehingga melebihi tempoh sehari ataupun lebih daripada sehari.

v)                  Seseorang yang tidak memastikan (tidak selidik) waktu fajar lalu melakukan perkara yang membatalkan puasa, kemudian jelas baginya waktu subuh ketika itu. Adapun bagi individu yang dapat memastikan, maka tiada sebarang hukuman ke atasnya (sama ada qadha ataupun kaffarah).

vi)                 Apabila berpegang dengan pendapat orang yang mengatakan kepadanya  masih belum terbit fajar lalu dia makan dan jelas terbit fajar pada ketika itu.

vii)               Apabila seseorang mengatakan kepadanya “telah terbit fajar, lalu dia tidak yakin dengan kata-kata tersebut atau menggambarkan bahwa individu berkenaan hanya bergurau dan dia melakukan perkara yang membatalkan puasa kemudian kembali yakin dengan kata-kata itu.

viii)              Membuka puasa disebabkan kata-kata seseorang “telah masuk waktu maghrib” kemudian dia dapati masih belum masuk waktunya.

ix)                 Yakin dengan masuknya waktu maghrib lalu dia makan kemudian jelas serta nyata baginya masih belum masuk waktu.

x)                  Seseorang yang berkumur bukan untuk wudhuk hingga menyebabkan air masuk ke dalam perutnya.   


[1] Lapan perkara sepertimana yang dinyatakan dalam entry yang lalu.