Al-Farabi: Ahli Falsafah berwibawa

Umat Islam mengenali dan memahami falsafah selepas mereka mulai memahami isikandungan buku-buku karya Aristotle dan beberapa huraian yang diungkap dan ditakwilkan oleh ahli-ahli falsafah Yunani yang lain. Hasil ketekunan yang berterusan, akhirnya umat Islam silam mampu menguasai bidang ilmu tersebut. Dengan penguasaan itu, mereka berusaha mengembangkannya dengan membuat penyelidikan-penyelidikan selanjutnya disamping menulis buku-buku dan juga risalah-risalah yang boleh dimanafaatkan bersama oleh mereka yang berminat dengan bidang falsafah. Dalam era kegemilangan ilmu itu, muncul seorang tokoh ilmuwan Islam yang disegani ramai. Beliau ialah Abu Nasr Muhammah ibn Muhammad ibn Tarkhan ibn Ulzagh al-Farabi, berketurunan Farsi dan lebih tersohor dengan panggilan al-Farabi sahaja. Al-Farabi dilahirkan di wilayah Wasij berhampiran sungai Saihun di Turmekistan pada tahun 260Hijrah(874M). Dia mendapat pendidikan awalnya di Farab dan Bukhara. Al-Farabi merupakan anak seorang askar yang miskin. Semasa usia beliau masih kecil, bapanya membawanya berpindah ke Baghdad dan menetap di sana selama 40 tahun. Perpindahan ke destinasi baru ini memberi peluang keemasan kepada al-Farabi untuk mempelajari dan menguasai bahasa Arab.

 

Semasa Baghdad dilanda krisis politik  dan kemelut dalaman yang teruk, al-Farabi mengambil keputusan berpindah ke Damsyk. Tidak berapa lama berada di Damsyk, sekali lagi beliau berpindah ke Halab dan bekerja di istana Saif al-Daulah dengan menerima gaji hanya sebanyak 4 dirham sehari. Sedangkan pada masa itu penyair tersohor Arab, al-Mutanabbi diberi ganjaran sebanyak 1,000 dinar untuk setiap qasidah (lagu) yang dapat disiapkannya. Al-Farabi hidup dalam kemiskinan sejak dari awal kelahirannya hinggalah beliau meninggal dunia pada tahun 339Hijrah lantaran sifatnya sendiri yang tidak pernah bersungguh-sungguh berusaha mencari rezeki. Tokoh ilmuwan ini mampu menguasai banyak bahasa termasuklah bahasa Yunani. Selain itu, akalnya juga cergas dalam menguasai beberapa cabang ilmu. Apa yang lebih menarik, al-Farabi adalah seorang pemuzik yang handal dan menulis tentang muzik dalam bukunya Kitab al-Musiqa. Beliau mampu menyebabkan orang menangis dan juga ketawa hanya dengan lagu-lagu ciptaannya. Malah menurut Umar al-Furukh dalam bukunya Tarikh al-Fikr al-Arabi, al-Farabi ialah orang yang mencipta satu alat muzik yang dikenali sebagai gambus disamping mampu bermain beberapa jenis alat muzik lain.

 

Al-Farabi amat mendalami dalam bidang perubatan tetapi beliau tidak pernah menjadi bidang tersebut sebagai karier utamanya. Al-Farabi sentiasa muncul berpakaian seperti ahli sufi dan bersikap zuhud meskipun beliau tidak pernah dikenali sebagai ahli sufi. Beliau hanya dikenali sebagai seorang ahli falsafah agung yang paling memahami falsafah Aristotle. Al-Farabi juga merupakan orang yang pertama menulis dan menterjemah tentang ilmu logical Yunani  secara teratur dalam bahasa Arab. Beliau membahagikan ilmu logical kepada dua bahagian, iaitu bahagian idea dan bahagian bukti. tokoh ini juga menulis tentang sosiologi. Kebolehan serta kemampuan beliau ini meletakkan dirinya berada pada tempat yang cukup tinggi . Malah beliau juga digelar sebagai guru kedua selepas Aristotle. Antara hasil karya al-Farabi yang sentiasa dijadikan rujukan ahli-ahli akademik ialah Risalah fi al-`aql (Tentang akal manusia), Ihsa` al-`Ulum (Tentang ilmu-ilmu pada zaman Yunani), Kitab al-Jam` (Tentang falsafah-falsafah Plato dan Aristotle) dan juga kitab al-Madinah al-Fadhilah (Tentang falsafah politik).

 

Bagi al-Farabi, jantung lebih utama daripada otak dalam kehidupan manusia. Ini kerana baginya, jantung adalah sumber kehangatan tubuh sedangkan otak hanyalah penyelaras kehangatan berkenaan mengikut keperluan setiap anggota. Bagi beliau keadilan wujud dalam setiap pertarungan antara manusia. Pertarungan merupakan gejala-gejala semulajadi dan sifat semulajadi itulah keadilan sebenarnya. Berkaitan dengan politik, beliau menyarankan agar sebuah Negara kebajikan yang diketuai oleh ahli falsafah ditubuhkan. Jika individu seperti itu tidak ada, maka seorang wakil sementara boleh dilantik.  Tokoh ini meletakkan status ilmu mengatasi segala-galanya. Lantaran keikhlasannya menerokai segala cabang ilmu yang bermanafaat untuk dikuasai, al-Farabi telah disenaraikan dalam katogari orang-orang berilmu tinggi yang berwibawa dalam pelbagai bidang.

2 responses to this post.

  1. Posted by Mohd firdaus on 26 July 2010 at 1:52 am

    {^_^}

    Reply

  2. Posted by Amira zulaikha on 20 September 2012 at 11:40 am

    { ^_^}

    Reply

Leave a comment