Ijtima’ Ulama’ Muda di Kelantan Trade Centre.

 

Semasa ronda-ronda dengan menunggang motorsikal dalam Bandar Kota Bharu dua tiga hari yang lepas, saya dapati begitu banyak sekali sepanduk bertemakan “Ijtima’ Ulama’ Muda Negeri Kelantan 2009”.  Rasa diri ini begitu kerdil sekali untuk menyertai perhimpunan para ulama’ muda ini. Namun kerana disebabkan hati saya ini begitu minatkan majlis ilmu, saya tetap menggagahkan diri ini menuju ke Kelantan Trade Centre pada 28hb.Disember 2009 kira-kira pukul 9:00 pagi. Sesampai saja di Kelantan Trade Centre, saya terus meluru ke kaunter Urusetia program tersebut. “Assalamu alaikum….berapa bayaran pendaftaran?” tanya saya ringkas. “Oh…tak dok apa-apa bayaran….memang semua dijemput hadir…..terbuka untuk semua” jawab salah seorang petugas di meja berkenaan sambil memberikan sebuah beg tangan yang dilengkapi kertas ucaptama, tentatif Ijtima’ dan dua keping borang soal selidik  yang perlu diisi oleh para peserta.

Setelah melangkah masuk ke dalam, saya dapati Dato’ Tuan Ibrahim sedang  menbentangkan ucaptamanya yang bertajuk “Peranan Ulama’ Muda Dalam merealisasikan Konsep Islam Memimpin Perubahan”. Secara umumnya, ucaptama itu amat baik sekali sebagai peringatan dan musabah diri bagi golongan ulama’ yang hadir dalam majlis ini. Selepas itu diadakan pula muzakarah ucaptama oleh YB Ustaz  Mohammad Mustafa. Rata-rata ulasan oleh ADUN Demit ini adalah kemas, ringkas dan padat. Ada juga respon dan saranan positif oleh beberapa orang peserta terutama sekali dalam soal pendidikan di YIK.

Kemudian disusuli pula ucapan oleh Dato’ Mohammad Daud al-Iraqi yang mengatakan; para ulama’ tidak wajar mengkritik sesama sendiri kerana tindakan sebegini boleh menghilangkan kewibawaan mereka di kalangan orang awam. Sungguh mengarut betul Dato’ Mat al-Iraqi.!!!!  

Kehadiran para peserta dan pemerhati adalah lebih kurang 250 orang. Kira-kira pukul 12:10 tengahari, YAB Menteri Besar Kelantan tiba. Ringkas ceritanya, Tok Guru mengutamakan jumlah angka yang tercatat depan matanya berkaitan dengan kekerapan menunaikan solat tahajjud, solat dhuha dan solat berjemaah dikalangan para ulama’ muda yang hadir hari ini.  Secara ikhlas hati, saya tidak isi kedua-dua borang tersebut (borang hijau dan borang berwarna putih) kerana saya hadir sebagai seorang blogger yang inginkan maklumat dan bukannya sebagai seorang peserta untuk berbahas dan berdialog lebih-lebih lagi diri saya ini bukanlah tergolong dalam katogari ulama’. Semasa Tok Guru cuba mengulas ringkas tentang fakta angka berkaitan yang ada di depan matanya, saya teringatkan petikan buku bertajuk 10 Tahun di bawah Kepimpinan Ulama pada halaman 50-51 sepertimana yang pernah saya siarkan dalam entry yang lalu. Dalam entry tersebut, Tok Guru dikatakan selalu menunaikan ibadat malam dan amalan-amalan sunat yang lain bagi memelihara dirinya daripada perkara yang paling beliau cemaskan. Di akhir ucapannya, Tok Guru turut mengatakan bahawa beliau tidak begitu pasti sama ada pada masa sekarang ada atau tidak ulama’ yang memelihara blogger. Bagi saya tak perlulah diulas panjang lebar tentang blogger ini kerana anak-anak Tok Guru (Nik Abduh  dan Nik Amalina) juga berblog.  Begitu juga masalah Cina boleh jadi Perdana Menteri dan juga Menteri  Besar jika beragama Islam kerana Islam membenarkan proses sedemikian. Prosedur undang-undang juga perlu diambil kira. Lain ceritalah kalau undang-undang itu mampu diubah mengikut kaedah yang dibenarkan oleh Perlembagaan Malaysia. Sebagai contohnya; dalam masalah pembukaan tanah; Jika dirujukkan kepada sebuah hadis berkaitan dengan pembukaan tanah, Rasulullah pernah mengatakan “Sesiapa yang membuka tanah (yang tidak ada pemilik), maka tanah itu adalah menjadi miliknya”. Namun dalam konteks undang-undang kini, mana-mana tanah yang tidak dimiliki oleh sesiapa secara sah, maka tanah itu adalah milik kerajaan dan tidak wajar diterokai sesuka hati tanpa kebenaran.  Situasi ini jelas menunjukkan bahawa perundangan sivil tersebut dari sudut kontemporari perlu diutamakan tanpa maksud mengenepikan keharusan syarak yang dinyatakan dalam mafhum hadis berkenaan.

Di Perak contohnya, DAP hingga kini tidak mampu mengangkat mana-mana Menteri Besar daripada kalangan mereka berbangsa Cina kerana terhalang oleh perlembagaan. Namun dalam masa yang sama, Dato’ Seri Nizar Jamaluddin  (bekas MB Perak) sebenarnya merupakan anak Melayu meskipun beliau juga berdarah keturunan Cina kerana mengikut perlembagaan; Sesiapa yang berdarah kacukan Melayu dan bertutur dengan berbahasa Melayu, dia adalah berbangsa Melayu. Begitu juga halnya dengan Dr. Mahathir yang bukan berdarah Melayu tulen. Selesai berucap, para ulama’ muda dianjurkan agar bersolat jemaah dan mereka semua diimani oleh Tok Guru sendiri. Selepas itu mereka semua berjamu selera untuk jamuan tengahari. Dalam tempoh ini, saya mengambil peluang balik ke rumah untuk mandi dan makan kueh teaw yang sudah dibeli sejak awal lagi.  

Selepas mandi, solat zohor dan dan makan kueh teaw, saya menuju semula ke Dewan Konvesyen bagi mengikut wacana ilmiah yang tidak dinyatakan tajuknya dalam tentatif yang diagihkan kepada setiap peserta. Antara panelisnya ialah; Dato’ Nik Amar, Dr. Azhar Yaakub (UTM) dan Dr. Abdul Basit (KIAS). Ringkasnya; ada beberapa noktah penting yang saya kurang berpuashati dengan ulasan para ahli panel ini. Penyampaian Dr.Abdul Basit seolah-olah di atas angin bila beliau mengatakan dirinya lebih tahu tentang aturan haid seseorang perempuan . Dato’ Nik Amar pula sanggup mengatakan memerangi Sekularisme adalah lebih utama daripada memerangi Wahhabi. Apa hal nih Dato’ Nik Amar???  Sebenarnya memerangi Wahabbi dan sekularisme adalah sama penting  kerana Wahhabi  menolak ahl sunnah wa Jamaah dan memporakperandakan fikrah umat Islam. Manakala sekularsime pula antara agenda ideologi yang turut diperkenalkan oleh Wahabbi dan turut melanda umat Islam masa kini yang masih tidak mahu mengubah situasi dan nasib mereka.

Paling teruk sekali ialah penyampaian Dr. Azhar semasa beliau mengulas dan menjawab persoalan rokok di kalangan umat Islam. Dr. Azhar mengatakan babi tidak sanggup makan daun tembakau sedangkan masih ada manusia yang sanggup hisap daun tembakau. Kenyataan ini adalah terlalu bodoh untuk dinyatakan dan dibuat perbandingan oleh seorang yang memiliki Ph.D seperti dirinya. Malah perbandingan ini terlalu tidak mantiq (tidak logic) kerana seolah-olah ingin merendahkan taraf manusia yang merokok jika dibandingkan dengan babi. Perlu diingat daun tembakau bukan najis  dari sudut hukum syarak.!!. Lagipun seekor babi sanggup makan najisnya sendiri sedangkan manusia tak sanggup makan najisnya sendiri.  Sebagai individu yang mengaku sebagai ulama, memang tak patutlah Dr.Azhar membuat perbandingan sebodoh itu!

Suatu masa dulu saya juga perokok tapi saya berjaya meninggalkan tabiat ini. Namun tidak bagi sesetengah individu termasuklah daripada golongan ulama’ PAS sendiri yang pernah dinasihatkan oleh doktor perubatan agar tidak berhenti merokok kerana jika dia berhenti merokok penyakit lain pula yang akan menimpa dirinya. Dalam situasi ini kaedah usul fiqh; Ikhtiar al-akhaff bain al-dhararain perlu dibuat pilihan setelah nasihat doktor perubatan diambil kira. Apakah Dr. Azhar ingin menyatakan Dr. Daeng Sanusi yang merokok kerana tidak dibenarkan berhenti oleh doktor lebih teruk daripada babi kerana babi tidak makan daun tembakau? Cuba jaga lidahmu……saya ada dalam dewan semasa kamu berucap tapi saya mengambil sikap berkecuali kerana saya hanya seorang blogger dan bukannya salah seorang daripada ulama’ muda yang dijemput!!!! Cuba tanya Dato’ AbdulHalim AbdulRahman (MP Pengkalan Chepa) adakah beliau sudah berhenti merokok secara mutlak?

2 responses to this post.

  1. Posted by Jomo Samah on 29 December 2009 at 11:51 pm

    Tn Hj, Adakah Tn Hj tak silap katakan Wahabbi bukan ahl sunnah wal jamaah? Untuk penjelasan, sila baca ISU WAHABIYYAH: MENANGANINYA SECARA REALITI oleh Mohd Aizam Mas’od, Cawangan Aqidah, Bahagian Penyelidikan, JAKIM. Wallahu a’lam!

    Reply

  2. Posted by manggarnyo on 2 January 2010 at 10:04 am

    Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah swt kerana tidak digerakkan akan ambo untuk hadir ke majlis berkenaan. Jika benarlah kenyataan Tuan Haji maka amat malanglah umat ini. Disaat umat dilanda krisis, tampil pula mereka yang dangkal mengaku ulamak…. maka kepada siapa lagi umat ini nak mengadu. Maka amat malanglah umat ini…

    Kenapa nak digegerkan soal furuk, sedangkan banyak lagi soal-soal pokok yang perlu di ambil kira…. Mana lebih utama antara isu persaudaraan dengan soal baca talkin atau tahlil arwah. Kenapa nak dipertikai pula ulamak-ulamak yang dikaitkan dengan Wahabi, kerana ada jasa mereka terhada agama ini. Diam-diam ajelah……

    Soal rokok bukanlah soal besar…. Orang yang ARIF kalau ditanyapun takkan jawab ianya Haram atau Halal. Kalau dijawab pun samada suka ataupun tak suka, kerana hukum rokok tiada NAS yang jelas. Mereka yang menghukum kerana bertaklik berkenaan mudaratnya bahan tersebut. Kalau begitu…HARAMlah juga menggunakan GULA dalam makanan atau minuman, kerana GULA antara penyebab DAIBETIS dan daibetis pula antara penyebab kepada penyakit-penyakit kronik.

    Kalau isu-isu remeh temeh sebegini di bincangkan melampaui isu persaudaraan maka inilah ULAMAK 1SEN , yang begitu murah harganya, mudah dipergunakan oleh MUSUH-MUSUH BELAKANG TABIR demi menjayakan agenda pecah perintah mereka.

    Ya ALLAH lindungilah kami dari fitnah Dajjal al masih.

    Reply

Leave a comment