Mengenai berkhitan: potong jangan tak potong!

Dari sudut bahasa khitan atau lebih mahsyur dengan sebutan berkhatan dalam masyarakat Melayu ialah; potong kulup (penutup kulit)yang menutup kepala zakar. Dari sudut istilah syarak; ia merupakan bahagian yang melingkari bawah takok (hasyafah) kepala zakar; iaitu bahagian yang berkaitan dengan hukum syarak yang ingin dinyatakan seterusnya.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Thabrani, Rasulullah bersabda “Apabila bertemu dua khitan (zakar lelaki dan faraj perempuan) dan hasyafah lenyap ke dalam faraj (takok kepala zakar), maka diwajibkan mandi sama ada seseorang itu telah keluar mani ataupun tidak”.

Terdapat banyak hadis-hadis yang menjelaskan tentang pensyariatan khitan. Antaranya ialah;

i)                    Daripada Ammar bin Yasir berkata, Rasulullah s.a.w bersabda “Antara fitrah manusia ialah; berkumur, memasukkan air dalam hidung, menipiskan misai, bersugi, memotong kuku, membuang bulu ketiak, mencukur bulu di sekitar kemaluan dan berkhatan” (Dinyatakan dalam Musnad Imam Ahmad)

ii)                   Dalam Shahihain (al-Bukhari dan Muslim), Abu Hurairah r.a mengatakan, Rasulullah bersabda “ Ada lima perkara fitrah bagi manusia, iaitu ; berkhitan, mencukur bulu kemaluan, menipiskan misai, memotong kuku dan membuang bulu ketiak”

Meskipun begitu, para fuqaha’ Islam berselisih; apakah hukum khitan itu wajib ataupun sunat? Dalam masalah ini, mereka yang berpendapat hukum khitan adalah sunat seperti Imam Hasan al-Basri, Imam Abu Hanifah dan sebahagian ulama’ mazhab Hanbali berpegang dengan hujjah mereka; iaitu;

i)                    Diriwayatkan oleh Imam Ahmad  daripada Shidad bin Aus daripada Nabi s.a.w, Baginda bersabda “Berkhitan adalah sunat bagi kaum lelaki dan satu penghormatan bagi kaum wanita”.

ii)                   Golongan ini juga berpegang dengan Hadis Rasulullah yang mengesahkan bahawa khitan adalah termasuk dalam perkara-perkara sunat seperti memotong kuku, buang bulu ketiak dan sebagainya.

iii)                 Menurut Hasan al-Basri “Rasulullah telah mengIslamkan ramai manusia; ada yang berkulit hitam, berkulit putih, berbangsa Rom, Farsi, Habsyi. Namun beliau tidak memeriksa pun seorangpun daripada kalangan mereka ini. Kalaulah khitan ini wajib, sudah tentu beliau (Rasulullah) tidak menerima mereka yang memeluk agama Islam ini hinggalah mereka berkhitan”.

Sementara golongan yang berpendapat khitan itu adalah wajib seperti al-Sya`bi, Rabiah, al-Auza’ie, Yahya bin Saad al-Ansari, al-Imam Malik, al-Imam al-Syafie dan Imam Ahmad. Malah al-Imam Malik begitu memandang serious masalah khitan dengan mengatakan “Sesiapa yang tidak berkhitan, tidak diterima sebagai imam solat dan tidak diterima pengakuan (penyaksiannya)”. Walaupun begitu serious pandangan al-Imam Malik, Ibn Juzaiy tetap mengatakan al-Imam Malik berpendapat hukum berkhitan adalah sunat muakaddah dalam kitabnya, al-Qawanin al-Fiqhiyyah, hlm 167.

Antara hujjah-hujjah yang dipegang oleh golongan ini ialah;

i)                    Hadis daripada Usaim bin Kulaib daripada bapanya daripada datuk yang menemui Rasulullah dan berkata “Aku telah masuk Islam” Lalu Rasulullah berkata kepada beliau “Cukurlah rambutmu dan berkhitanlah”.

ii)                   Diriwayatkan daripada Harb dalam masalahnya daripada al-Zahri berkata, Rasulullah bersabda “Sesiapa yang memeluk agama Islam, maka hendaklah dia berkhitan meskipun usianya telah lanjut”.

iii)                 Daripada Waki’ daripada Salim daripada Amru bin Haram daripada Jabir daripada Yazid daripada Ibn  Abbas r.a berkata “Yang tidak berkhitan tidak diterima solatnya dan sembelihannya tidak dimakan”.

iv)                 Golongan ini juga menyabitkan kewajiban berkhitan dengan masalah terdedah kepada perkara yang merosakan kesucian dan solat seseorang. Jika kulup menutup kepala zakar keseluruhannya , maka ia boleh menangkung kesan air kencing. Menurut mereka, sah ataupun tidak cara bersuci dan juga solat itu tergantung kepada khitan .

v)                  Mereka juga berpegang dengan firman Allah Taala surah al-Nahl, ayat 123.

ثم أوحينا اليك أن اتبع ملة ابراهيم حنيفا

vi)                 Nabi Ibrahim adalah manusia pertama berkhitan (beliau melakukan sendiri) semasa usia beliau 80 tahun sepertimana yang dinyatakan dalam Shahihain (al-Bukhari dan Muslim)[1].

 Meskipun kedua-dua kelompok fuqaha’ ini berselisih tentang hukum khitan bagi kaum lelaki tapi mereka semua sepakat mengatakan bahawa hukum khitan[2] ke atas kaum wanita adalah sunat muakkadah. Dalam pada itu terdapat juga di kalangan masyarakat Arab seperti di Tunisia yang tidak mengamalkan khitan atau khifad bagi kaum wanita dengan hujjah; mereka mahukan seseorang isteri yang lebih “asli” dalam keadaan asalnya. Sementara di beberapa Wilayah di Sudan, khitan Fir aun diamalkan kononnya untuk menjaga maruah serta kemuliaan  seseorang wanita[3]

Kebanyakkan ahli ilmu berpendapat; khitan diwajar dilakukan semasa budak lelaki meningkat umur baligh. Malah ada yang berpendapat lebih afdhal bagi pihak ibubapa/penjaga melaksanakan khitan ke atas anak lelaki mereka sejak mula hari kelahirannya. Pendapat ini tidak dipersetujui oleh Ibn Juzaiy yang mengatakan dalam kitabnya Al-Qawanin al-Fiqhiyyah (hlm 167); Digalakkan waktu khitan diperlewatkan hingga anak tersebut boleh diajarkan solat; iaitu sekitar umur 7 hingga 10 tahun. Makruh juga dilakukan khitan ke atas bayi pada hari pertama kelahirannya dan juga pada hari ketujuh kelahiranya kerana ini adalah amalan kaum Yahudi[4].

Pendapat Ibn Juzaiy ini disanggah oleh mereka yang berpegang dengan hadis berikut;

Daripada Jabir r.a berkata “Rasulullah mengadakan aqiqah bagi kedua cucunya Hasan dan Hussien serta mengkhitankan kedua-duanya pada hari ketujuh kelahiran mereka”.

Ibn Juzaiy juga berpendapat; adalah amat dituntut diadakan jamuan makan sempena majlis berkhatan bagi lelaki tetapi tidak bagi majlis khifad kaum wanita.

Hikmah berkhitan wujud dalam dua sudut, iaitu;

i)                    Sudut agama: merupakan salah satu syiar agama Islam.

ii)                   Sudut kesihatan: mengutamakan kebersihan dan kesucian, mengawal dan menstabilkan nafsu syahwat (terutama bagi kaum wanita) serta memberi keselesaan semasa berjima’ (bersetubuh). Jika bayi atau kanak-kanak dikhitankan pada awal usia, sisa air kencing tidak akan bertangkung di celah kulup kemaluan mereka.


[1] Dalam hadis berkenaan dinyatakan; amalan berkhitan menjadi ikutan para Anbiya’ selepas Nabi Ibrahim serta para pengikut mereka hinggalah muncul kebangkitan Nabi Muhammad s.a.w.

[2] Bagi kaum wanita, istilah khifad lazim digunakan dan bukannya khitan.

[3] Dinamakan khitan fir-aun kerana ia merupakan satu adat yang dianggap zalim kerana kelentit seseorang gadis dipotong semua sekali. Kemudian fajarnya dijahit rapat dan hanya boleh ditembusi oleh zakar suaminya setelah diijab qabulkan. Adat ini sudah mulai dilupuskan.

[4] Bagi kaum Nasrani, ada golongan berkhitan dan ada juga yang tidak berkhitan.

Leave a comment