Archive for April 8th, 2010

Penghulu, ulama kempen basmi wabak denggi

KOTA BHARU, 8 April: Penghulu dan ulama di peringkat kampung perlu memainkan peranan menerangkan kepada masyarakat tentang bahaya wabak denggi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri, Wan Ubaidah Omar (gambar)  berkata, sebagai pemimpin masyarakat mereka perlu menyedarkan masyarakat terhadap keperluan menjaga kebersihan.

“Rakyat perlu diberi kesedaran berhubung penyakit berjangkit seperti HIV, H1N1, denggi dan sebarang penyakit bawaan lain.

“Penghulu dan pegawai Unit Dakwah Halaqat perlu memberi kesedaran mengenai bahaya penyakit tersebut melalui kuliah agama atau aktiviti lain bersama masyarakat,” katanya di sini.

Sehubungan itu, Wan Ubaidah mengingatkan orang ramai yang terasa kurang sihat atau deman perlu segera mendapat rawatan di klinik berdekatan.

“Jangan puas hati hanya rawatan pertama sekiranya deman berpanjangan, kes ini banyak berlaku. Kita hendaklah mendapat rawatan di hospital kerajaan,” ujarnya.

Beliau juga berkata, kempen kebersihan perlu dibuat dari semasa ke semasa bagi memastikan persekitaran yang bersih.

Ini kerana katanya, nyamuk aedes mudah membiak di takungan air tanpa mengira tempat dan keadaan. 

“Masalahnya masyarakat kita terutamanya pelajar suka membuang bekas minuman di merata tempat. Ini membuatkan nyamuk mudah membiak dan berlaku wabak denggi.

“Begitu juga takungan air dalam pasu bunga hendaklah sentiasa dijaga bagi mengelakkan jejentik membiak,” katanya.

Dipetik dari: http://www.harakahdaily.net/

Pelajar Kejururawatan Fail Saman RM5 Juta Terhadap Kolejnya

KOTA BHARU: Seorang pelajar perempuan sebuah kolej perubatan swasta hari ini memfailkan saman sebanyak RM5 juta terhadap pengurusan kolejnya itu kerana dakwaan berlaku cuai dalam menjaga keselamatan pelajar sehingga dirinya dirogol.

Peguam plaintif Mohd Zubairi Salleh dan Mohd Rafizi Abdullah memfailkan saman itu di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Plaintif menamakan Masterskill (M) Sdn Bhd yang beribu pejabat di alamat G-8, Jalan Kemacahaya 11, Taman Kemacahaya, Batu 9, Cheras, Selangor yang mempunyai kampus cawangannya di sini beralamat di Seksyen 19, Jalan Hamzah sebagai defendan.

Mengikut pernyataan tuntutannya, semasa kejadian plaintif merupakan seorang penuntut tahun pertama Diploma Kejururawatan dan penghuni asrama yang disediakan kolej itu.

Pada 9 Februari lalu kira-kira pukul 8.15 pagi, sewaktu plaintif berada dalam asrama kolej defendan di Tanjung Mas, di sini, plaintif bersama lima rakan sebilik telah didatangi seorang lelaki yang tidak dikenali dengan cara dipercayai memasuki asrama dan menceroboh masuk bilik mereka.

Lelaki tersebut kemudiannya bertanyakan kepada mereka siapa yang bernama “Serena” di dalam bilik tersebut namun setelah dimaklumkan bahawa tiada perempuan yang bernama “Serena” di kalangan mereka, lelaki itu terus meninggalkan bilik plaintif.

Setelah melihat lelaki itu keluar, plaintif kemudiannya keluar menuju ke bilik air untuk mandi tetapi secara tiba-tiba lelaki tadi menolak pintu bilik air tersebut dan terus meluru masuk ke bilik air itu.

Plaintif cuba untuk menyelamatkan diri tetapi penceroboh itu bertindak mengeluarkan pisau dan mengacu ke arah plaintif menyebabkan plaintif tidak mampu untuk melawan dan kemudiannya berlaku kejadian rogol tersebut dan lelaki itu kemudiannya melarikan diri.

Sehubungan itu plaintif mendakwa kejadian itu berlaku akibat kecuaian langsung defendan atau ejennya yang didapati cuai dalam menjaga keselamatan plaintif sehingga seorang penceroboh boleh memasuki asrama defendan.

Kejadian rogol itu menyebabkan plaintif kehilangan masa depan dan maruah diri kerana sebelum kejadian itu keluarga plaintif telah meletakkan kepercayaan penuh ke atas defendan untuk menjaga keselamatan diri plaintif di asrama dengan andaian bahawa asrama defendan selamat daripada semua aspek keselamatan.

Akibat daripada tindakan kecuaian defendan itu, plaintif sehingga kini masih lagi terkejut dan malu serta mendapati dirinya terus menerus mengalami keaiban, kesusahan dan tekanan hidup.

Kegagalan defendan melaksanakan kewajipan berhati-hati ke atas plaintif, kehidupan plaintif menjadi kelam kabut akibat tafsiran serong rakan-rakan, masyarakat dan sahabat handai. Kesemua musibah yang menimpa mengakibatkan tekanan perasaan dan trauma yang berpanjangan ke atas diri plaintif.

Biarpun notis tuntutan bertarikh 10 Mac lalu telah dibuat dan dikemukakan plaintif terhadap defendan, namun sehingga kini defendan masih gagal atau cuai untuk menjelaskan tuntutan tersebut.

Atas faktor itu, plaintif menuntut defendan membayar ganti rugi teladan sebanyak RM3 juta, ganti rugi bagi kecederaan perasaan, trauma dan tekanan mental sebanyak RM2 juta, ganti rugi am, kos tindakan dan faedah pada kadar yang difikirkan adil dan sesuai oleh mahkamah dalam kes itu. – BERNAMA